Wednesday 10 July 2013

PRK DUN N01 Kuala Besut (siri 2)



Semerak terletak bersempadan dengan Kuala Besut. Kuala Besut ialah DUN yang sedang sibuk dengan PRK kerana kematian ADUN pada 5hb Jun yang lalu. Jika sesiapa ke sana sekarang, tiadalah cerita lain di kedai-kedai kopi kecuali cerita mengenai PRK pada 24hb Julai ini sementara esok 12hb Julai ialah hari penamaan calon.

“Orang-orang luar” yang paling ramai mengunjungi Kuala Besut sudah tentulah orang-orang Semerak. Mereka sudah biasa melangkah sempadan negeri ke sana pada setiap hari Jumaat untuk membeli belah di pasar minggu. Peraih-peraih ikan pula ke sana untuk memborong ikan di jeti perikanan. Selain daripada mereka ini, orang-orang Semerak ramai yang ada saudara mara yang tinggal di Kuala Besut seperti saya. Oleh itu, orang-orang Semeraklah sebagai orang luar yang lebih ramai berkunjung ke sana berbanding dengan orang-orang dari kawasan lain.
 
Budaya hidup, mata pencarian utama dan loghat percakapan orang-orang Kuala Besut sama dengan orang-orang Semerak walaupun Kuala Besut berada di dalam negeri Terengganu. Oleh itu, PRK pada kali ini sangat-sangatlah dirasai dan dihayati juga oleh orang-orang Semerak. Kalau Semerak dikuasai oleh BN, maka Kuala Besut pun diharapkan kekal semula dengan BN seperti dahulu. Inilah harapan yang dibawa oleh orang-orang Semerak di dalam hati mereka walaupun ianya tidak terucap secara jelas.

Saya tidak melihat secara itu sahaja. Kuala Besut bukan seperti Semerak. Kalau Semerak berada dibawah pemerintahan kerajaan PAS, Kuala Besut masih lagi dibawah BN. Seandainya Semerak diadakan PRK, ianya masih tetap dibawah kerajaan negeri pimpinan PAS sekali pun BN menang lagi. Kuala Besut berbeza. Jika BN menang, kuasa pemerintahan negeri kekal dibawah BN. Jika sebaliknya, kuasa pemerintahan boleh bertukar tangan.

Ini bermakna kerajaan BN negeri Terengganu berada di hujung tanduk kerana nasibnya betul-betul berada di tangan DUN Kuala Besut. Sebab itu, Timbalan Pengarah Pilihanraya DUN Kuala Besut yang juga Ketua UMNO Bahagian Besut berkata, peluang untuk PAS menang adalah sangat tipis kerana hendak menarik seribu lebih pengundi sudah tentu sangat sukar apabila PRU13 baru sahaja sebulan lebih berlalu. Maka sebab itulah juga, beliau telah sarankan supaya PAS tidak meletakkan calonnya untuk bertanding dalam PRK ini. Katanya lagi, jika ini boleh dilakukan, tindakan ini juga sekaligus sebagai menghormati Allahyarham ADUN yang baru meninggal itu.  

Inilah diantara modal perbualan yang dipercakapkan oleh orang-orang Kuala Besut sehari dua ini. Mereka bertanya bagaimana seorang pemimpin politik seperti itu boleh menyarankan supaya PAS tidak meletakkan calonnya hanya semata-mata untuk menghormati seorang wakil rakyat BN yang telah meninggal dunia? Kenapa PAS sahaja yang diminta supaya berbuat sedemikian? Bagaimana pula jika wakil rakyat yang meninggal nanti adalah wakil rakyat PAS? Apakah BN sanggup menghormati wakil rakyat PAS yang meninggal itu dengan cara tidak meletakkan calonnya untuk bertanding?

Kata mereka, kadang-kadang inilah caranya seseorang pemimpin politik itu bercakap apabila beliau merasa tertekan dan dibayangi kekhuatiran melampau akan kehilangan kerusi partinya sekaligus hilang juga kuasa diperingkat negeri. Prinsip demokrasi pun hendak dicabuli padahal sistem pilihanraya semula sudah lama diamalkan apabila ada kematian wakil rakyat. Oleh itu, saranan seperti itu dianggap tidak logik dan tidak sepatutnya datang dari seseorang yang menjawat jawatan menteri dan juga bekas menteri besar.

Orang-orang Semerak adalah “orang-orang luar” yang paling hampir dengan Kuala Besut. Sebab itulah, orang-orang Semerak lebih mengetahui tentang Kuala Besut dan pengundi-pengundinya. Oleh itu, tidaklah menjadi sesuatu yang ganjil apabila pemimpin politik dari Semerak merupakan ‘pemimpin luar’ yang paling aktif membantu. 

ADUN Semerak sudah tentulah orangnya yang paling utama dari BN Kelantan selain daripada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO sendiri. Beliau tidak perlu berkampong di sana seperti lain-lain wakil rakyat kerana jarak dari rumahnya yang sangat berdekatan. Dengan semangat supaya BN boleh mengekalkan semula kerusi DUN Kuala Besut, beliau sudah tentu akan bekerja keras siang dan malam membantu calon BN DUN Kuala Besut.

Semangat seperti ini adalah semulajadi sebenarnya bagi setiap wakil rakyat di mana-mana pun. Wakil rakyat BN sudah tentu datang membantu calon BN, manakala wakil rakyat PR sudah tentu datang membantu calon PR, tak kiralah dari negeri mana sekali pun. 

Yang perlu disedari dan dibezakan ialah wakil-wakil rakyat itu ada yang datangnya dari negeri-negeri yang diperintah oleh BN dan ada yang diperintah oleh PR. Ada wakil rakyat BN dari negeri yang jauh dan negerinya diperintah oleh BN. Ada wakil rakyat BN dari negeri yang dekat tetapi negerinya diperintah oleh PR. Yang jauh itu datang membawa modal yang lengkap kedua-duanya sekali iaitu dirinya sendiri menang dan negeri juga diperintah oleh BN. Yang dekat walaupun bersempadan hanya sekadar boleh berbangga dengan kemenangan dirinya sendiri sahaja tetapi tidak boleh membawa contoh kerja untuk menawan negeri kerana negeri sendiri pun masih lagi dikuasai oleh parti lain walaupun telah berhempas pulas selama puluhan tahun.

Oleh itu, wakil rakyat BN dari negeri Kelantan terutamanya yang berjiran dengan Kuala Besut contohnya, tiada apalah yang boleh diharapkan sangat oleh pengundi-pengundi Kuala Besut kerana mereka pun gagal menguasai negeri sendiri.

Justeru itu, saya sarankan supaya wakil-wakil rakyat BN negeri Kelantan janganlah terlalu ghairah hendak membantu calon negeri orang. Jika pun hendak membantu sebagai kawan separti dan seperjuangan, janganlah terlalu banyak menggunakan masa di sana sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap rakyat sendiri.

Salam Silaturrahim
Drp
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
Semerak       

No comments:

Post a Comment