Wednesday 15 January 2014

Rukun Tetangga PAS



Rukun Tetangga atau RT Ala PAS

Sepertimana yang sudah ketahui oleh semua pembaca blog saya bahawa aduan tentang KRT Cherang Ruku (Semerak) telah dibuat kepada pihak berwajib baru-baru ini. Semoga seorang pengerusi baru dilantik untuk menerajui KRT ini sebagai menggantikan pengerusi sedia ada sepertimana yang dikehendaki oleh orang ramai.

KRT ialah sebuah organisasi yang tiada kena mengena dengan mana-mana badan politik. Namun ianya adalah dibawah seliaan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional JPM atau JPNIN. Disetiap negeri ada Pengarahnya. Melaluinyalah segala peruntukan disalurkan. Ini bermakna bahawa soal KRT ialah soal kerajaan persekutuan, bukan kerajaan negeri.

Disebabkan inilah, saya dapati kerjasama untuk melibatkan orang-orang PAS kedalam KRT menjadi sesuatu yang agak sukar diperolehi. Namun, saya memahaminya kerana apa sahaja program yang ada kaitannya dengan kerajaan pusat di bawah BN sudah tentulah tidak akan disokong dan diberikan kerjasama oleh pihak kepimpinan PAS dan orang-orangnya. Dengan itu, usaha untuk menarik orang-orang PAS menyertai organisasi ini tidak perlu dilakukan.

Apabila saya timbulkan isu ini secara terbuka baru-baru ini di dalam blog saya, terhasil satu reaksi baru daripada pihak kepimpinan PAS di tempat saya. Mereka berkata bahawa jika KRT yang diterajui oleh orang UMNO ini tidak berfungsi dengan sebaiknya untuk orang ramai, satu kumpulan baru akan diwujudkan oleh mereka sendiri tidak lama lagi. Mereka berkata bahawa KRT (mungkin dengan nama yang lain) yang akan diwujudkan ini sudah tentulah ada kaitannya secara langsung dengan kerajaan negeri. Peruntukan akan dipohon daripada kerajaan negeri sepertimana juga KRT sedia ada yang memohonnya daripada kerajaan pusat. KRT ala PAS ini akan menjadi alternatif untuk orang ramai.

Jika penubuhan kumpulan baru ini benar-benar terjadi, maka KRT Cherang Ruku (Semerak) akan terbahagi kepada dua kumpulan yang berasingan. Jika kedua-duanya aktif, maka berlakulah persaingan. Jika KRT sedia ada tidak aktif dan tidak dipulihkan semula, maka sudah tentulah KRT baru di bawah PAS ini akan menjadi pilihan untuk orang ramai.

Dalam hal ini saya tidak mementingkan apa yang akan dilakukan oleh pihak kepimpinan PAS. Mereka berhak merancang dan melaksanakan apa sahaja program dan tiada sesiapa pun boleh menghalangnya walaupun meniru apa yang dibuat oleh kerajaan pusat. Peluang sudah lama berada di tangan orang-orang UMNO melalui KRT ini untuk kebaikan orang ramai tetapi telah tidak dimanfaatkan dengan sebaiknya. Apabila kes dibawa kepada perhatian pihak berwajib, alasan demi alasan pula diberikan bukan pengakuan untuk memperbetulkan keadaan.

Sebagai seorang yang cintakan perpaduan orang-orang melayu sudah tentulah saya tidak berapa menyukai apa sahaja unsur-unsur politik yang boleh menambahkan lagi perpecahan orang-orang melayu. Sudah tentulah kewujudan KRT baru oleh PAS ini menambahkan lagi suasana perpecahan ini. Namun, seperti yang telah saya katakan bahawa PAS tidak boleh dipersalahkan. Peluang sudah tentulah akan direbut diatas kelemahan UMNO sendiri. Sebelum ini pun usaha untuk cuba menarik orang-orang PAS supaya mereka juga dilibatkan dalam KRT tidak pernah dilakukan kerana dianggap sukar dan mustahil.

Oleh itu, satu sahajalah yang menjadi harapan saya dan kawan-kawan dalam konteks ini. Diharap kedua-dua kumpulan ini akan tetap merintis jalan kearah perpaduan yang saya maksudkan itu. Biar pun berasingan, kedua-dua kumpulan ini harus berada pada tahap ‘kerjasama’ bukan ‘persaingan dan permusuhan’ kerana apa yang hendak dilakukan ialah untuk kepentingan dan kesejahteraan bersama. Soal politik hendaklah diasingkan. Saya akan cuba berpakat dengan kawan-kawan dari kedua-dua belah pihak untuk diadakan pertemuan dan perbincangan dari masa kesemasa kearah mewujudkan suasana perpaduan ini. Dengan itu diharap aktiviti masing-masing pihak tidak bertentangan atau bertindih yang boleh mencetuskan perbalahan dan permusuhan kerana ianya adalah sia-sia dan merugikan semua pihak.

Untuk itu, sekali lagi saya menyeru dan berharap pihak JPNIN Kelantan segera melakukan perubahan dan reformasi keatas KRT Cherang Ruku (Semerak) sepertimana dikehendaki orang ramai supaya orang baru yang akan memegang jawatan pengerusinya ialah orang yang boleh berinteraksi dengan kepimpinan PAS selain daripada mempunyai minat yang mendalam terhadap perpaduan dan muhibbah. Jika diminta, saya boleh cadangkan senarai nama orang-orang yang dimaksudkan itu untuk di’temuduga’ (jika perlu) dan dilantik.

Nafas baru hendaklah disuntiik kepada KRT Cherang Ruku (Semerak) oleh JPNIN. Jika tidak, rungutan orang ramai ini mungkin akan diterjemahkan pada suatu masa nanti melalui tindakan-tindakan tertentu yang mungkin tidak akan menyenangkan pihak kerajaan pusat yang memerintah.

Oleh
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
Semerak.      

No comments:

Post a Comment