Wednesday 26 November 2014

Ucapan Perasmian Oleh YAB Tan Sri Timbalan Presiden UMNO



1. Satu jam lima puluh minit ucapan perasmian Perhimpunan Agung Serentak Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO yang mantap dan penuh berisi oleh YAB Tan Sri Timbalan Presiden UMNO pada pagi 25 Nov 2014. Saya telah ikuti dengan penuh fokus setiap patah dan setiap ayat yang diucapkannya.

Inilah ucapan dan pidato terbaiknya. Saya sangat bersetuju dengan hampir keseluruhan ucapannya kecuali tentang beberapa perkara sahaja.

Syabas saya ucapkan kepada YAB Tan Sri Timbalan Presiden kerana sekali lagi berjaya membongkar dan mendedahkan kelemahan-kelemahan yang semakin hari semakin kritikal dan kronik dalam UMNO. Kali ini pembongkaran dan teguran dibuat dengan lebih lantang dan lebih jelas. Mereka yang bersetuju sudah tentulah dari kalangan mereka yang telah lama melihat UMNO sebagai sebuah parti orang melayu yang semakin tidak menguntungkan pun orang melayu sendiri jika terus dibiarkan. Mereka yang tidak pula adalah dari kalangan yang tamakkan kuasa dan harta.

Terdapat cerita yang benar-benar berlaku di tempat saya apabila beliau mendedahkan tentang gejala ‘war lord’ dalam UMNO. Selain daripada seluruh aktiviti kepartian dikawal sepenuhnya oleh ‘war lord’ ini, kritikan juga tidak diberikan ruang dan peluang di tempat saya. Jika diteruskan juga, orang itu akan diberikan amaran keras sehingga kepada tahap menampalkan kertas besar berwarna merah dengan tulisan besar di dinding rumah seperti pangkahan dalam filem P. Ramlee.

Begitu juga dengan sikap sebahagian besar barisan kepimpinan di peringkat Bahagian dan Cawangan termasuk Wanita dan Pemuda. Mereka masih terus mengamalkan sikap sombong dan angkuh yang keterlaluan sehinggakan orang merasa seolah-olah parti UMNO sudah dibawa balik oleh mereka ke rumah masing-masing untuk disimpan dan dijadikan harta mereka. Sebab itu saya berkata sebelum ini bahawa sikap dan amalan itu telah mengakibatkan seolah-olah parti dibawa jauh dari orang ramai bukan orang ramai yang menjauhi parti.

Yang paling menarik bagi saya ialah apabila beliau menyarankan supaya yang lama memberikan laluan kepada yang baru dan muda. Ianya menarik kerana saya baru sahaja menerbitkan dua artikel di dalam blog saya sebelum ini supaya Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan ditukar atau diganti dengan orang baru. Saya harap Pengerusi Perhubungan ini pun tidak terkecuali daripada senarai mereka yang perlu mengundurkan diri secara terhormat.

Saya harap para perwakilan yang hadir pada perhimpunan pada kali ini faham apa yang dimaksudkan oleh YAB Tan Sri Presiden itu kerana ayat-ayatnya sangat ‘simple’ dan ‘direct’. Ubahlah sikap dan cara bekerja apabila balik ke tempat masing-masing nanti.

2. Perkara yang membuatkan saya kurang bersetuju ialah agenda ‘meremajakan’ UMNO. Istilah ini baru diperkenalkan tetapi tidak ‘sophisticated’ dan maksudnya mudah difahami. Namun bagi saya, UMNO tidak pun perlu di’remaja’kan. Setelah berusia 68 tahun, mana mungkin sesuatu itu hendak di’remaja’kan lagi? Mengapa baru sekarang pemimpin tertinggi hendak melakukan proses ini? Mengapa tidak dari dulu lagi? Mengapa baru sekarang pemimpin tertinggi UMNO bersungguh-sungguh dan beria-ria hendak melakukan usaha menarik kaum remaja supaya menyertai UMNO? Apa yang telah dibuatnya selama ini?

Bagi saya memperkenalkan apa sahaja slogan tidak menjadi masalah. Bukan itu yang penting. Yang lebih penting ialah menentukan supaya kepimpinan parti disemua peringkat mengubah sikap dan amalan kehidupan seharian mereka. Yang lebih penting ialah mendidik dan mengajar mereka supaya mengamalkan sikap yang betul terhadap ahli-ahli dan orang ramai. Apabila sikap dan amalan mereka berubah dari sombong kepada rendah diri contohnya, dari menonjolkan kekayaan dan kemewahan kepada kesederhanaan contohnya, saya yakin bukan sahaja kaum remaja yang akan berminat kepada parti bahkan siapa sahaja dari usia apa pun berminat juga. Tidak perlu bersusah payah mencipta dan memperkenalkan slogan-slogan baru seperti ini. Secara otomatik dengan sendirinya para remaja akan berduyun-duyun beratur bersama dengan orang-orang dewasa yang lain untuk mengisi borang masuk UMNO jika mereka melihat tingkahlaku pemimpin UMNO menarik dan sederhana. Sebaliknya dan secara otomatik juga, mereka akan berpaling dan menjauhi UMNO jika mereka mengetahui pemimpin-pemimpinnya kaya dan mewah hasil dari rasuah dan penyelewengan atau kaya kerana parti.

Proses mengubah sikap mereka bukan boleh dibuat ‘overnight’. Ianya memakan masa yang agak lama kerana perlu dilakukan melalui banyak siri-siri perkaderan dan latihan serta ujian dan penilaian. Oleh itu, saya tidak nampak dengan keadaan yang tergesa-gesa dan dalam masa yang sebegini singkat ini hasilnya boleh tercapai sebelum PRU14 jika PRU14 dijadikan matlamatnya. Akibat dari kerja yang tergesa-gesa, saya khuatir juga bukan sahaja matlamat ‘peremajaan’ tidak tercapai tetapi parti UMNO pun dianggap barang lama yang berusia 68 tahun yang disimpan oleh pemimpin-pemimpin di semua peringkat di rumah masing-masing untuk dijadikan sebagai hak milik peribadi kerana nilai antiknya yang semakin lama semakin tinggi. Nilai jualan antiknya inilah yang membolehkan pemimpin-pemimpin UMNO berubah sekelip mata dari miskin kepada kaya raya, dari rumah kecil kepada istana, dari kereta kecil kepada kereta mewah, dari tidak bergelar kepada bergelar dan sebagainya lagi yang dikejar ramai kononnya diatas nama dan prinsip ‘BERSATU BERSETIA BERKHIDMAT’.  

Apa pun, saya tetap doakan dari jauh di perkampungan terpencil Semerak semoga Perhimpunan Agung UMNO kali ke-68 ini berjalan lancar dan berjaya.

Hidup Melayu !!!

No comments:

Post a Comment