Friday 5 September 2014

Perpaduan Orang-Orang Melayu



Sepertimana yang selalu saya tulis sebelum ini bahawa perpaduan sejati orang-melayu boleh dicapai secara menyeluruh hanya melalui penyatuan dua parti terbesar orang-orang melayu iaitu UMNO dan PAS sahaja.

Pada masa ini kesedaran kearah itu semakin ketara walaupun masih terdapat pendapat-pendapat yang bertentangan. Orang-orang melayu sudah lama berpecah sesama mereka sendiri hanya disebabkan oleh permusuhan politik kedua-dua parti terbesar ini. Sebab itulah kita melihat cabaran politik semakin menjadi-menjadi untuk melemahkan kuasa politik orang-orang melayu. Sentimen ‘divide and rule’ yang digunapakai selama ini tidak memberikan sebarang kebaikan kepada orang-orang melayu.

Sekarang sudah sampai masanya semua orang-orang melayu mengambil langkah bersatu. Jika dibiarkan lebih lama berpecah, saya khuatir satu hari nanti orang lain yang akan mengambil kesempatan. Pada masa itu, semuanya sudah terlambat dan amat susah untuk mengembalikan semula kuasa seperti sediakala.

Walau bagaimana pun, sebelum usaha ini dilakukan ada perkara lain yang harus dilakukan terlebih dahulu. Masing-masing parti UMNO dan PAS hendaklah terlebih dahulu memastikan supaya ahli-ahlinya faham dan sedar. Selepas faham dan sedar, perpaduan dikalangan ahli parti sendiri seterusnya harus dipupuk dan dibina dengan kuat pula. Barulah selepas itu dibawa kedua-dua parti ini untuk bersatu sebagai sebuah gabungan kuat orang-orang melayu secara keseluruhan.

Untuk mencapai matlamat perpaduan dalaman parti, perkara paling utama dan asas ialah mengelak pertandingan diperingkat jawatan teratas parti. Ini harus dilakukan disetiap peringkat iaitu pusat, bahagian dan cawangan bagi pihak UMNO manakala untuk PAS pula diperingkat pusat, kawasan dan cawangan. Mengikut kajian saya, perpecahan berlaku apabila berlakunya pertandingan diperingkat teratas ini. Apabila sudah berlaku, perpaduan amat susah hendak dicapai kerana masing-masing kem masih juga mahu mengawal dan memelihara orang masing-masing untuk tujuan pertandingan seterusnya pula.

Saya melihat senario yang berlaku dalam UMNO Pasir Puteh sebagai contoh. Walaupun bekas Ketua Bahagian terdahulu kalah lagi untuk kali kedua baru-baru ini, namun usaha untuk menentang Ketua Bahagian masih mahu dirancang dengan menampilkan orang lain pula sebagai ganti tubuh. Saya bukan bermaksud untuk menghalang sesiapa menentang sesiapa di sini tetapi saya lebih pentingkan perpaduan orang-orang melayu melalui dua parti terbesar orang-orang melayu ini yang tidak mungkin boleh berjalan dengan baik dan lancar usahanya jika perpaduan dalaman parti sentiasa tergugat.

Bagi saya bukan soal siapa menang siapa kalah dalam masing-masing parti UMNO atau PAS kerana pertandingan seperti itu tidaklah juga membawa sebarang kebaikan untuk orang-orang melayu. Orang yang menang akan berpuas hati sahaja manakala yang kalah akan berdendam. Selain daripada itu, jika pun alasan yang diberikan ialah menentang kerana dirasakan pemegangnya tidak layak atau tidak ‘perform’, bagi saya itu hanyalah prasangka buruk yang diada-adakan sahaja demi kepentingan diri kerana orang yang menentang pun bukan dijamin boleh menjadi pemimpin yang lebih baik daripada orang yang ditentang itu jika menang.

Oleh itu, untuk musim pertandingan dalam peringkat Bahagian UMNO Pasir Puteh nanti contohnya, cubalah elakkan pertandingan dijawatan tertinggi parti iaitu Ketua Bahagian. Jadikanlah pengalaman yang lepas sebagai tauladan dan sempadan.

Berikanlah ruang masa dan peluang untuk Ketua Bahagian sekarang memperbetulkan semula langkah-langkah kepimpinannya. Jika diganggu lagi, masa untuk membuat kerja akan terus terbantut dan agenda perpaduan dalaman parti pun terganggu juga.

Kepada mereka yang masih memasang angan-angan untuk bertanding dan melawan Ketua Bahagian sekarang, saya harap bersabarlah dahulu. Mana yang berniaga, berikanlah tumpuan kepada dunia perniagaan anda sambil membantu parti dari belakang mengikut cara dan kaedah yang sesuai dan sewajarnya.

Ingatlah bahawa agenda perpaduan orang-orang melayu secara keseluruhan melalui dua parti terbesar orang-orang melayu adalah lebih penting daripada matlamat peribadi anda.

No comments:

Post a Comment