Monday 3 November 2014

UMNO Selangor Lembab - UMNO Kelantan Lagu Mana? (revised)


Apabila YAB Dato’ Sri PM merangkap Presiden UMNO berkata pada 31hb Oktober 2014 bahawa UMNO Selangor lembab dan itulah sebabnya maka Selangor masih belum dapat ditawan, orang-orang Kelantan tidak perlu merasa apa-apa. Yang merasakannya ialah orang-orang UMNO Selangor sahaja. Orang-orang UMNO Kelantan tidak terlibat dengan teguran YAB Dato’ Sri Presiden itu kecualilah jika beliau menyebut UMNO semua negeri yang diperintah oleh parti pembangkang lembab.
 
Saya tidak tahu mengapa hanya kepada UMNO Selangor sahaja beliau berkata begitu seolah-olah UMNO negeri-negeri lain yang diperintah oleh parti pembangkang tidak lembab. Apakah Kelantan yang hampir memasuki tahun ke-25 diperintah oleh parti PAS, UMNO Kelantan tidak lembab?

Saya mempunyai pendapat yang hampir sama atau selari dengan YAB Dato’ Sri Presiden UMNO dan saya yakin beliau sebenarnya tidak bermaksud bahawa UMNO negeri-negeri lain tidak lembab. Sebagai permulaan sahaja, beliau berkata UMNO lembab di negeri Selangor. Selepas ini, beliau mungkin akan membuat lawatan kerja ke negeri-negeri lain termasuk Kelantan dan berkata di Kelantan bahawa UMNO Kelantan pun lembab juga, bahkan lebih teruk lembabnya dari UMNO Selangor.

Apabila kita membicarakan tentang lembab atau tidaknya UMNO di negeri-negeri yang diperintah oleh parti pembangkang, kita tidak boleh lari dari satu hakikat bahawa bukan UMNO itu yang lembab sebenarnya. Yang lembab itu ialah kepimpinannya iaitu Pengerusi Perhubungan UMNO setiap negeri yang berkenaan itu. Yang lembab itu ialah barisan kepimpinan di bawah Pengerusi Perhubungan setiap negeri yang berkenaan itu. Yang lembab itu ialah Ketua-Ketua UMNO Bahagian dan jentera bawahan setiap negeri yang berkenaan itu. Yang lembab itu ialah petugas-petugas diperingkat akar umbi setiap negeri yang berkenaan itu.

Bagaimana kita hendak berkata sebaliknya jika seorang Ketua Bahagian merangkap ADUN tidak pernah pun mendekatkan dirinya dengan rakyat diperingkat akar umbi? Usaha ‘turun padang’ yang menjadi asas kekuatan politik tidak pernah diambil peduli oleh Ketua-Ketua Bahagian walaupun teriakan demi teriakan dilaungkan oleh kepimpinan pusat terutamanya oleh YAB Dato’ Sri Presiden sendiri supaya usaha ini dipergiatkan bahkan dilipatgandakan pada setiap masa.

Saya tidak mahu menafikan bahawa isu-isu politik ada memainkan peranannya secara ‘substantial’ dalam menentukan samada sokongan terhadap UMNO bertambah atau sebaliknya berkurangan. Namun isu-isu politik sentiasa berubah. Adakalanya timbul dan adakalanya tenggelam. Isu-isu politik ini ada yang boleh dikawal dan ada yang tidak. Itu sebahagian daripada kaedah dan cara orang ramai membuat ukuran dan penilaian terhadap sesebuah parti politik itu. 

Bahagian yang lain pula ialah orang ramai melihat dan menilai terhadap sesebuah parti yang ingin diberikan sokongan. Mana satu parti yang disukai bergantung juga kepada sejauh mana kemampuan parti itu menghadapi masalah dalamannya. Saya berkata begini kerana parti-parti lain pun ada masalahnya seperti UMNO juga.

Dasar dan matlamat sesebuah parti politik sudah tentu bunyinya pun berlainan berbanding parti-parti yang lain. Dasar parti UMNO sudah tentulah berbeza dengan dasar parti PAS. Dasar UMNO membawa prinsip nasionalisma manakala dasar PAS membawa prinsip keIslaman. Inilah yang telah memisahkan kedua-dua parti terbesar orang-orang melayu di tanah air kita ini sejak sekian lama. Orang-orang melayu yang kononnya alim dan warak menyertai PAS manakala yang tidak menyertai UMNO. Maka berbalah dan bermusuhanlah orang-orang melayu hanya semata-mata kerana perbezaan ideologi ini. Orang-orang UMNO tiada masalah berjemaah dengan imam PAS dimana-mana sahaja dan pada bila-bila masa sahaja tetapi orang-orang PAS menolak imam UMNO mentah-mentah dari dulu lagi. Suasana ini dibiarkan oleh kepimpinan kedua-dua parti ini sudah sekian lama sehinggalah kepada peringkat menguruskan jenazah termasuk pengkebumiannya.

Sekarang, zaman sudah semakin berubah. Kepimpinan UMNO nampak sudah semakin bersedia untuk menerima semula PAS sebagai rakan kongsi atau sekurang-kurangnya sebagai kawan. Begitu juga dengan kepimpinan PAS. Sudah ada tanda-tanda ketaksuban mereka mulai reda dan faham bahawa perpecahan orang-orang melayu boleh menguntungkan pihak yang lain. Jika perpecahan dibiarkan berterusan, tidak mustahil satu hari nanti bangsa melayu sendiri pun hilang. Apabila melayu hilang, sudah tentu hilanglah juga agama Islam dari negara ini atau sekurang-kurangnya tidak lagi menjadi agama rasmi negara.

Oleh itu, bagi saya UMNO dan PAS sama sahaja. Kalau pun UMNO tidak meletakkan Islam sebagai asas perjuangan partinya, namun perjuangannya masih juga betul selagi pemimpinnya tidak keterlaluan sehingga melanggar larangan agama. Begitu juga terhadap parti PAS. Tidak bermakna dasarnya jika pemimpinnya tidak mahu berusaha kearah menyatupadukan umat Islam negara ini seolah-olah perpaduan ummah bukan sesuatu yang penting dan dituntut dalam agama. Menjaja kesana kemari kata-kata ‘aku sahaja yang betul, semua orang lain salah maka orang kena ikut aku’ adalah kata-kata yang sudah tidak lagi laku walaupun dilelong di pasar minggu pada masa ini.

Berdasarkan kepada inilah, mungkin agaknya inilah sebabnya maka YAB Dato’ Sri Presiden UMNO belum lagi mahu mengkritik UMNO negeri-negeri lain terutamanya UMNO Kelantan. UMNO Kelantan berdepan dengan PAS sebagai lawan utamanya sedangkan UMNO Selangor berdepan dengan PKR sebagai lawan utamanya. Jika UMNO Kelantan berdepan dengan PKR juga sepertimana UMNO Selangor, saya yakin YAB Dato’ Sri Presiden UMNO akan datang ke Kelantan satu hari nanti dan berkata ‘UMNO Kelantan pun lembab juga, bahkan jauh lebih lembab berbanding UMNO Selangor kerana membiarkan negeri Kelantan diperintah oleh PAS selama 25 tahun atau suku abad’.

Atau mungkin juga beliau tidak mahu berkata apa-apa lagi terhadap UMNO Kelantan kerana beliau tahu walau apa pun dibuat, Kelantan tidak mungkin dirampas semula buat selama-lamanya. Oleh itu, beliau memilih untuk tidak lagi mengkritik UMNO Kelantan kerana merasakan bahawa tindakan yang lebih baik ialah berbaik-baik dengan PAS.

Jika inilah yang difikirkan oleh YAB Dato’ Sri Presiden UMNO,
saya sangat bersetuju.

No comments:

Post a Comment