Saturday 6 July 2013

Pemilihan UMNO Bahagian Pasir Puteh 2013 (siri 2)

Menyusul kali ini ialah artikel saya sebagai sambungan kepada artikel terdahulu yang membawa tajuk yang berkenaan ini. Pada awalnya saya tidak mahu menulis apa-apa lagi mengenai UMNO Bahagian Pasir Puteh termasuklah tentang pemilihannya tahun ini. Namun, permintaan yang bersungguh-sungguh daripada kawan-kawan saya di Kuala Lumpur telah membuatkan saya mengubah keputusan itu.

Saya telah cadangkan di dalam artikel terdahulu saya itu supaya pertandingan diperingkat jawatan tertinggi Bahagian iaitu Ketua UMNO Bahagian tidak dipertandingkan. Ianya semata-mata untuk tujuan supaya perpaduan dalaman parti terpelihara dan tidak menjadi semakin parah setelah perpecahan berlaku selepas pemilihan tahun 2008. Namun, saranan saya ini agak mustahil untuk dilaksanakan kerana tiada sesiapa yang boleh menghalang sesiapa pun untuk bertanding mana-mana jawatan parti.

Apa pun, saya tetap bersikap bahawa jalan terbaik ialah dengan jawatan ini tidak dipertandingkan iaitu tanpa sesiapa yang menawarkan diri untuk menentang Ketua UMNO Bahagian sekarang. Sekurang-kurangnya saya masih mempertahankan pendirian lama saya ini walaupun saya tidak lagi menulis sebagai ahli UMNO.

Oleh itu, jika sekiranya ada juga orang yang akan menentang Ketua UMNO Bahagian sekarang, sekurang-kurangnya juga saya telah menjalankan kewajipan saya sebagai orang melayu yang mementingkan perpaduan orang-orang melayu. Bukan sahaja perpaduan dalaman UMNO bahkan perpaduan secara keseluruhan termasuk diantara orang-orang UMNO dan PAS.

Seperti yang saya katakan tadi, tiada sesiapa yang boleh menghalang sesiapa pun daripada bertanding mana-mana jawatan termasuk jawatan Ketua. Keputusan itu sudah tentu dibuat setelah ianya diperbincangkan secara 'berpasukan' dengan mengambilkira segala aspek kemungkinan dan risisko. Itu hak setiap ahli UMNO yang layak dan berkemampuan.

Orang yang akan menentang Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh sekarang sudah tentulah seseorang yang mempunyai keyakinan diri yang sangat tinggi. Sudah tentulah orangnya sangat berpengalaman dan mempunyai pengaruh yang besar dikalangan ahli-ahli UMNO di seluruh Cawangan dalam Bahagian Pasir Puteh. Dengan rakan-rakan yang akan bertanding juga diperingkat jawatan-jawatan utama yang lain, sudah tentulah kekuatan pasukannya sangat mantap dan tersusun.

Ini semua harus diambil teliti dan terperinci kerana apabila hendak melawan Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh sekarang, seseorang itu haruslah sangat kuat bersama pasukannya. Ini adalah kerana kerja 'menewaskan' Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh ini bukanlah sesuatu yang mudah. Beliau telah menang dalam pilihanraya yang baru lalu yang membuatkan beliau bertambah kuat sebagai Ketua UMNO Bahagian. Sudah tentulah segala peruntukan yang diperolehinya sebagai wakil rakyat boleh juga beliau gunakan secara tidak langsung untuk berkempen kearah mengekalkan kedudukannya dalam Bahagian. Sebab itu, kita boleh melihat pada masa ini banyak kegiatan-kegiatan membantu rakyat dilakukannya sebaik sahaja beliau mengangkat sumpah sebagai ADUN Semerak. Contohnya, pemberian bantuan membaiki rumah melalui Persatuan Nelayan yang berjumlah RM10,000 setiap rumah yang diberikan urusan pembinaannya kepada kontraktor yang menjadi orang-orang kuatnya.

Saya berharap kalau pun Ketua UMNO Bahagian sekarang ini dapat ditewaskan, Ketua baru yang akan menerajui UMNO Bahagian Pasir Puteh nanti akan mengubah dan membawa semula UMNO Bahagian Pasir Puteh kearah satu keadaan atau landasan semula jadinya yang asal selaras dengan kehendak perlembagaan parti itu sendiri. Perpaduan dalaman parti hendaklah dijadikan agenda yang paling utama dan suasana demokrasi tanpa unsur-unsur negatif lain dihidupkan semula dengan subur. Segala keputusan hendaklah dibuat secara muafakat atau 'collective' tanpa mengetepikan pendapat dan pandangan orang-orang lain di dalam barisan kepimpinan Bahagian.

Salam Silaturrahim
Drp
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
Semerak.

No comments:

Post a Comment