Monday 24 November 2014

Kelemahan Kepimpinan UMNO Peringkat Cawangan


Buat sementara saya sudah habis menegur dan mengkritik pucuk kepimpinan perhubungan UMNO / BN Kelantan. Sekarang saya hendak menegur dan mengkritik kepimpinan UMNO di peringkat Bahagian pula.

Namun, tidak banyak yang boleh saya perkatakan tentangnya. Ini kerana kalau pun saya menyebut tentang kelemahan-kelemahan UMNO Bahagian, saya hanya mengulangi perkara yang sama sahaja. Orang pun sudah tahu dan letih serta jemu membacanya terutamanya mengenai kepimpinan UMNO Bahagian Pasir Puteh.

Oleh itu, lebih baik saya menyentuh sedikit tentang UMNO Cawangan pula kerana Cawangan ialah ‘grass root’ dan ‘foundation’ politik kepartian.

Di tempat saya, masalahnya masih lagi sama. Kepimpinan dan jentera parti di peringkat ini masih tidak berubah dan berada di takuk lama dari segi strategi pendekatan berpolitik. Mereka masih mengamalkan sikap lama membawa perasaan sebagai ‘orang penting parti’. Sikap dan ego mereka jelas dilihat dari cara mereka bergaul dengan orang ramai termasuk mereka yang baru pertama kali diberikan jawatan parti atau jawatan politik dibawah JPP. Bila ada majlis pembahagian bantuan beras oleh parti kepada orang ramai contohnya, ada Ketua Cawangan dilihat lebih mementingkan diri sendiri. Beras yang diambil bukan satu seperti orang-orang lain tetapi dua tanpa segan dan silu walaupun beliau ialah imam sebuah madrasah. Mungkin dalam hatinya dia berkata ‘aku kena ambil dua sebab aku Ketua Cawangan’. Maka mereka yang tidak mendapatnya pun berkata ‘ambo tak heran boko berah ssupik jah tugak, ambo buleh beli ehh’ dan itulah saat berputiknya perasaan membenci kepada kepimpinan Cawangan dan parti.

Diperingkat wanita pula, jentera utamanya suka mengamalkan sikap pilih kasih. Jika ada apa-apa program atau majlis yang menghendakkan kehadiran ahli wanitanya, hanya mereka yang rapat dengannya sahaja disampaikan makluman dan jemputan. Mereka yang lain ditinggalkan kerana dianggap sebagai ‘bukan orang kita’ walaupun orang itu sudah menjadi ahli UMNO jauh lebih dulu darinya sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu. Contoh terbaru ialah program asyura dimana hanya ‘orang-orang kita’ sahaja diberikan makluman dan jemputan.

Amalan ini ‘menjauhkan parti dari orang ramai’, bukan ‘menjauhkan orang ramai dari parti'. Mereka menjadikan parti UMNO seolah-olah seperti hakmilik atau syarikat peribadi mereka. Apa sahaja dikawal mereka dengan sesuka hati. Akibatnya sudah ada yang datang mengadu kepada saya tentang perkara ini dan pengadu yang datang itu sudah membuat keputusan untuk tidak lagi mahu aktif bersama-sama membantu pemimpin Cawangan dan Wanita. Saya sekadar berupaya untuk menasihatkannya supaya bersabar dan berehat. Perasaan marah yang keterlaluan tidak membawa sebarang kebaikan bahkan boleh membawa kemudaratan kepada diri sendiri dan masyarakat. Apa yang boleh saya buat ialah menulis sesuatu dalam blog saya ini dan berharap kepimpinan parti diperingkat pusat melakukan sesuatu untuk memperbetulkan semula sikap mereka setelah membaca artikel saya ini.

Jika nasihat dan arahan dari kepimpinan pusat pun mereka tidak mahu pakai, saya rasa biarkanlah mereka dengan sikap mereka itu. Membina bangunan pencakar langit pun jauh lebih mudah berbanding membina sikap manusia.

Mereka ghairah berebut jawatan semata-mata kerana imbuhan bukan ikhlas untuk berkhidmat. Mereka merasa istimewa atau ‘privileged’ mendapat jawatan tetapi tidak tahu atau tidak pernah diajar supaya berlaku adil dan saksama terhadap ahli-ahli UMNO dari semua peringkat. Pada kebiasaannya orang-orang seperti ini tidak pernah pun menyimpan perlembagaan parti, jauh sekali untuk membaca dan menghayati lalu mengamalkan apa yang terkandung di dalamnya.

Kesan dari dasar transformasi banyak berlaku keatas badan-badan kerajaan dan agensinya tetapi tidak keatas UMNO sendiri. Jika dibiarkan, lambat laun proses keatas badan-badan kerajaan pun akan terbantut atau terencat juga akhirnya kerana UMNO ialah tunjang kepada sistem politik dan pemerintahan negara. Oleh itu, UMNOlah yang sepatutnya diberikan tekanan terlebih dahulu untuk ditransformasikan secara menyeluruh dan awal-awal. Transformasi yang paling penting ialah mendidik dan mengubahsuai keperluan kearah mewujudkan kepimpinan yang tidak mementingkan diri sendiri disemua peringkat sekaligus menghapuskan rasuah politik dalam parti itu sendiri terlebih dahulu.

(Sekadar teguran dari seorang ‘non-partisan’ yang bukan dari jenis membisu seribu bahasa. Saya akan sentiasa menegur dan mengkritik siapa sahaja dan dari parti mana pun dari masa kesemasa, jika perlu, secara menulis. Namun saya lebih berkebolehan menegur parti UMNO kerana saya mula menganggotai parti ini pada tahun 1983 atau 31 tahun yang lalu sewaktu saya berumur 30 tahun. Pernah menjadi Pegawai Perkhidmatan UMNO Bahagian Pasir Puteh di pejabat UMNO Bahagian Pasir Puteh dibawah bekas Ketua UMNO Bahagian YBhg Datuk Kamaruddin Md Nor, pernah menjadi wakil calon pilihanraya umum bagi calon BN DUN Semerak dan pernah menjadi Setiausaha UMNO Cawangan dibawah bekas Ketua UMNO Cawangan Kg Gelam Pasir Puteh, YBhg Dato’ Pahamin A. Rajab)

No comments:

Post a Comment