Monday 19 August 2013

Terbitan Khas



Pemilihan UMNO Bahagian Pasir Puteh (siri 6)

Pada dasarnya, saya tetap dengan pendirian peribadi saya selaku orang melayu yang menginginkan perpaduan dikalangan orang-orang melayu melalui dua parti terbesar orang-orang melayu iaitu UMNO dan PAS dicapai.

Sebab itulah saya pernah berkata bahawa kedua-dua parti ini perlu mengukuhkan lagi perpaduan dalaman ahli-ahlinya sendiri terlebih dahulu sebelum agenda ini dicapai. Jika ini tidak diusahakan, perpaduan yang diharapkan itu tidak mungkin dicapai kerana masalah perpaduan dalaman setiap parti itu sendiri akan menyekat usaha luaran itu. Ada pihak yang menyokong, ada yang tidak. Jika perpaduan dalaman dicapai, usaha ini boleh mencapai kejayaan kerana majoriti ahlinya akan akur dan mengikut apa yang diputuskan oleh kepimpinan parti.

Sebab itulah juga saya pernah berkata bahawa pertandingan diperingkat tertinggi pusat dan juga bahagian seeloknya dielakkan terlebih dahulu buat sementara waktu. Biarkanlah pemimpin yang sedia ada ini memimpin supaya perpecahan tidak terus berlaku. Inilah yang paling ‘ideal’ untuk tujuan mengukuhkan perpaduan kearah mencapai cita-cita yang lebih besar itu.

Pendapat saya ini sudah tentulah ada yang bersetuju dan ada yang tidak. Mereka yang bersetuju adalah golongan yang tidak lagi aktif dalam parti terutamanya kaum veteran kedua-dua parti UMNO dan PAS, manakala yang tidak bersetuju itu pula biasanya orang-orang yang memegang jawatan parti atau sekurang-kurangnya ada kepentingan melaluinya. Mereka yang bersetuju tidak lagi memikirkan apa-apa yang lain kecuali mahukan kesejahteraan orang-orang melayu terbela secara menyeluruh melalui kekuatan perpaduan ini sedangkan yang tidak itu hanya memikirkan kesejahteraan peribadinya sahaja. Mereka yang bersetuju tidak banyak bercakap manakala yang tidak itu pula banyak berpidato menentang parti-parti lawan.

Dalam konteks ini, maka itulah sebabnya saya telah awal-awal cadangkan supaya pertandingan diperingkat tertinggi itu dielakkan tetapi semuanya tetap terpulang kepada para perwakilan yang akan memilih dan mengundi itu. Merekalah yang berhak membuat keputusan walaupun apa pun akibat yang akan terhasil. Jika mereka ingin menentukan supaya jawatan tertinggi itu tidak dipertandingkan, maka itulah keputusan terbaik. Jika mereka masih ingin memilih, maka itulah juga keputusan terbaik dalam usaha menyuburkan semangat demokrasi.

Jika perwakilan merasakan kepimpinan yang ada ini sudah banyak melakukan kesilapan-kesilapan besar yang ketara dan tidak boleh dimaafkan, maka pemilihan harus dijalankan untuk menentukan supaya parti tidak berterusan dipimpin oleh pemimpin seperti ini. Jika dibiarkan, semakin sukarlah agenda perpaduan hendak dicapai, baik diperingkat dalaman atau luaran.

Dalam kes seperti ini, tiadalah jalan lain melainkan menukar pemimpin yang berkenaan itu. Lebih baik dibuang segera kepala ikan yang buruk sementara ikan masih boleh dimasak dan dimakan.

Oleh,
Wan Malek Semerak
Penganalisis dan Pengkritik Bebas

No comments:

Post a Comment