Thursday 29 August 2013

Terbitan Khas

Jalur Gemilang

Bendera ini sangat mulia dan seharusnya dimuliakan dan dihormati oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama. Kalau dulu dipanggil 'Bendera Malaysia' sekarang sudah dimodenkan namanya dengan nama baru 'Jalur Gemilang'.

Bendera ini samalah juga mulianya seperti kita menjaga nama baik ibubapa dan keluarga sendiri. Kita akan marah semarah-marahnya jika ibubapa atau keluarga kita dihina dan dicaci, begitulah juga jika bendera ini dihina dan dicaci.

Walau bagaimana pun, zaman sudah berubah. Semua itu hanyalah pada zaman dahulu sahaja. Zaman sekarang bendera ini sudah seperti tidak membawa sebarang erti dan makna bagi sesetengah rakyat Malaysia, terutamanya kaum muda dan belia. Bukan sahaja mereka tidak mengendahkannya, bahkan adakalanya dipijak dan dibakar.

Kepada siapa yang hendak kita persalahkan? Apakah mereka yang melakukannya atau pun pihak yang lain?

Saya secara peribadi berpendapat mereka tidak seharusnya dipersalahkan 100%. Mereka bukan generasi seperti saya yang lahir sebelum merdeka. Mereka lahir di bawah lampu yang terang, bukan seperti generasi dahulu yang lahir hanya bertemankan pelita ayam. Mereka lahir di hospital dengan serba kemudahan moden, bukan lahir dari tangan bidan kampong. Mereka makan susu tepung dalam tin untuk membesar, bukan makan susu ibu yang menyusahkan ibunya. Mereka kesekolah bila besar dihantar dengan motosikal atau kereta, bukan dengan berjalan kaki atau berbasikal. Mereka balik rumah menikmati tayangan Astro dengan cerita-cerita menarik, bukan balik rumah bermain buah getah atau guli. Mereka mandi disiram air pancur dari atas kepala, bukan mandi dengan air telaga yang terpaksa ditarik naik dengan timba upeh. Mereka senang membuang air besar di dalam tandas, bukan menyelinap mencari tempat di dalam semak.

Disebabkan itu semua, sebagai contoh, bagaimanalah kita hendak mengharapkan supaya mereka menghayati erti kemerdekaan. Kita boleh menceritakan semua itu kepada mereka, tetapi cerita kita itu tidak boleh dipercayai mereka. Mereka akan hairan bagaimana orang dulu membuang air besar contohnya, jika tidak ada tandas yang sempurna.

Oleh itu, bagi saya, mereka tidak boleh dipersalahkan 100%.  Mereka tidak tahu apa-apa. Yang mereka tahu ada jalur gemilang tetapi tidak betul-betul faham apa yang ada disebalik bendera itu. Yang mereka tahu lagu yang dinyanyikan tiap-tiap hari dalam radio dan television tetapi lagu-lagu itu tidak diminati kerana alunan muziknya bukan berirama rock. Mereka lebih faham bendera dacing atau bulan atau bulan sabit atau roket kerana bendera-bendera itu lebih jelas menunjukkan lambang parti-parti politik yang ada di hadapan mereka.

Itu pandangan saya dari sudut tahap pemahaman kaum muda yang kita harapkan akan menjadi generasi pewaris kita dimasa hadapan. Dari sudut politiknya pula, saya mempunyai pandangan seperti di bawah.

Pertama, Jalur Gemilang dan sambutan Hari Kemerdekaan sejak akhir-akhir ini pula dilihat seolah-olah satu pihak sahaja yang memonopolinya. Kalau dahulu sambutannya dibuat dan diusahakan oleh kerajaan persekutuan dan negeri secara bersepadu, tetapi hari ini ianya dilihat seolah-olah kerajaan persekutuan dan BN sahaja yang melebih-lebih dalam usaha ini. Selain daripada mereka ini, pihak lain tidak begitu dipedulikan dan dianggap seperti kumpulan penyokong sahaja. Sepatutnya sambutan Hari Kemerdekaan tiada kena mengena dengan mana-mana parti politik. Ia harus dilaksanakan dengan melibatkan hanya kerajaan pusat dan negeri-negeri sahaja tanpa mengambilkira parti mana yang memerintah.

Kedua, sambutan pada masa ini mengambil masa yang terlalu lama tempuhnya. Dahulu ianya hanyalah satu hari sahaja iaitu pada setiap 31hb Ogos. Sekarang masa yang diambil ialah satu bulan yang dinamakan sebagai bulan sambutan Hari Kemerdekaan. Saya kurang bersetuju dengan masa yang panjang seperti ini.  Rakyat akan merasa jemu dan tidak lagi ghairah dan bersemangat menyambutnya kerana setiap tahun dikehendaki merayakannya sampai sebulan sedangkan hari raya pun hanya satu hari sahaja.

Ketiga, bendera-bendera Jalur Gemilang ini sepatutnya diberi dan diagih secara percuma kepada setiap isi rumah dan premis kedai. Dengan cara ini tidak payahlah lagi mereka mencari-carinya dan meminta-minta kesana kemari setiap kali tibanya Hari Kemerdekaan. Apalah sangat kalau kerajaan persekutuan berbelanja untuk tujuan ini untuk rakyatnya berbanding dengan belanja yang jauh lebih tinggi untuk menyediakan bendera-bendera pilihanraya.

Oleh itu, jika kerajaan mahukan rakyatnya kembali merasa bendera Jalur Gemilang ini seperti milik kesayangan mereka sekali gus menyemai rasa sayang terhadap tanah air sendiri, maka itulah yang saya cadangkan. Jika tidak, jangan terlalu dipersalahkan pihak yang lain jika satu hari nanti rasa sayang mereka kepada negara sendiri pun sudah luntur.

Dari,
Wan Malek Semerak
Penganalisis dan Pengkritik Bebas

No comments:

Post a Comment