Friday 31 January 2014

Asas 'Pelan Perpaduan Nasional' Diperingkat Akar Umbi

Sambutan Tahun Baru Cina Di Semerak
Saya telah dijemput hadir ke satu majlis jamuan hari raya cina di peringkat DUN Semerak pada malam 31hb Jan 2014. Program bermula jam 9 malam bertempat di Bangunan Usahawan Muda (Belia) DUN Semerak Pasir Puteh bersebelahan Balai Polis Cherang Ruku.

Program diisi dengan ucapan oleh wakil kaum tionghua Semerak diikuti dengan ucapan oleh Sdr Wan Hassan Wan Ibrahim, Penyelia DUN. Acara selingan yang diadakan ialah penyampaian hamper, ang pau raya kepada warga emas dan kanak-kanak, makan dan minum dan jalinan muhibbah.

Kehadiran dan sambutan masyarakat cina Semerak terhadap program tahunan ini sangat memberangsangkan walaupun ianya diadakan secara sederhana dan santai sahaja. Mereka datang dengan senyuman mesra dan bersalaman dengan setiap orang seolah-olah seperti sebuah keluarga besar. Inilah pertama kali saya melihat suasana ini secara 'live' di Semerak. Rupa-rupanya program ini sentiasa disambut baik oleh kaum cina walaupun Sdr Wan Hassan kalah dalam pilihanraya yang lalu.

Mereka berkata program seperti ini tidak boleh dihentikan kerana ianya sudah 8 tahun diadakan di Semerak. Mereka tidak kisah tentang kekalahan yang dialami oleh Sdr Wan Hassan tempuh hari. Bagi mereka hubungan mesra dengan Sdr Wan Hassan dan juga lain-lain orang melayu tempatan hendaklah sentiasa disuburkan melalui cara ini. Inilah sahaja kesempatan yang ada untuk mereka yang berada diperantauan pulang setahun sekali pada hari raya cina dan bergaul mesra dengan kawan-kawan melayu. Saya pun bernasib baik kerana boleh juga berjumpa dengan kawan lama satu kelas sekolah dan juga asrama semasa di Sek Men Kamil Pasir Puteh dulu iaitu Sdr Sim Beng Hwa yang sudah menetap di Kuala Terengganu.

Wakil rakyat atau ADUN Semerak yang baru tidak pula menganjurkan sebarang majlis seperti ini untuk mereka, bahkan pembahagian buah tangan raya seperti buah limau pun tidak juga dibuat sepertimana pada tahun 2012 yang lalu iaitu sebelum PRU13. Mungkin inilah nasib yang menimpa mereka apabila ADUN beralih tangan. Mereka tidak lagi mendapat perhatian oleh ADUN yang baru apabila sudah menang dalam pilihanraya yang lalu. Ironinya, calon yang kalah pula tetap memberikan perhatian dan ingin sentiasa menyuburkan hubungan muhibbah dengan mereka seperti biasa.

Sebab itulah saya pernah menulis sebelum ini bahawa gagasan 'Pelan Perpaduan Nasional' akan tetap gagal kerana asasnya tidak pernah mahu diperkuatkan oleh jentera kerajaan sendiri iaitu wakil-wakil rakyat BN di peringkat akar umbi. Bagaimana mungkin sesebuah bangunan tinggi boleh bertahan jika 'foundation'nya tidak kuat? Buatlah rekabentuk atau 'pelan arkitek' secantik mana pun, bangunan itu akan runtuh juga akhirnya jika kekuatan asas pembinaan strukturnya tidak diberikan perhatian dan pengawasan yang sewajarnya.

Sebab itulah juga saya pernah menulis tentang kemungkinan pihak yang lain pula terpaksa menggerakkan Rukun Tetangga di tempat saya jika dilihat KRT yang ada sekarang masih tidak diperkemaskan semula dengan cara dan cadangan yang telah saya sampaikan itu. Jika ini berlaku, bukan 'pelan' yang telah dilancarkan oleh YAB Dato' Sri Najib itu perlu dipersalahkan sahaja. Yang lebih bersalah ialah wakil-wakil rakyat yang tidak mahu memahami tentang kehendak masyarakat dimana mereka menjadi wakil rakyat itu. Sudah tentulah apabila masyarakat dari kaum lain pun tidak mahu didampingi oleh wakil rakyat, pelan seperti ini payah hendak dicapai matlamatnya.

Oleh
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
Semerak





No comments:

Post a Comment