Friday 14 November 2014

Aduan Rasmi Kepada Kementerian Pelajaran Malaysia


Pada 13hb November 2014, Sekolah Kebangsaan Cherang Ruku, Pasir Puteh, Kelantan telah mengadakan acara sukan tahunannya. Acara hari itu ialah hari yang kedua yang bermula pada waktu pagi sehinggalah ke jam 5.30 petang di padang bola bersebelahan sekolah ini. Pada hari itu hujan telah turun dengan tidak henti-henti dengan sekali sekala renyai-renyai. Disebelah pagi murid-murid sekolah ini telah pun basah kuyup dan kesejukan tetapi Guru Besar dan Penolong-Penolong Kanannya serta guru-guru lain tidak kerana mereka berada di bawah khemah kecuali guru-guru yang terlibat dengan acara sukan. Pada sebelah petang apabila hujan tidak reda, mereka sekali lagi ditimpa hujan apabila acara sukan disambung. Murid-murid tahun 1, 2 dan 3 dilihat tidak sesuai dibiarkan seharian berada dalam keadaan basah kuyup dan kesejukan. Saya mendapat maklum ada diantara murid-murid ini terus demam bila balik ke rumah dan terpaksa dikejarkan ke klinik pada malamnya kerana demam panas yang dikhuatiri boleh mengakibatkan kekejangan badan disebabkan mereka masih kanak-kanak. Jika ini berlaku risikonya ialah kecacatan kekal mental dan fizikal jika tidak diberikan rawatan awal. Demam panas sememangnya bahaya.

Pada pendapat saya, pihak Kementerian Pelajaran seharusnya mengeluarkan pekeliling arahan melalui Jabatan Pelajaran Negeri supaya acara sukan sekolah ditangguhkan kepada hari yang lain jika hari yang dijadualkan itu hujan. Kesihatan murid harus diutamakan walaupun sukan bertujuan untuk menyihatkan murid-murid kerana bersukan dengan terdedah kepada hujan sepanjang hari tidak pula menjamin tujuan ini boleh tercapai dan akan dianggap sebagai kecuaian dan kealpaan dipihak sekolah. Lebih teruk lagi risiko yang ditanggung oleh murid-murid tidak akan diambil peduli dan diambil tanggungjawab oleh pihak sekolah.

Komen tambahan saya (tidak disertai dalam aduan)
Orang yang tidak mempunyai anak tidak akan tahu dan faham erti ehsan dan kasih sayang terhadap kanak-kanak walaupun orang itu memelihara seramai mana pun anak angkat kerana anak angkat bukan darah dagingnya sendiri.

No comments:

Post a Comment