Wednesday 16 July 2014

Orang Melayu dan Raja Melayu

Bagi menjawab pertanyaan pak cik Wan Malek.
Saya ingin terus kepada pokok persoalan.

" KENAPA SAYA MENOLAK INSTITUSI BERAJA di MALAYSIA "

Memang banyak kelemahan sistem raja monarki ini, kelemahan yang paling ketara ialah dalam penggantian raja yang telah mangkat. Dalam sistem beraja, raja yang mangkat tidak boleh digantikan oleh orang lain kecuali anak lelaki baginda yang paling tua. Kalau lah anak lelaki itu tidak baik dan tidak mempunyai kemampuan menjadi pemimpin sudah tentu akan memberi banyak masalah kepada rakyat dan Negara itu.

Atas sebab kelemahan-kelemahan yang ada pada sistem raja itulah manusia di dunia hari ini telah menolak sistem beraja. Akhirnya di masa ini tidak banyak lagi negara di dunia ini yang mempunyai raja. Di kalangan negara-negara ASEAN pun hanya Malaysia, Thailand dan Brunei sahaja yang masih ada raja.

Ada setengah negara terus membuang sistem beraja, dan menjadi bahan tinggalan sejarah yang boleh ditonton dalam muzium di Negara mereka. Tetapi ada setengah negara seperti Britain dan Malaysia telah mengambil jalan tengah, raja terus kekal menjadi simbol Ketua Negara tetapi mereka tidak boleh mencampuri urusan politik negara.

Pada zaman sekarang ini terlalu sedikit negara-negara di dunia ini yang masih mempunyai raja. Pernah dikatakan, dari sejumlah raja-raja yang ada di dunia hari ini, hampir separuh darinya adalah datang dari Malaysia. Apa tidaknya, selain dari Agong, kita ada sembilan raja yang ‘memerintah’ di negeri-negeri dalam Malaysia. Begitulah banyaknya bilangan raja-raja di Malaysia.

Di bawah amalan demokrasi rakyat diberi kuasa untuk memilih pemimpin yang mereka suka di kalangan mereka untuk memimpin mereka. Oleh itu pemimpin yang dipilih oleh rakyat itulah sepatutnya yang paling berkuasa untuk mentadbir negara dan memimpin rakyat. Dengan itu tidaklah ‘manis’ kalau raja campur tangan dalam politik terutama dalam soal perlantikan Perdana Menteri dan Menteri Besar. Kalau disebabkan raja proses demokrasi boleh terhalang maka ini sudah bertentangan dengan prinsip dan amalan demokrasi yang kita junjung tinggi.

Sebagai sebuah negara demokrasi raja berpelembagaan, tidak wajar bagi raja untuk campur tangan dalam urusan politik negara. Telah termaktub didalam amalan demokrasi bahawa pemimpin Negara atau negeri adalah dipilih dan ditentukan oleh rakyat jelata, manakala raja tidak boleh untuk menolak pemimpin yang telah dipilih dan diputuskan oleh rakyat untuk memimpin Negara dan negeri mereka.

Krisis perebutan kuasa politik antara PR dan BN yang berlaku di negeri Perak sebelum ini yang mana telah melibatkan keputusan raja yang boleh dipertikai, telah menimbulkan suasana politik yang tegang di negeri itu.

Dari peristiwa yang diluar jangkaan kita ini, mungkin kita perlu melihat dan menyemak kembali peranan raja dalam perlantikan Ketua Menteri dan Menteri Besar. Seharusnya institusi raja kita tidak boleh mengganggu proses demokrasi dari berjalan dengan lancar.

Tidak sepatutnya raja dipertanggungjawabkan untuk menentukan siapa pemimpin yang harus dilantik menjadi Menteri Besar. Menteri Besar bersama ahli kabinet atau anggota exco beliau bukan dilantik oleh rakyat untuk berkhidmat kepada raja tetapi keutamaannya ialah untuk memimpin dan berkhidmat untuk rakyat.

Peristiwa di negeri Perak ini dan peristiwa yang lain2 sebelum ini yang telah melibatkan peranan raja dalam politik, memberi banyak pengajaran kepada kita. Pada pendapat saya , semua parti politik perlu duduk berbincang bagi mengatur dan mengemas semula undang-undang tubuh negeri dan perlembagaan supaya kekecohan dan kekeliruan seperti sebelum ini tidak berlaku di masa2 akan datang.

Terutamanya soal pembubaran ADUN dan Parlimen. Hak mutlak pembubaran ADUN dan Parlimen mesti diberikan kepada Menteri Besar dan Perdana Menteri.

Permasalahan politik yang telah berlaku di Perak baru-baru ini ialah perlumbaan untuk mengejar masa antara pembubaran ADUN yang dihasratkan oleh MB Mohd Nizar dari kerajaan Pakatan Rakyat (PR) dengan pengumpulan jumlah ADUN PR yang dapat dipancing oleh pihak BN untuk melompat ke pihak BN. Sepatutnya permasalahan ini harus diselesaikan mengikut undang-undang dan mahkamah. Sebaliknya raja telah diberi kuasa untuk membuat keputusan politik di negeri itu.

Mungkin raja tidak bersalah dalam hal ini, tetapi salahnya adalah kita telah memberikan kuasa itu kepada raja walaupun ia adalah bercanggah dengan amalan prinsip demokrasi.

Raja dan sultan tidak wajar diberi kuasa untuk menentukan siapa yang patut menjadi MB dan Ketua Menteri. Sehinggakan ada Menteri Besar yang berasa serba salah dan sukar untuk menjalankan tugasnya kepada rakyat kerana ‘takut’ dan hendak menjaga hati orang istana.

Wassalam dari saya

No comments:

Post a Comment