Thursday 4 July 2013

Terbitan Khas

PDK Semerak

Pagi tadi berlangsung satu mesyuarat AJK PDK atau Pemulihan Dalam Komuniti Semerak yang telah dipengerusikan oleh YBhg Sdr Wan Hassan Bin Wan Ibrahim, bekas ADUN Semerak penggal yang lepas. Beliau telah menjadi calon PAS buat kali kedua dalam PRU13 baru-baru ini di DUN Semerak tetapi tewas kepada YB Cikgu Zawawi Othman, calon dari BN.

Walaupun beliau tidak lagi menjadi wakil rakyat, beliau masih menjalankan tugas dan tanggungjawabnya sebagai Pengerusi PDK ini dengan penuh minat. Beliau berkata bahawa PDK tidak ada kena mengena dengan politik kepartian kerana kerja-kerja membela nasib kaum OKU memerlukan kerjasama dari seluruh peringkat masyarakat selain daripada kerajaan sendiri.

Saya hadir juga sebagai AJK dan sangat bersetuju dengan sikapnya itu. Sesiapa pun boleh bersama didalam AJK ini asalkan niat dan tujuannya semata-mata hendak membantu kaum OKU atau istimewa ini.

Banyaklah juga perkara-perkara yang diperbincangkan dan dicadangkan. Namun, saya lebih berminat kepada agenda sebagaimana yang telah saya sendiri cadangkan tadi. Cadangan itu ialah membina sebuah bangunan PDK sendiri di satu tapak yang sesuai.

YBhg Sdr Wan Hassan pernah memaklumkan kepada saya sebelum ini bahawa kerajaan negeri ada satu tapak yang dirasakan sesuai untuk tujuan dibina sebuah bangunan seperti ini. Dalam mesyuarat pagi tadi itu, saya telah memberikan peringatan kepadanya dan memohon supaya beliau terus mengemukakan cadangan kepada pihak berkuasa negeri supaya meluluskan tapak ini secara rasmi untuk PDK Semerak. Dengan itu, usaha untuk mendapatkan dana bantuan membina bangunan boleh dilakukan segera.

Dalam kaitan ini, saya juga telah cadangkan supaya AJK PDK menulis satu surat kepada YB ADUN Semerak yang baru memohon supaya beliau memanjangkan permohonan kepada pihak kerajaan pusat untuk mendapatkan sejumlah bantuan. Saya berkata, jika semua pihak menganggap PDK tiada kaitan dengan politik, maka sewajarnyalah pihak kerajaan negeri menyediakan tapak, manakala pihak kerajaan pusat pula menyediakan bantuan pembinaan bangunan.

Saya harap satu kertas kerja lengkap dapat disediakan dalam masa terdekat untuk disampaikan kepada YB ADUN Semerak, sementara YBhg Sdr Wan Hassan mulai berusaha untuk mendapatkan kelulusan dari kerajaan negeri.

Jika projek bersama ini dapat direalisasikan, inilah salah satu lambang awal kerjasama diantara kerajaan pusat dan negeri selaras dengan aspirasi kepimpinan negeri yang baru.

Salam Silaturrahim
Drp
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
Semerak.

No comments:

Post a Comment