Friday 7 November 2014

UMNO Lembab vs Kekayaan dan Kemewahan Hidup Ketua UMNO Bahagian @ Ahli Parlimen

Susulan tulisan saya terdahulu yang menyentuh isu teguran YAB Dato’ Sri Presiden UMNO terhadap UMNO Selangor, saya sangat bersetuju apabila YAB Dato’ Sri Presiden terus menyambung tegurannya terhadap UMNO negeri-negeri lain pula hari ini dengan nada yang sama.
                                                 
Bagi saya jika UMNO lembab di Selangor, ianya bermakna UMNO lembab juga di semua negeri-negeri lain terutamanya negeri-negeri yang diperintah oleh parti pembangkang. Ini disebabkan kerana UMNO hanyalah satu dan berpusat. UMNO Selangor dan UMNO Kelantan contohnya, adalah UMNO yang sama bukan berlainan entiti. Cubit peha kanan, peha kiri pun terasa juga. Begitu jugalah apabila YAB Dato’ Sri Presiden berkata bahawa UMNO Selangor lembab, maka UMNO Kelantan pun sepatutnya terasa juga kerana UMNO Kelantan lebih-lebih lagilah lembabnya.

Setelah ditegur dengan suatu teguran yang tidak pernah dibuat seperti ini sebelum ini, sepatutnya teguran ini terus dijadikan sebagai sesuatu yang amat penting oleh semua pengerusi perhubungan UMNO setiap negeri yang terlibat. Mereka sepatutnya terus memanggil semua Ketua-Ketua UMNO Bahagian untuk bermesyuarat dan berbincang tentang mengapa YAB Dato’ Sri Presiden berkata demikian. Mesyuarat ini harus memberikan tumpuan kepada segala kelemahan yang ada dan mencari jalan bagaimana hendak memperbetulkannya dengan segera.

Meneruskan sikap untuk tidak mengakui kelemahan-kelemahan sendiri adalah sesuatu yang tidak berguna lagi apabila YAB Dato’ Sri Presiden sendiri pun sudah menyebutnya. Dalam saat-saat seperti ini, selain mengakui secara jujur dan ‘jantan’, pengorbanan drastik pun harus juga dilakukan jika perlu. Maksud saya, ini termasuk proses menggantikan pengerusi perhubungan negeri contohnya jika jawatan ini sudah sampai masanya orang lain yang lebih berkebolehan pula menjawatnya. Dalam saat-saat seperti ini budaya bodek dan ampu sudah tidak ada tempatnya bagi mereka yang mengamalkannya selama ini. Demi parti terbesar orang-orang melayu, seorang pengerusi perhubungan harus berundur untuk memberikan laluan kepada orang baru jika terbukti kepimpinannya selama ini tidak membuahkan hasil sepertimana yang diharapkan. Negeri Kelantan merupakan salah satu daripadanya.

Saya berani berkata bahawa sudah sampai masanya UMNO Kelantan dipimpin oleh seorang pengerusi perhubungan yang baru. Pengerusi baru ini hendaklah seseorang dari kalangan mereka yang berpengalaman dan berkebolehan serta dihormati oleh sebilangan besar ahli-ahli UMNO Kelantan sendiri. Ahli-ahli ini diwakili oleh Ketua-Ketua UMNO Bahagian.

Orang baru ini juga hendaklah yang disegani oleh kawan dan lawan. Orangnya hendaklah bersikap sederhana tetapi tegas dan berani dalam membuat keputusan dan arahan. Tidak mudah tunduk dan takut kepada tekanan seperti pengerusi yang ada.

Namun, bukan mudah mencari orang seperti ini. Dikalangan Ketua-Ketua UMNO Bahagian negeri Kelantan, boleh dikatakan hampir tiada orang yang menepati kriteria seperti yang dimaksudkan itu. Yang ada ialah orang yang berpura-pura sederhana dalam kehidupannya tetapi mempunyai rumah bagaikan istana di Kuala Lumpur. Di daerah dimana beliau menjadi Ketua UMNO Bahagian, beliau tinggal di rumah yang sederhana dan bergerak kesana kemari keluar masuk kampung hanya dengan kereta Proton sahaja. Orang tidak tahu kekayaan dan kemewahan sebenar beliau kerana tidak seorang pun diberikan peluang bertandang ke rumahnya di Kuala Lumpur. Yang dibenarkan pergi hanyalah kaum kerabat terdekat sahaja dan itu pun dipesannya supaya gambar rumahnya tidak diposkan ke laman media sosial seperti Facebook atau lain-lain. Bayangkanlah rumah-rumah dihubungkan dengan jejantas berhawa dingin dan lantai rumah berkaca tebal kerana di bawahnya ada kolam ikan mewah.

Saya khuatir jika orang seperti ini dipilih untuk menerajui UMNO Kelantan, nasib UMNO menjadi semakin parah. Ini kerana orang seperti ini nampak sahaja bekerja dan berkorban untuk parti tetapi dalam masa yang sama tujuan utamanya ialah untuk mengkayakan lagi diri sendirinya sahaja. Nampak sahaja berderma di sana sini pada siang hari, tetapi pada malamnya menghitung dan mengira-ngira bersama isterinya yang menguruskan perniagaan bagi pihaknya berapa juta pulangan atau untung yang akan diperolehi jika jawatan dalam parti dapat terus dipertingkatkan lagi. Kalau sekarang hanya sebagai Ketua Bahagian dan Ahli Parlimen, sudah tentu dengan jawatan pengerusi perhubungan menjadi menteri pula.

YAB Dato’ Sri Presiden UMNO harus berhati-hati dalam soal ini. Kena orangnya maka UMNO menjadi bertambah baik dengan pertambahan sokongan. Tidak kena orangnya maka UMNO menjadi semakin dibenci dan ditinggalkan. Hanya YAB Dato’ Sri Presidenlah yang boleh menentukannya kerana beliaulah satu-satunya orang yang layak membuat teguran itu dan layak pula untuk menentukan siapa orangnya yang patut menggantikan pengerusi perhubungan negeri, jika perlu. Jangan bertanya kepada mereka yang menginginkan atau mengidamkan jawatan itu tetapi tanyalah orang-orang lain termasuk orang-orang lama iatu kaum veteran seperti saya.

No comments:

Post a Comment