Tuesday 21 January 2014

Kekurangan Kritikal Anggota Polis Di Semerak

Beberapa tahun yang lepas, Balai Polis Cherang Ruku (Semerak) telah dibina baru. Begitu juga dengan kuaters anggotanya. Disebabkan pembinaan bangunan-bangunan baru ini, sekali gus pekan Semerak pun telah bertukar wajah dari sebuah pekan yang muram kepada cerah. Balainya cantik dan kuartersnya pula tinggi bertingkat. Sesiapa sahaja yang melihatnya akan merasakan seolah-olah pekan Cherang Ruku ialah sebuah bandar bukan lagi pekan kecil..

Itulah mercu tanda Semerak sekarang. Kawasan di hadapan balai polis ini menjadi kemudahan untuk orang-orang dari luar datang untuk berjumpa orang-orang Cherang Ruku sebelum dibawa ke rumah atau ke tempat yang hendak dituju. Kawasannya lapang dan bersih.

Pekan Cherang Ruku menjadi sebuah penempatan penduduk tersusun dan juga pusat pentadbiran kerana disinilah terdapatnya pejabat pos, sekolah-sekolah, pusat kesihatan kerajaan, klinik swasta, pasar utama, pasar malam, pasar tani dan lain-lain selain daripada balai polis dan kedai-kedai. Walaupun Tok Bali akan dibangunkan sebagai pelabuhan perikanan terbesar Asia Tenggara, namun pekan Semerak tetap akan terus berfungsi sebagai pekan sokongan yang penting. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa 'Tiadalah Tok Bali Jika Tiada Cherang Ruku".

Mungkin disebabkan prasarana yang sudah tersedia inilah maka Balai Polis Cherang Ruku telah dinaiktarafkan. Namun, sayang seribu kali sayang, kos yang telah dihabiskan itu belum sepadan dengan jumlah keanggotaan yang ada. Selain daripada balai polis ini berperanan sebagai pusat balai untuk seluruh kawasan Semerak yang luas, ianya juga untuk memenuhi tuntutan keselamatan dan kesejahteraan penduduk Semerak yang semakin hari semakin padat.

Saya difahamkan bahawa jumlah pegawai dan anggota yang bertugas di balai ini masih lagi sangat terhad. Saya tidak tahulah kenapa perkara ini dibiarkan sehingga beban tugas yang dipikul oleh pegawai dan anggota-anggota balai ini telah mengakibatkan keciciran banyak tugas-tugas menjaga keselamatan. Seorang anggota dianggap seperti memikul tugas beberapa orang anggota kerana kekurangan ini. Sudah tentulah kita boleh bayangkan betapa berat dan sukarnya mereka menjalankan tugas dan tanggungjawab kepolisian. Apalagi jika kawasan Semerak sudah dikategorikan sebagai salah satu daripada kawasan paling hitam dalam negeri Kelantan dengan beban kes-kes dadah, curi motosikal dan kereta, bahkan kabel bawah tanah TM pun dicuri juga yang bukan sahaja melibatkan pengguna-pengguna biasa talian telefon tetapi menjejaskan juga pengusaha-pengusaha kedai cyber. Akhir-akhir ini ada pula dikatakan bahawa di Semerak terdapat kes yang sangat berat iaitu memiliki senjata api secara haram.

Jika keadaan kekurangan anggota dalam pasukan polis Semerak ini dibiarkan, saya khuatir usaha pencegahan jenayah akan menjadi bertambah sukar pada masa hadapan. Oleh itu, saya ingin mencadangkan kepada pihak pengurusan tertinggi PDRM dan juga KDN supaya mengambil perhatian keatas perkara ini dengan segera. Jika belum boleh menyediakan dan menambahkan anggota dengan secukupnya lagi, sekurang-kurangnya biarlah separuh dulu untuk meringankan sedikit beban tugas pegawai dan anggota-anggota yang ada.

Oleh
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
Semerak.

No comments:

Post a Comment