Sunday 23 November 2014

KRT Cherang Ruku Yang Sudah Tidak Berguna Lagi (2)

Saya telah dari awal-awal dulu lagi memberikan cadangan dan nasihat secara verbal kepada wakil pengarah JPNIN Kelantan yang datang berjumpa dengan saya di semerak bahawa orang-orang semerak akan tubuhkan satu kumpulan lain secara bersendirian jika pihak JPNIN lambat bertindak untuk memulihkan semula KRT Cherang Ruku. Kumpulan ini tidak akan ada lagi sebarang sangkut paut dengan JPNIN dan ini akan memalukan JPNIN.

Pada hari ini, perkara yang saya ramalkan itu betul-betul berlaku. Ianya berlaku bukan diatas desakan saya tetapi diatas kehendak orang ramai sendiri yang sememangnya menunggu-nunggu juga tindakan JPNIN tetapi hampa kerana tiada apa yang dilakukan.

Pada perjumpaan saya dengan wakil yang berkaitan itu, saya telah berkata dengan tegas bahawa JPNIN hanya ada dua pilihan sahaja. Pilihan pertama menukar pengerusi KRT Cherang Ruku dengan orang baru jika JPNIN penting dan utamakan orang ramai. Pilihan kedua kekalkan pengerusi KRT ini dan abaikan sahaja kepentingan orang ramai. Selebihnya saya telah mencabar supaya bertanya pula kepada orang ramai samada apa yang saya katakan itu benar atau pun sebaliknya.

Saya juga telah terangkan kepada wakil pengarah ini bahawa ada dua sebab utama mengapa KRT Cherang Ruku sangat kritikal untuk dipulihkan dengan segera di Semerak. Pertama kerana Cherang Ruku ialah ‘pusat bandar’ kepada DUN Semerak. Di situlah terletaknya sekolah-sekolah, pusat kesihatan, kilinik, pejabat pos, balai polis dan kuarters anggota, dewan besar, pejabat peladang, kedai2, tadika2 perpaduan, pasar besar dan lain2. Di sinilah juga terdapatnya kaum cina yang berniaga dan tidak jauh dari pekan Cherang Ruku ialah kaum siam. Oleh itu, sewajarnyalah Cherang Ruku dijadikan keutamaan oleh JPNIN untuk mencapai matlamat dan dasar penubuhannya dengan memastikan supaya KRT Cherang Ruku ini menjadi nadi dan model serta ‘catalyst’ kepada KRT-KRT lain. Malangnya, JPNIN membiarkannya menjadi contoh terburuk sebaliknya.

Sebab kedua ialah pekan Cherang Ruku sejak akhir-akhir ini menjadi kawasan utama dimana gejala ragut, curi motor dan kereta, pecah rumah, dadah dan lain-lain jenayah berlaku. Oleh itu selain kerjasama orang ramai, penglibatan KRT dalam usaha membanteras gejala-gejala ini sangat diperlukan untuk membantu pihak polis. Malangnya, JPNIN tidak mementingkan soal-soal seperti ini. Mereka hanya pentingkan tadika-tadika perpaduan sahaja sedangkan terdapat skim rondaan di dalam KRT.

Hari ini imej JPNIN sudah tercalar dengan teruk hanya disebabkan kecuaian pihak JPNIN sendiri yang enggan bertegas menukar pengerusi KRT Cherang Ruku. Orang ramai dengan sukarela telah menubuhkan satu kumpulan khas tanpa ada sangkut paut dengan JPNIN lagi. Mereka telah menjemput pegawai-pegawai atasan PDRM Pasir Puteh untuk datang ke Semerak berjumpa dengan mereka dan berbincang dalam satu majlis khas di Sekolah Menengah Cherang Ruku. Majlis perjumpaan itu mendapat sambutan orang ramai. Dengan itu KRT dibawah JPNIN tidak diperlukan lagi. Kalau pun JPNIN hendak memulihkan semula KRTnya di Cherang Ruku, tiada siapa lagi yang berminat dengannya kecuali pengerusi lama itu seorang sahaja. Salurkanlah seperti biasa apa sahaja peruntukan atau dana kepadanya seorang sahaja dan orang ramai tidak lagi mengambil peduli. Inilah akibatnya jika tidak mahu mendengar suara hati rakyat. Maka rugilah peruntukan kerajaan untuk jabatan ini kerana tugas semudah ini pun tidak dapat dipikul dengan berkesan dan sebaik-baiknya oleh pengarahnya sendiri. Maka dasar dan matlamat kerajaan pun menjadi sia-sia dan terbengkalai. Hanya elok di atas kertas tetapi tidak pada perlaksanaannya.

Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih bagi pihak orang-orang Semerak kepada PDRM Pasir Puteh (terutamanya YS Tuan OCPD) kerana sudi hadir beramai-ramai pada 22hb Nov 2014 untuk bersama dengan orang-orang Semerak berbincang dan mencari jalan serta mengatur langkah demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat Semerak. Inilah julung-julung kali program perjumpaan seperti ini diadakan di Semerak. Terima kasih juga kepada Cikgu Rozaki Bakar dan kawan-kawan yang lain kerana telah berjaya merealisasikan inisiatif ulung ini. Pupuklah semangat dan kesedaran kepada orang ramai bahawa jaminan keselamatan dan kesejahteraan boleh tercapai hanya dengan komitmen dan kerjasama semua lapisan masyarakat tanpa mengira fahaman politik. PDRM pun boleh juga memainkan peranannya sebagai ‘penyatu’ dan fasilitator selain daripada tugas-tugas asas menjaga keselamatan.

AlhamdulilLah Syukur.
Syabas dan Sekalung Tahniah kepada semua yang terlibat.
Saya doakan semoga usaha murni ini diredhai Allah dan mendapat sokongan dan kerjasama penuh orang ramai.

No comments:

Post a Comment