Wednesday 5 November 2014

Ikatan Relawan Rakyat Malaysia atau RELA




RELA ditubuhkan sudah lama. Di mana-mana sahaja kita boleh melihat orang yang memakai pakaian seragam RELA. Ini menandakan bahawa anggota RELA sudah ramai kerana mengikut statistik jumlahnya sudah menghampiri 3 juta anggota.

Pada masa ini mereka banyak dilihat aktif dimajlis-majlis rasmi seperti persidangan agung UMNO Bahagian, mesyuarat agung PIBG, hari penyampaian BR1M dan lain-lain majlis yang biasanya ada kaitan dengan kerajaan pusat baik secara langsung atau pun tidak. Tugas mereka tertumpu kepada pengawalan lalulintas keluar masuk kenderaan dan parking sahaja. Mereka juga dilihat mengawal lalulintas di hadapan pintu masuk sekolah jika sekolah itu berada di tepi jalan besar.

Pada masa dahulu mereka lebih sibuk dengan kerja-kerja membantu pihak keselamatan dalam urusan berkaitan pendatang haram contohnya. Namun, akhir-akhir ini mereka dilihat lebih banyak memberikan tumpuan kepada kerja-kerja sampingan lain yang lebih bersifat perkhidmatan keselamatan biasa. Jika ada orang yang mengadakan kenduri kahwin pun, mereka boleh di’sewa’ dengan satu kadar bayaran upah yang ditetapkan untuk mengawal lalulintas dan parking.

Saya sengaja menarik perhatian pembaca kepada isu RELA ini kerana momentum jenayah ragut, curi motor dan kereta, pecah rumah dan dadah pil kuda semakin menjadi-jadi di tempat saya tetapi penglibatan RELA dalam usaha membendung atau meredakan gejala-gejala ini tidak ada. Setakat ini pihak yang bertungkus lumus hanyalah polis dan orang-orang kampung bersama penghulu-penghulu mukim sahaja.

Saya ingin mencadangkan supaya RELA di'transformasi'kan. Skop tugasnya diperluas dan dipertingkatkan lagi dalam usaha menangani gejala-gejala itu. Anggota RELA harus diberikan kuasa yang lebih supaya mereka boleh melibatkan diri secara langsung menahan dan menangkap penjenayah-penjenayah ini di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa sahaja untuk diserahkan kepada pihak polis bersama bukti atau saksi. Oleh itu, anggota RELA yang layak harus dibekalkan dengan peralatan senjata api yang sesuai untuk tujuan itu selain daripada waran menahan, menggeledah dan menangkap termasuk menembak balas penjenayah. Jika senapang patah sudah dibekalkan semula, saya ingin mencadangkan supaya ketua-ketua unit untuk tugas-tugas ini dibekalkan dengan pistol dan gari pula.

Saya yakin jika semua pihak ditugaskan secara bersepadu, jenayah-jenayah ini dapat dikurangkan bahkan dibendung dalam masa yang singkat. Mengharapkan pihak polis dan orang-orang kampung sahaja tidak mencukupi. RELA harus dilibatkan semula sepertimana juga asalnya RELA dilibatkan dalam mengawal dan menangkap pendatang-pendatang asing.

Jenayah-jenayah itu sangat merugikan rakyat. Harganya sangat tinggi bukan sahaja disebabkan kerugian harta benda tetapi risiko yang melibatkan kecederaan atau pun nyawa. Oleh itu, meningkatkan elaun kepada anggota RELA yang ditugaskan khusus untuk menahan, menggeledah dan menangkap penjenayah demi keselamatan dan kesejahteraan orang ramai bukanlah sesuatu yang merugikan negara.

Lagi pun salah satu dari tujuan utama penubuhan RELA pada 11 Januari 1972 ialah :-

"Memelihara keselamatan dan keamanan setempat seperti tugas-tugas rondaan mencegah jenayah"

No comments:

Post a Comment