Friday 17 January 2014

Perlantikan Pengerusi JKKKP

Isu Perlantikan Pengerusi JKKKP (revised)

Sebenarnya saya bukanlah berminat sangat untuk mencampuri urusan ini. Sebab itulah saya tidak banyak menyentuh tentang perkara ini dalam tulisan-tulisan yang lalu kecuali sedikit nasihat tentang kriteria perlantikan. Itu adalah urusan JPP untuk menentukannya. Sudah tentulah JPP lebih tahu siapa orang-orang yang sepatutnya dilantik. Kalau orang lama didapati masih sesuai, maka orang itu akan tetap dilantik semula lagi. Jika sebaliknya, orang lain akan digantikan.

Walau bagaimana pun, di Semerak terdapat sedikit keperluan untuk saya menulis tentangnya. Ada tempat atau mukim dimana permohonan berlaku melibatkan penjawat lama dan pemohon baru. Secara kebetulan saya sendiri berkawan rapat dengan kedua-duanya. Sudah tentulah agak serba salah juga bagi saya untuk menulis tentang kedua-duanya apalagi untuk membuat perbandingan.

Apa yang saya boleh katakan di sini ialah JPP seharusnya bekerjasama rapat dengan Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh dalam menentukan siapa diantara keduanya yang hendak dilantik. Walaupun Ketua UMNO Bahagian dianggap tidak boleh memberikan kata putus dalam hal ini kerana urusan ini terletak kepada JPP tetapi beliaulah yang lebih mengetahui siapa sebenarnya orang yang lebih layak. Memanglah kepada semua pemohon mana-mana Ketua UMNO Bahagian pun akan berkata bahawa urusan perlantikan terserah bulat-bulat kepada JPP dan beliau hanya menerimanya sahaja. Sebenarnya bukan begitu.

JPP diwujudkan kerana negeri Kelantan diperintah oleh PAS. Jika BN sebaliknya yang memerintah, JPP tidak diperlukan lagi. Oleh itu, JPP ialah sebenarnya ‘kerajaan’ BN untuk negeri Kelantan secara tidak langsung. Oleh itu juga, UMNO ialah parti yang ‘mengawal’ dan ‘menyelia’ JPP selain daripada MCA dan MIC. Maka dengan itu, Ketua UMNO Bahagian setiap daerah ada peranan dan ‘kuasa’ keatas JPP secara tidak langsung walaupun dinafikan dalam isu perlantikan Pengerusi JKKKP ini mithalnya.

Apabila setiap Pengerusi JKKKP ini dilantik, mereka akan mula bertugas dan memikul tanggungjawab untuk Ketua UMNO Bahagian dalam segala urusan yang berkaitan politik, bukan JPP. JPP hanya membayar elaun bukan memberikan arahan kerja. Ketua UMNO Bahagianlah yang akan memberikan arahan dalam setiap urusan mereka dan juga membuat keputusan. Ini telah berlaku sudah lama dan semua orang sudah tahu. Sebab itu, kita selalu melihat dimana ada Ketua UMNO Bahagian, di situlah adanya ramai Pengerusi JKKKP ini bersamanya. JPP tidak turun padang untuk urusan politik kecuali dalam program-program tertentu sahaja. Apa sahaja program yang hendak dilaksanakan oleh UMNO dan BN, Pengerusi-Pengerusi JKKKPlah yang diberikan tugas dan harapan oleh Ketua UMNO Bahagian selain Ketua-Ketua Cawangan.

Terdapat satu mukim di Semerak dimana orang ramai sudah lama tidak sukakan cara bekerja Pengerusi JKKKP mukim itu. Saya dimaklumkan jika orang ini masih dikekalkan lagi, sekurang-kurangnya separuh daripada anak-anak mukim ini akan bertindak melakukan protes politik dengan menaikkan bendera PAS. Jika ini berlaku, sudah tentulah beban tambahan akan ditanggung oleh Ketua UMNO Bahagian, bukan JPP.

Berdasarkan kepada inilah, maka sudah tentulah seseorang Ketua UMNO Bahagian menginginkan orang-orang yang memegang jawatan Pengerusi JKKKP ini terdiri daripada mereka yang boleh dipercayainya. Sebab itulah saya katakan, orang-orang yang akan dilantik akan terdiri daripada mereka yang diingini oleh Ketua UMNO Bahagian, bukan JPP.

Oleh itu, kepada mereka yang berminat untuk menjawat jawatan ini saya ingin menjelaskan bahawa peluangnya terletak semata-mata diatas penilaian dan keputusan yang akan dibuat oleh Ketua UMNO Bahagian, bukan JPP. Jika anda layak dan ianya dalam pengetahuan Ketua UMNO Bahagian, anda tetap akan dilantik oleh JPP. Apalagi jika anda pun rapat dengannya. Jika dalam soal keputusan calon pilihanraya pun seorang Ketua UMNO Bahagian boleh membantah dan mendesak supaya senarai calon yang telah diputuskan oleh kepimpinan tertinggi parti diubah, inikan pula soal perlantikan Pengerusi JKKKP.

Akhir sekali, saya ingin menyeru kepada semua yang berjaya nanti supaya janganlah menjadikan elaun sebagai sandaran utama untuk memegang jawatan ini. Keutamaan harus diberikan kepada tugas dan tanggungjawab terhadap masyarakat. Saya berani berkata begini kerana sayalah orangnya yang telah menghantar emel kepada YAB Perdana Menteri dua tahun yang lepas supaya elaun Pengerusi JKKKP dinaikkan. Orang yang meminta saya berbuat demikian itu sayangnya telah meninggal dunia lebih kurang dua atau tiga bulan yang lalu tanpa sempat menikmati kenaikan elaun ini. Al-Fatihah.  

Oleh
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
Semerak.

No comments:

Post a Comment