Saturday 17 August 2013

Terbitan Khas



Pemilihan UMNO Bahagian Pasir Puteh (siri 5)

Kejayaan yang dicapai oleh UMNO Bahagian Pasir Puteh ialah menang PRU13 untuk DUN Semerak dan DUN Selising. Walaupun hanya dua DUN sahaja yang menang, mahu tidak mahu semua pihak terpaksa mengakui bahawa sudah berlaku sedikit perubahan dan kemajuan berbanding PRU12.

Walau bagaimana pun, apa yang sangat-sangat diharapkan ialah kemenangan parlimen Pasir Puteh. Inilah sebenarnya kemenangan yang seharusnya dijadikan keutamaan walaupun kemenangan di peringkat DUN diperlukan. Kemenangan dua DUN itu tidak boleh dibanggakan kerana negeri Kelantan masih lagi dibawah pemerintahan PAS. Oleh itu, kuasa terpenting seorang wakil rakyat DUN tidak diperolehi oleh wakil rakyat BN iaitu kuasa mentadbir dalam hal ehwal urusan tanah dan hakmiliknya. Sebaliknya, penyelia yang dilantik oleh kerajaan negerilah yang mempunyai kuasa dalam urusan ini walaupun sesuatu DUN itu dimenangi oleh calon BN.

Dengan itu, tidaklah keterlaluan jika saya berkata bahawa kemenangan yang dicapai oleh calon-calon BN itu tidak membawa sebarang makna untuk rakyat kedua-dua DUN itu. Ianya lebih bermakna jika parlimen dimenangi kerana sudah tentulah kerajaan pusat lebih mudah menyalurkan peruntukan pembangunan apabila wakil parlimen adalah dari parti sendiri.  Ada juga orang berkata, peruntukan masih boleh disalurkan melalui Ketua UMNO Bahagian tetapi mereka tidak sedar bahawa peruntukan dari kerajaan pusat tidak boleh sewenang-wenangnya disalurkan seperti peruntukan parti.

Apabila diumumkan keputusan pilihanraya, orang-orang UMNO dan BN menyambut kemenangan kedua-dua calon ini dengan megah dan bangga. Namun, mereka lupa bahawa kerusi utama iaitu parlimen kalah. Mereka tidak pernah tahu dan sedar bahawa kerusi parlimenlah yang sebenarnya lebih penting untuk dimenangi berbanding kerusi DUN.

Mereka tidak sedar bahawa kemenangan yang dicapai itu bukanlah kejayaan. Sebenarnya ianya adalah kegagalan besar sepertimana juga kegagalan-kegagalan yang lalu. Ianya juga bermakna bahawa itu adalah kegagalan kepimpinan UMNO Bahagian Pasir Puteh kerana tidak bijak meletak calon di peringkat parlimen Pasir Puteh.  Semua orang tahu dan boleh menjangkakan bahawa calon yang telah bertanding itu tidak mungkin boleh menang setelah kalah dua kali berturut-turut sebelum ini menentang orang yang sama tetapi kepimpinan UMNO Bahagian membiarkannya sahaja seolah-olah sengaja mahukan supaya kerusi parlimen ini kalah. Apabila dibiarkan kalah, UMNO Bahagian tidak mahu dipertanggungjawabkan atau dikaitkan pula dengan kekalahan itu asalkan ketuanya menang.

Inilah penilaian yang seharusnya diberikan perhatian oleh semua perwakilan yang akan mengundi untuk memilih barisan kepimpinan UMNO Bahagian Pasir Puteh nanti. Jika apa yang telah dilihat berlaku itu dianggap sebagai kejayaan, maka undi dan pilihlah semula kepimpinan yang ada. Jika apa yang dilihat berlaku itu sebagai kegagalan, maka undi dan jalankanlah tanggungjawab anda kearah ‘reformasi’ dalaman dengan memilih pemimpin yang lain. Mudah-mudahan tindakan drastik anda itu boleh memungkinkan parlimen Pasir Puteh dimenangi BN dalam PRU14 nanti.

Undi dan kuasa di tangan anda, bukan di tangan pemimpin UMNO dan kuasa yang akan ada di tangan mereka pula nanti pun adalah kuasa anda juga.

Salam dari saya,
Wan Malek Semerak
Penganalisis dan Pengkritik Bebas

No comments:

Post a Comment