Monday 16 July 2012

MyDiary (67)

MyDiary (67)
16 Julai 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)

‘MODE’ KEMPEN PARTI PAS DUN SEMERAK

DUN Semerak N31 sudah pasti akan menyaksikan pertandingan diantara calon UMNO dan PAS sepertimana lazimnya kecuali terdapat calon bebas yang akan menambah penjuru pertandingan. Oleh itu, konteks tulisan saya ini hanya menyentuh tentang kempen parti PAS sahaja.

Terdapat dua ‘mode’ berbeza kempen pilihanraya yang akan digunapakai oleh parti PAS di Semerak dalam pilihanraya umum nanti yang akan digunakan keatas orang-orang UMNO, MCA dan Gerakan termasuk jugalah orang-orang ‘atas pagar’. (PAS menggelarkan golongan ini sebagai golongan ‘hanyut’ dalam daftar sikap mereka).

‘Mode’ pertama membawa dua kaedah yang berlainan mengikut etnik pengundi. Kaedah pertama ialah cuba mendapatkan sokongan daripada orang-orang melayu melalui kempen politik keagamaan seperti biasa. Untuk orang-orang melayu, parti PAS akan ‘refresh’ taktik lamanya bahawa parti PAS ialah sebuah parti ‘Islam’ sebagaimana namanya, sedangkan parti UMNO adalah sebaliknya. Banyaklah contoh-contoh yang dikemaskinikan semula akan dipersembahkan untuk mempengaruhi pengundi-pengundi dari golongan ini. Lawatan rumah kerumah akan dipenuhi dengan kempen seperti ini terutamanya di kampung-kampung. Akhirnya, syurga di akhirat jugalah yang akan dijadikan tawaran dan jaminan untuk mereka terutamanya orang-orang tua yang uzur, jika memilih PAS.

Kepada mereka yang bukan Islam pula, ‘mode’ pertama dengan kaedah kedua akan digunapakai. Cubaan akan dibuat untuk meyakinkan mereka bahawa parti PAS dan PR lebih bermakna bagi mereka berbanding UMNO dan BN. Kepada golongan ini, sudah tentulah mereka tidak menjanjikan syurga di akhirat seperti yang dijanjikan kepada orang-orang sesama Islam. Sebaliknya, mereka dijanjikan dengan keselesaan hidup di dunia jika PAS dan PR boleh memerintah kerajaan pusat. Banyaklah juga contoh-contoh yang akan dipersembahkan.

Sebab itulah mereka tidak lagi dilihat agresif seperti pada masa-masa yang lepas. Apabila berada di dalam komuniti melayu, mereka bercakap tentang Islam dan syurga, tetapi apabila berada di dalam komuniti bukan melayu, mereka terpaksa berhati-hati untuk tidak tersilap mengajak mereka masuk syurga.

Mereka boleh ‘camouflage’ diri mereka dalam dua situasi yang berbeza. Apabila ditanya mengapa tidak didakwahkan sahaja orang-orang bukan Islam ini supaya masuk Islam terlebih dahulu sebelum mengundi PAS kerana PAS ini ialah parti Islam, supaya dengan itu, mereka pun boleh masuk syurga juga?, mereka berkata ini bukan sekadar kerja dakwah seperti puak-puak Tabligh atau lain-lain kumpulan dakwah buat itu, tetapi ini ialah kerja politik. Bagi mereka kerja dakwah seperti itu tidak memenuhi tuntutan sebenar agama kerana tidak mampu membawa Islam kepada tahap penyerapannya kedalam sistem pemerintahan negara.

‘Mode’ kedua pula hanya mempunyai satu kaedah sahaja dan disasarkan hanya kepada orang-orang yang 100% diyakini tidak akan memberikan sokongan kepada parti PAS. Golongan ini ialah orang-orang UMNO tulen atau lain-lain parti komponen BN tetapi usaha memancing mereka tetap juga mahu dilakukan kerana PRU13 adalah PRU kemuncak kearah menawan Putrajaya. Oleh itu, mereka menganggap usaha terakhir menarik mereka mesti dilakukan juga disaat-saat akhir pada tahap maksima.

Kepada mereka ini, kaedah pertalian keluarga atau persahabatan akan digunapakai. Mereka akan berkata bahawa ‘air dicincang tidak akan putus’. Begitu jugalah persahabatan dimana ‘kawan ketawa ramai tapi kawan menangis sedikit’. Mereka akan mengungkitkan apa sahaja budi baik yang pernah ditanam kepada mereka ini terutamanya oleh calon parti PAS yang bertanding. Kepada mereka yang pernah dilawati dan dibantu, ungkitan ini akan diutamakan. Seolah-olah mereka sendiri pun sudah lupa bahawa amalan yang baik ialah ‘tangan kanan memberi, tangan kiri pun tidak mengetahuinya’.

Oleh itu, melalui laman web ini, saya ingin berpesan kepada mana-mana calon PAS yang akan bertanding di DUN Semerak nanti, supaya tidak terlalu ghairah mencari kemenangan sehingga melupakan asas-asas kehidupannya sendiri sebagai seorang manusia dan rakyat biasa. Sebelum menang, setiap wakil rakyat itu adalah asalnya rakyat biasa sahaja seperti orang-orang lain. Selepas habis tempuh, seseorang wakil rakyat itu akan kembali menjadi rakyat biasa semula. Oleh itu, orang-orang yang dianggap 100% jelas tidak menyokong parti PAS itu tidaklah perlu dikempen-kempen lagi secara berlebih-lebihan kerana mereka hanya menggunakan hak mereka sebagai rakyat biasa dalam soal memilih pegangan politik mengikut apa yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara dan itulah demokrasi.

Percayalah, sebagai ahli UMNO, mereka tidak akan sekali-kali mengkhianati parti mereka hanya disebabkan pertalian keluarga atau persahabatan atau termakan sedikit budi.

Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.

No comments:

Post a Comment