Saturday 11 January 2014

Wakil Rakyat



Wakil Rakyat Yang Tidak Pandai Membalas Budi Rakyat

Seorang wakil rakyat harus pandai bekerja untuk rakyat bukan hanya pandai memenangi pilihanraya. Namun selepas sahaja mendapat gelaran YB, sesetengah wakil rakyat didapati tidak tahu pun cara-cara untuk membalas ‘budi’ rakyat yang telah memilih mereka.

Rakyat biasa di kampong tidak memerlukan apa-apa balasan yang berbentuk melebihi keperluan mereka. Jika mereka nelayan, cukuplah dengan infra-struktur yang sesuai untuk mereka berkongsi pakai sesama mereka seperti jeti kecil bagi memudahkan mereka mendaratkan hasil tangkapan dengan selesa. Jika mereka petani, cukuplah dengan bantuan-bantuan seperti baja atau peralatan yang sesuai. Jika mereka penternak, cukuplah dengan bantuan ternakan seperti lembu atau sebagainya.

Mereka tidak perlukan lebih dari itu kerana mereka tahu bahawa itulah kehidupan mereka sejak dari dahulu lagi. Selebihnya mereka akan berusaha sendiri atau anak-anak mereka pula yang membantu. Oleh itu, jika ini pun tidak boleh disediakan oleh wakil rakyat mereka, alangkah ruginya mereka mempunyai wakil rakyat yang tidak mampu membantu mereka.

Pada hari ini kenderaan sudah semakin banyak walaupun di kampong-kanpong. Walaupun mereka hanya nelayan, penternak, petani atau bekerja kampong, mereka tetap mempunyai kenderaan sendiri sekurang-kurangnya sebuah motosikal dan sebuah kereta terpakai bagi setiap keluarga. Sudah tiada lagi kelihatan orang kampong berjalan kaki atau mengayuh basikal untuk keluar ke bandar. Oleh itu, keperluan asas yang penting ialah jalanraya yang selesa bagi mereka.

Apabila orang-orang kampong pun sudah pakai kereta, bayangkanlah betapa banyaknya kenderaan ini di atas jalanraya sekarang ini. Sudah tentulah jalanraya yang berkeadaan baik dan selesa menjadi keperluan mereka.

Disebabkan inilah maka saya telah menulis sebelum ini tentang perkara ini dan menekankan bahawa wakil rakyat harus memainkan peranannya untuk menentukan jalanraya yang rosak dicari jalan supaya ianya boleh diperbaiki segera. Tidak kiralah pihak mana yang harus dipertanggungjawabkan dalam urusan penyelenggaraan itu tetapi orang-orang kampong tetap mahukan supaya wakil rakyatnya berusaha untuk tujuan itu. Mereka tidak mahu mendengar alasan demi alasan yang diberikan oleh wakil rakyat mereka.  Mereka tidak mahu juga mendengar bahawa ada orang yang ‘immune’ daripada undang-undang jalanraya di belakang aktiviti lori-lori treler yang membawa muatan bijih besi yang berlebihan itu, maka sebab itulah jalanraya itu sentiasa rosak teruk. Apa yang penting bagi mereka ialah tindakan yang berkesan oleh wakil rakyat mereka kearah penyelesaian masalah itu.

Mereka pun faham sudah tentulah jalanraya akan rosak apabila lori-lori itu membawa muatan yang melebihi had berat muatannya. Ada dikatakan bahawa berat sesebuah lori treler itu sampai hampir 100 metrik tan. Kalaulah betul dakwaan ini, perkara ini adalah melampau jika terus dibiarkan oleh pihak berkuasa. Jalanraya seperti dari Pasir Puteh ke Semerak bukanlah sesuai untuk dijadikan sebagai laluan lori-lori ini jika muatannya terlalu melebihi had seperti itu. Sikap ‘double-standard’ pihak berwajib tidak harus dipandang ringan. Bukan sahaja penduduk-penduduk tempatan teraniaya, bahkan undang-undang jalanraya pun sudah jelas dilanggari dengan rakus dan berleluasan kerana dibiarkan.

Oleh itu, orang-orang kampong berharap supaya sesuatu boleh dilakukan oleh wakil rakyat mereka dalam masa terdekat ini. Beliau harus membawa perkara ini kepada pengetahuan dan perhatian pihak-pihak yang berkuasa dan tindakan diambil demi orang-orang kampong yang tidak meminta berlebih-lebihan kecuali sedikit bantuan untuk keselesaan perjalanan mereka. Jika ini dapat diusahakan, saya yakin orang-orang kampong tidaklah lagi akan berkata ‘tok wakil kita tahu nak menang sahaja tapi tak tahu buat kerja’.

Lebih baik menjadi Hang Jebat yang menderhaka kepada raja mempertahankan hak rakyat daripada menjadi Hang Tuah yang setia tetapi tidak mahu membela rakyat.

(nota tambahan: sewaktu saya menulis artikel ini seorang penunggang motosikal telah patah tulang rusuk apabila beliau terjatuh di bahagian jalan yang rosak teruk berhampiran Bukit Peraksi, Semerak)

Oleh
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
Semerak.

No comments:

Post a Comment