Thursday 27 November 2014

Ucapan Perasmian Oleh YAB Tan Sri Timbalan Presiden UMNO (sambungan)



3. Selain daripada agenda ‘meremajakan’ UMNO, terdapat juga perkara-perkara baru yang lain yang diperkenalkan dalam Perhimpunan Agung UMNO kali ini. Salah satu daripadanya ialah sistem ‘on-line’ bagi pemohon-pemohon baru untuk menjadi ahli parti. Ianya boleh dilakukan di mana-mana sahaja dalam dunia oleh mana-mana orang melayu yang layak dan permohonan ini adalah secara terus ke ibu pejabat UMNO.

Perkembangan terbaru ini sememangnya sesuatu yang amat baik. Pemohon tidak lagi perlu mengisi borang secara konvensional melalui mana-mana Cawangan seperti dahulu. Ini meringkaskan prosedur dan tiada lagi masalah mendapatkan tandatangan Cawangan.

Walau bagaimana pun, sistem yang baru diperkenalkan ini hanyalah sesuatu yang berbentuk teknikal sahaja dan ianya bukan dasar parti. Pengumuman mengenainya hanyalah sesuatu yang menggambarkan bahawa UMNO ketinggalan jauh kebelakang kerana baru sahaja membuat keputusan untuk mengambil faedah dari kemudahan teknologi maklumat atau IT. Saya beranggapan ini pun satu lagi kelewatan parti ini dalam menyesuaikan diri dengan kemajuan pesat IT. Oleh itu, tidak perlulah ditemual dalam tv orang-orang yang ghairah bercakap memberikan sokongan dan menyambut pembaharuan ini termasuk Naib-Naib Presiden parti yang juga Menteri Kabinet.

4. Menyentuh tentang isu Akta Hasutan pula, saya melihat ianya hanyalah laungan beramai-ramai setahun sekali sahaja apabila diadakan perhimpunan agung. Pemimpin ketiga-tiga sayaplah yang selalu dilihat lantang bersuara dalam dewan di hadapan para perwakilan bilamana ada sesuatu yang dianggap menyentuh sensitiviti agama, kaum dan perlembagaan.

Bagi saya, laungan dan jeritan mereka hanyalah sebagai halwa telinga sahaja. Berpidato dengan bersemangat dan berdegar-degar sehingga pembesar suara pun boleh pecah kononnya mempertahankan agama, bangsa dan tanah air hanyalah latihan tahunan supaya lidah mereka menjadi lebih petah sahaja. Kononnya merekalah panglima-panglima angkatan perang bagi orang-orang melayu. Setahun sekali sahajalah kita boleh melihat latihan ini. Apabila selesai perhimpunan dan mereka balik ke tempat masing-masing, tahun hadapan pulalah mereka ke dewan untuk latihan berpidato lagi.

Saya menganggap banyak kerja sia-sia yang berlaku semasa perhimpunan agung ini. Laungan dan jeritan seperti itu contohnya tidak diperlukan oleh negara sebenarnya. Musuh-musuh politik di luar sana tetap juga bebas menghina dan menghasut serta menconteng arang ke muka orang-orang melayu dan raja-raja serta agama Islam. Mereka terus bebas melakukannya kerana pemimpin-pemimpin melayu ini hanya bertegas setahun sekali sahaja hanya semata-mata untuk mempamerkan kehebatan berpidato sahaja. Bersemangat hanya di hadapan khalayak ramai dalam sebuah dewan yang dipenuhi dengan orang-orang UMNO sahaja. Mereka tidak pula bersemangat seperti itu apabila bersama dengan pemimpin dari parti-parti komponen BN.

Saya berpendapat isu Akta Hasutan ini tidak memerlukan tiupan semangat yang berlebihan oleh pemimpin-pemimpin UMNO dalam perhimpunan besar seperti ini. Apa yang lebih perlu dilakukan ialah penguatkuasaan undang-undangnya pada setiap masa dan dimana-mana serta keatas sesiapa pun sahaja. Untuk menangkap pencuri lebih baik dilakukan dengan cara diam dan senyap berbanding dengan cara bising dan menjerit-jerit. Jika bising, pencuri itu tidak akan datang buat sementara waktu tetapi tetap akan datang juga pada masa yang lain.

Begitulah juga dengan isu Akta Hasutan ini. Mereka yang terlibat akan berdiam diri buat sementara waktu tetapi akan melancarkan lagi serangan demi serangan yang lebih hebat apabila penguatkuasaannya menjadi longgar dan longlai. Mengapa ianya menjadi longgar dan longlai, anda jawablah sendiri.

5. Penubuhan Angkatan atau Skuad Semut Api Puteri UMNO mendapat tepukan gemuruh di dalam dewan tetapi menjadi bahan rajalawak mega di luar sana sebaliknya. Pemimpin dan ahli Puteri tidak menyedari bahawa mereka sekadar menciplak sesuatu yang sudah lama dijalankan oleh orang lain. Perkataan semut itu sendiri pun tidak sesuai sebenarnya kerana sengatannya tidak sehebat mana. Tanyalah orang-orang Kampong Semut Api di Kelantan (dalam DUN Kijang yang diwakili oleh YB Ubaidah Bt Omar dari parti PAS) tentang setakat mana kesakitan digigit semut api. Memang sakit tetapi tidaklah lama sangat.

Saya lebih bersetuju jika namanya ialah Angkatan atau Skuad Tebuan Tanah atau Lipan Bara. Denyutan bisa dari sengatan seekor tebuan tanah atau seekor lipan bara tidak sama walaupun dibandingkan dengan sengatan 100 ekor semut api pun. Hanya mereka yang pernah disengat tebuan tanah atau lipan bara sahajalah yang tahu dan faham maksud saya ini.

Oleh itu, jika hendak menciplak sesuatu yang orang lain sudah pun lebih lama dan lebih dahulu buat, buatlah sesuatu yang melebihi apa yang orang lain sudah buat itu. Kalau dari segi sengatan, biarlah lebih berbisa. Istilah yang digunakan biarlah berbeza kerana Semut Api tetap sama spesisnya dengan Semut Merah. Begitu jugalah kerbau dan seladang yang tidak jauh bezanya dari segi rupa dan bentuk kecuali saiznya. Malahan semut merah lebih besar saiz badannya berbanding semut api. Pada kebiasaannya, yang lebih besarlah yang akan menelan dan memakan yang lebih kecil.

Ini menunjukkan bahawa Puteri UMNO ketandusan idea kerana masih budak-budak yang belum cukup pengalaman politik (walaupun sesetengahnya dari golongan profesional) tetapi enggan bertanya kerana hendak tunjuk pandai dan bijak kononnya. Saya tidak yakin Puteri mampu menyaingi dan berdepan dengan musuh-musuh politik di luar sana yang lebih berpengalaman dan lebih berani menyerang serta lebih bijak dan lebih matang itu kecuali bergabung tenaga dengan Pemuda dan Wanita. Sayangnya kedua-dua sayap abang dan kakak ini tidak ada masa untuk ke medan perang ini bersama Puteri kerana sibuk mengukuh dan mengejar kedudukan politik masing-masing dalam parti. Maka adik perempuan bongsu inilah yang disuruh pergi berperang sebagai pemanah hadapan dan menjadi mangsa serta makanan musuh apabila ditewaskan.

Apa pun, saya tetap mendoakan dari jauh di perkampungan terpencil Semerak semoga Perhimpunan Agung UMNO kali ke-68 ini berjalan lancar dan berjaya. Saya harap tidak ada lagi ‘war lord’ yang marah (termasuk 'war lord' di tempat saya) setelah dipesan oleh YAB Tan Sri Timbalan Presiden. Saya akan terus menulis dan menulis dalam blog saya ini seperti yang telah saya lakukan sejak 5 tahun yang lalu.

Hidup Melayu !!!

No comments:

Post a Comment