Sunday 30 November 2014

Perhimpunan Agung UMNO 2014



1. Kesimpulan akhir saya tentang PAU 2014 ialah kali ini ianya menyaksikan satu kelainan yang tidak pernah terjadi sebelum ini. Ianya ialah tiada lagi kecaman, kutukan dan cemuhan serta cabar mencabar secara keterlaluan terhadap parti PAS dan pemimpin-pemimpin utamanya sepertimana sebelum ini setiap tahun termasuk terhadap individu-individu tertentu. Sejak perhimpunan ini bermula pada 25 Nov yang lalu sehinggalah hari terakhir pada 29 Nov semalam, para perwakilan dan pemimpin-pemimpin parti hanya menumpukan kepada persoalan-persoalan yang ada kaitan rapat dengan isu mempertahankan agama, bangsa dan institusi raja selain daripada isu-isu lain yang ada kepentingan untuk orang-orang melayu.

Kalau dahulu suasana panas dan marah terhadap parti-parti lawan terutamanya PAS menjadi perkara biasa dan rutin dalam perhimpunan setiap tahun tetapi pada kali ini suasana ini sudah reda. Saya tidak tahulah samada ianya menjadi reda kerana arahan oleh pucuk kepimpinan parti atau dengan kehendak para perwakilan sendiri. Kalau dengan kehendak perwakilan sendiri, saya juga tidak tahu mengapa sikap dan pendekatan ini diambil sedemikian pada tahun ini.

Apa pun sebabnya, bagi saya perkembangan terbaru ini sangat baik bagi parti UMNO sendiri. Sikap baru parti UMNO ini boleh dijadikan sebagai petanda atau ‘benchmark’ yang kukuh, jelas dan positif bahawa usaha kearah menyatukan semula kedua-dua parti terbesar orang-orang melayu ini boleh dipertingkatkan. Kedua-dua parti ini telah lama bermusuhan sehingga memecahbelahkan perpaduan orang-orang melayu . Sekarang sudah sampai masanya orang-orang melayu disatukan semula melalui dua parti utama orang-orang melayu ini. Orang yang berbalah dan bermusuhan pun berbaik semula juga akhirnya walaupun tidak bertegur sapa sudah sekian lama. Ada kes di tempat saya contohnya, pernah berlaku satu kemalangan seorang murid sekolah rendah berumur 8 tahun dilanggar kereta. Tempat berlaku ialah di hadapan sebuah rumah yang terletak di tepi jalan besar berdekatan sekolah di mana murid itu belajar. Apabila tuan rumah itu melihat kejadian itu, beliau terus meluru keluar kearah murid yang dilanggar itu lalu mengusung dan mengejarkannya ke pusat kesihatan dengan keretanya. Apabila murid ini diserahkan kepada pihak pusat kesihatan untuk rawatan, beliau pun pulang ke rumah dengan pakaian dan tempat duduk keretanya dipenuhi darah.

Selang tidak berapa lama selepas itu, beliau telah disapa dari belakang oleh seseorang semasa beliau sedang minum di sebuah kedai makan berdekatan rumahnya. Orang itu ialah bapa kepada murid sekolah yang telah dibantunya itu. Beliau terkejut besar kerana sibapa ini adalah orang yang telah berpuluh tahun tidak bercakap dengannya disebabkan satu perselisihan faham. Sampai hari ini mereka berdua menjadi kawan baik seperti sediakala semula. (Cerita benar bukan rekaan).

Maka oleh itu, UMNO dan PAS pun saya menganggap begitulah juga. Akan ada harinya nanti apabila mana-mana diantara dua parti ini ingin berbaik semula apabila disedari pihak yang satu lagi telah membantu pihak yang lain itu dalam kecemasan.

Jika ini benar-benar berlaku nanti, itulah ‘solidarity’ atau 'solidaritas' dalam ertikata yang sebenar.

2. Sepanjang tempuh musim perhimpunan ini, tiada sebuah pun kedai makan di tempat saya yang tuan kedainya pasang saluran tv yang ada siaran langsung perhimpunan ini. Saya ada bertanya mengapa tak pasang siaran itu? Ada tuan kedai yaang jawab, ‘tak minat tok wan’. Ada juga yang jawab, ‘kecek hak tulo jah genak2 taon, kito hak sesak ni mintak zink sekeping pun takleh’.  Ada juga tuan kedai yang lain menjawab ‘tak faham tok wan, gapo nyo duk sarah, serabut’

Itu jawapan oleh tuan-tuan kedai yang saya sudah lama kenal sebagai orang-orang UMNO di tempat saya. Kalau tuan kedai ialah orang PAS, sudah tentulah saya tidak payah bertanya.

Perkembangan ini menunjukkan bahawa apa yang diperbincangkan di Perhimpunan Agung tidak mendapat perhatian dan sambutan di luar walaupun oleh orang-orang UMNO sendiri. Mana kedai yang ada tv pun, tuan kedainya lebih suka membuka rancangan lain di saluran lain yang tidak ada siaran langsung perhimpunan agung.

Saya yakin barisan kepimpinan tertinggi UMNO di Kuala Lumpur tidak menyedari keadaan ini. Mengapa perhimpunan tidak diminati oleh orang-orang UMNO sendiri di kampong-kampong seperti Semerak ini sepatutnya menjadi sesuatu yang perlu diambil perhatian. Walau bagaimana pun, bagi saya kepimpinan tertinggi tidaklah juga boleh dipersalahkan. Yang sepatutnya dipertanggungjawabkan ialah barisan kepimpinan diperingkat Bahagian dan Cawangan. Merekalah yang menyebabkan minat orang ramai terhadap UMNO menjadi semakin hari semakin pudar dan luntur. Sikap sombong dan angkuh serta tidak mahu mendekati orang ramai untuk meninjau masalah mereka tidak dijadikan amalan kecuali apabila tiba musim pemilihan parti dan pilihanraya sahaja. Di tempat saya, masih ada pun yang merungut bahawa mereka belum lagi mengenali wakil rakyat DUN ini sampai sekarang kecuali mendengar namanya sahaja walaupun PRU13 sudah lama berlalu.

No comments:

Post a Comment