Saturday 6 July 2013

Pemilihan UMNO Bahagian Pasir Puteh 2013 (siri 3)


Susah untuk diramalkan samada jawatan Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh akan menyaksikan pertandingan atau pun tidak.  Masanya masih terlalu awal untuk saya menulis siapa yang akan mencabar Ketua sekarang. Desas desusnya sudah ada tetapi belum dapat dikenalpasti secara jelas. Ada yang berkata Timbalan Ketua akan mencabar, ada juga yang berkata orang lain.

Siapa yang akan mencabarnya sangatlah penting untuk ahli-ahli UMNO mengetahuinya. Lebih awal diketahui lebih baik kerana mengenalpasti calon yang akan bertanding dalam pemilihan Bahagian bukan seperti mengenalpasti calon pilihanraya. Keputusan untuk bertanding dalam Bahagian terpulang kepada calon yang berkenaan itu sedangkan keputusan siapa calon pilihanraya terletak di tangan pucuk kepimpinan parti.

Calon yang akan bertanding ini sangat penting untuk diketahui kerana orang ramai hendak membuat ukuran samada beliau atau mana-mana lain orang mampu dan layak atau pun tidak. Walaupun senario sangat memihak kepada orang yang akan menentang Ketua yang memegang jawatan ini sekarang, segala-galanya masih juga bergantung kepada sejauh mana kemampuan dan kekuatan peribadi calon yang berkenaan itu. Ini sangat berbeza dengan calon pilihanraya dimana kekuatan peribadi seseorang calon itu bukan faktor terpenting kerana partilah yang akan membantunya, sedangkan calon untuk pemilihan Bahagian bergantung sepenuhnya kepada kemampuan peribadinya. Inilah penilaian yang akan dibuat oleh perwakilan-perwakilan dalam mesyuarat-mesyuarat Cawangan nanti.

Maknanya, memilih seorang wakil rakyat hanyalah kerja memilih seorang wakil kepada rakyat untuk urusan-urusan diantara rakyat dan kerajaan sahaja sedangkan memilih seorang Ketua UMNO Bahagian adalah memilih seorang ‘pemimpin’ yang akan memimpin seluruh ahli-ahli UMNO di dalam sesebuah Bahagian itu.

Sifat dan tugas kedua-dua orang ini sangatlah berbeza dan tidak sewajarnya dipegang oleh seorang sahaja. Lebih baik setiap jawatan ini disandang oleh orang yang berlainan kerana masing-masing boleh memberikan tumpuan yang sepenuhnya terhadap tugas dan tanggungjawab masing-masing. Jika kedua-dua jawatan ini disandang oleh orang yang sama, kecenderungan berlakunya ‘conflict of interest’ adalah amat tinggi. Bila ini berlaku, sudah tentulah kerja tidak menjadi dan berkesan atau banyak kerja yang tidak akan mencapai matlamat kesamarataan untuk orang ramai.

Oleh itu, saya menyokong jika ada sesiapa yang akan mencabar Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh ini. Sokongan saya akan saya zahirkan melalui banyak tulisan-tulisan yang akan diterbitkan di dalam blog saya ini dari masa kesemasa sehingga selesai pemilihan.

Salam Silaturrahim
Drp
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
Semerak.

No comments:

Post a Comment