Sunday 13 July 2014

Pemilihan Presiden Indonesia - Satu Pemerhatian Oleh Prof Madya Dato' Dr. Mohammad Agus Yusoff

ulasan yang sangat menarik oleh penganalisis dan pakar politik negara
YBhg Prof Madya Dato' Dr Mohammad Agus Yusoff
yang telah pergi sendiri ke Indonesia memerhatikan suasana 


SIAPA PRESIDEN INDONESIA?

Sejak jatuhnya Soeharto pada sebagai Presiden Indonesia pada 21 Mei 1998, tarikh 9 Julai 2014 adalah kali ketiga saya memerhati secara langsung pemilihan presiden di negara ini.

Bezanya, pemilihan presiden kali ini sengit dan hebat. Bezanya, pemilihan presiden kali ini penuh dengan politik wang dan kempen hitam yang dahsyat.

Mengapa Berlakunya Kempen Hitam?

Berlakunya kempen hitam ini kerana satu sebab: kedua-dua kem yang bertanding adalah sama kuat dan mempunyai penyokong yang sama ramai. Maka, bagi mendapatkan sokongan rakyat atas pagar (Golput), setiap kem menggunakan kempen memburukkan peribadi calon yang bertanding.

Saya tidak suka pada kempen hitam. Menuduh Jokowi penganut Syiah, pro Amerika dan Israel dan pendokong komunis tidak masuk di akal saya. Mengungkit asal keturunan Prabowo, tindakannya semasa menjadi jeneral Indonesia dan beberapa isu hak asasi manusia yang telah lepas juga tidak masuk di akal saya.

Sentimen kebencian sebegini memang strategik untuk menaikkan semangat penyokong, tetapi boleh membelah bangsa. Oleh sebab itulah, biarpun media bebas dan kempennya bebas, tetapi apabila semangat kebencian dijadikan fokus kempen untuk menolak atau menyokong seseorang pemimpin, ia meletakkan bangsa dan negara dalam keadaan yang tidak harmoni.

Siapa Menang Quick Count?

Sekarang, di Indonesia, kedua-dua kem sibuk dengan data quick count (hitung cepat). Pelbagai kumpulan survei muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Semuanya tidak rasional lagi, menjustifikasikan calon mana yang akan menang berdasarkan sokongan masing-masing, bukannya berdasarkan fakta di lapangan.

Di bulan puasa ini, setiap kem asyik berkumpul mengadakan jamuan berbuka puasa sambil membandingkan data hitung cepat mengikut selera masing-masing. Nampak sangat kesejahteraan rakyat bukan perhitungan utama lagi, melainkan tajuk perbualan utamanya ialah ‘siapa menang?’

KPU Perlu Adil

Dalam keadaan yang rakyat terkeliru begini, cuma satu pihak yang boleh meredakan keadaan. Pihak itu ialah Komisi Pemilihan Umum (KPU) yang akan mengeluarkan keputusan rasminya pada 22 Julai nanti.

Saya bimbang, sekiranya ada kem yang meragui keputusan KPU atau mensyaki ada tindakan KPU yang meraqukan, maka mereka akan membuat bantahan yang boleh membawa kepada berlakunya huru hara.

Melihat kisah ini, siapa yang menang bukan lagi penting pada saya kerana kedua-duanya sama kuat dan sama hebat. Yang penting ialah, apakah pengajarannya yang boleh kita ambil dari pengalaman Indonesia ini. Semoganya!

No comments:

Post a Comment