Wednesday 21 August 2013

Terbitan Khas

Pemilihan UMNO Bahagian Pasir Puteh (siri 9)

Apabila saya bertemu dan berbual-bual dengan kawan-kawan lama saya di Semerak, sudah tentulah perkara utama yang disentuh pada masa ini ialah mengenai pemilihan. Jika ada 10 orang, semua akan bercakap mengenainya. Pada kebiasaannya, saya tidak bercakap banyak. Saya lebih suka bertanya dan mendengar sahaja kerana kerja utama saya ialah menulis, bukan bercakap.

Bermacam-macam ragamlah pendapat dan pandangan kawan-kawan saya ini. Ada yang bersetuju jika Ketua UMNO Bahagian dicabar dan ada juga yang tidak. Yang tidak bersetuju itu sudah tentulah mereka yang rapat atau pemegang jawatan politik yang dilantik oleh Ketua Bahagian, manakala yang bersetuju adalah dari golongan yang tidak memegang sebarang jawatan.

Sehari dua ini, cawangan-cawangan sedang sibuk mengadakan mesyuarat cawangan masing-masing. Saya dimaklumkan suasana pertandingan tidak lagi seghairah seperti pada masa-masa yang lalu. Ada cawangan yang ketuanya sudah tidak lagi berminat dicalonkan semula tetapi berminat untuk menjadi perwakilan. Bila ditanya mengapa, kawan-kawan saya ini menjawab ianya adalah kerana menjadi perwakilan lebih menguntungkan dan tidak dibebani dengan sebarang tanggungjawab sedangkan menjadi ketua bermakna memikul tanggungjawab terhadap cawangan dan ahli-ahlinya sepanjang tempuh jawatan.    

Saya bertanya jikalaulah ada berlaku pertandingan di peringkat Ketua Bahagian, siapakah yang dilihat akan mencabar kedudukan Ketua sekarang? Dalam ramai-ramai itu ada seorang yang selalu berterus terang dengan saya. Beliau adalah kawan lama saya dan masih memegang jawatan Ketua Cawangan di Cawangannya. Katanya, beliau mendapat tahu terdapat setakat ini 4 orang sekurang-kurangnya yang dijangka akan mencabar. Semua mereka itu adalah orang-orang yang mempunyai latar belakang pendidikan yang jauh lebih tinggi daripada Ketua sekarang. Walau bagaimana pun, katanya, Ketua sekarang mempunyai kelebihan dari segi politik melalui kedudukannya sebagai Ketua dan ADUN. Oleh itu, agak sukar untuk sesiapa pun menewaskannya.

Begitulah pendapat ahli-ahli UMNO di Semerak. Kalau kemana sekali pun saya pergi, inilah juga maklumbalas yang akan saya terima daripada ahi-ahli UMNO lain di tempat-tempat lain di Semerak. Mereka tidak mahu Ketuanya dicabar. Dengan itu, saya boleh membuat kesimpulan bahawa di Semerak sokongan terhadap Ketua Bahagian kuat dan kukuh.

Maka dengan itu juga, saya boleh membuat kesimpulan bahawa jikalaulah seandainya masih ada yang ingin mencabarnya, siapa pun mereka, mereka hendaklah bekerja dengan sangat kuat di Semerak. Jika Ketua sekarang sanggup masuk kampong mengetuk pintu rumah perwakilan pada jam 3 pagi, maka pencabarnya pun hendaklah berupaya melakukan perkara yang sama juga. Jika Ketua sekarang sanggup meningkatkan 'kemurahannya', maka pencabarnya pun hendaklah juga meningkatkan 'kemurahan' yang sama. Jika Ketua sekarang sanggup menyarung sarung tangan bertomoi dalam gelanggang, maka pencabarnya pun hendaklah juga sanggup berbuat perkara yang sama. Jika Ketua sekarang sanggup masuk ke balai 'main puteri' di kampong-kampong, maka pencabarnya pun hendaklah juga sanggup berbuat demikian juga.

Persoalannya: adakah sesiapa di Pasir Puteh yang sanggup melakukan perkara-perkara yang telah saya sebutkan itu seperti yang biasa dilakukan oleh Ketua sekarang? Jika tidak ada, ini pun kelebihan yang ada pada Ketua sekarang dalam usahanya menjaga hati orang-orang kampong.

Oleh,
Wan Malek Semerak
Penganalisis dan Pengkritik Bebas 


No comments:

Post a Comment