Friday 7 November 2014

Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional atau PTPTN


Sepertimana ibubapa-ibubapa yang lain juga, saya pun mempunyai anak-anak yang belajar di Institusi Pendidikan Tinggi Awam atau IPTA dan anak-anak saya ini belajar dengan pembiayaan pinjaman PTPTN. Apabila mereka tamat belajar, mereka dikehendaki membayar balik hutang mereka sepertimana yang telah ditandatangani dalam perjanjian dan bayaran balik adalah secara bulanan jika mereka bekerja. Pembayaran balik ini sudah tentulah merupakan sesuatu yang lumrah dan biasa kerana ianya adalah ‘pinjaman’. Setiap apa yang dipinjam walau kayu api pun harus dibayar balik apalagi jika yang dipinjam itu ialah wang dan semua orang tahu hal ini. Tujuan penubuhannya pada tahun 1997 sememangnya baik. Negara yang mempunyai rakyat berpendidikan tinggi sudah tentulah lebih baik berbanding dengan negara yang tidak.

Menyentuh isu ini saya berpendapat bahawa dalam negara kita ada dua golongan rakyat. Satu golongan ialah ibubapa-ibubapa yang kaya atau berada manakala yang satu lagi miskin atau kurang berada. Golongan kaya tiada masalah untuk melengkapkan anak-anak mereka dengan pelajaran tinggi manakala golongan miskin perlu dibantu pembiayaannya. Golongan kaya terdiri dari mereka yang bergaji besar atau berniaga besar manakala golongan miskin terdiri dari mereka yang bergaji kecil atau berniaga kecil-kecilan termasuk juga orang-orang kampung yang bekerja sendiri tanpa pendapatan yang tetap seperti saya.

Apabila anak-anak dari keluarga berada tamat belajar dan bekerja, mereka tidak perlu memikul sebarang beban membayar balik apa-apa hutang kerana pembiayaan oleh ibubapa mereka terlangsai secara otomatik. Bahkan ada diantara mereka terus dibantu lagi jika mereka ingin memulakan perniagaan. Nasib mereka sungguh bertuah kerana dilahirkan dalam keluarga berada. Segala-galanya mudah dan mewah sejak dari kecil sehinggalah dewasa dan berumah tangga.

Jauh disebelah sudut yang berasingan pula, anak-anak dari keluarga miskin terpaksa memikul beban membayar balik hutang kerana pembiayaan pelajaran keatas mereka adalah dari kerajaan atau pemerintah. Bahkan ada diantara mereka terpaksa membantu adik-adik yang lain pula yang masih belajar kerana kemiskinan hidup ibubapa mereka. Mereka kurang bernasib baik kerana dilahirkan dalam keluarga miskin. Segala-galanya susah dan payah sejak dari kecil sehinggalah dewasa dan berumah tangga.

Anak-anak orang berada kalau tidak bekerja pun tidak apa selepas tamat belajar. Ibubapa mereka masih mampu menyara mereka. Anak-anak orang miskin pula terpaksa bekerja sebaik sahaja tamat belajar kerana memerlukan wang untuk hidup dan membayar hutang PTPTN.

Apa yang menjadi masalah keatas mereka ialah bukan senang untuk mendapat pekerjaan yang membolehkan mereka membayar balik hutang itu pada masa sekarang ini. Apa lagi hendak membantu adik-adiknya yang lain. Ramai diantara mereka terpaksa menganggur kerana ketiadaan peluang pekerjaan untuk mereka. Akhirnya mereka pun sanggup menerima apa jua pekerjaan walaupun gaji yang ditawarkan sangat rendah dan tidak sepadan dengan tarap kelulusan yang diperolehi mereka. Sekurang-kurangnya bolehlah membantu keluarga untuk belanja dapur dan bil api serta air tetapi tidak cukuplah untuk membayar balik hutang PTPTN.

Oleh yang demikian, apabila kita mendengar bahawa kerajaan berura-ura hendak mewujudkan satu modul berbentuk ‘tekanan’ atau ‘paksaan’ keatas mereka supaya pinjaman itu dibayar balik juga tanpa mengambilkira samada pelajar-pelajar ini mampu atau pun tidak, saya rasa itu adalah satu tindakan yang kurang wajar dan tidak adil. Pelajar-pelajar dalam kategori keluarga seperti ini sepatutnya pembiayaan pelajaran mereka pun diberikan secara percuma melalui ‘scholarship’ atau ‘financial aid’. Mereka adalah juga aset yang bernilai yang akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan kemajuan negara pada masa depan. Yang membezakan mereka hanyalah kemiskinan keluarga sedangkan taraf pemikiran dan kemampuan tetap sama dengan mereka yang datang dari keluarga berada.

Saya ingin mencadangkan supaya sistem pembiayaan pelajaran oleh kerajaan keatas pelajar-pelajar miskin dikaji semula sekali lagi. Berpatah balik kepada sistem lama bukan bererti undur ke belakang. Sistem lama lebih baik dan lebih berkesan kerana pembiayaan kerajaan keatas pelajaran-pelajar miskin secara peruma menepati citarasa sebenar majoriti rakyat.

Membelanjakan banyak wang negara untuk tujuan membekalkan pelajaran sehingga kepada tahap pelajaran tinggi secara percuma kepada rakyat miskin adalah sesuatu yang sememangnya menjadi tanggungjawab asas pemerintah  kecualilah negara pun miskin juga dan pemerintah sendiri pun tidak berpelajaran.

No comments:

Post a Comment