Sunday 19 January 2014

Alemy Maggi Ketam Semerak


‘Alemy Maggi Ketam’ Semerak
  
Anak watan Semerak yang pernah gagal dalam dunia perniagaan di Kuala Lumpur sebelum ini. Apabila pulang semula ke kampung duduk termenung memikirkan apalah sangat yang boleh dibuat berbekalkan latar belakang akademik yang ada lalu membuka sebuah kedai kecil di hujung kampung berdekatan rumahnya dan sungai. Pada siang hari tidak ramai pelanggan yang berkunjung kecuali malam. Mereka yang datang ini terdiri daripada kaki-kaki pancing yang datangnya dari serata tempat dalam negeri Kelantan kerana di situlah terletaknya sebuah struktur pintu penahan dan pelepasan air sungai yang dipanggil ‘get’ oleh orang-orang kampung di mana terdapat banyak ikan-ikan seperti siakap putih dan lain-lain yang menarik minat pemancing-pemancing untuk berkunjung ke situ pada malam hari.

Di situlah bermulanya episod penjenamaan ‘Alemy Maggi Ketam’ secara tidak langsung. Alemy ada seorang ayah yang bekerja kampung yang selalu turun ke sungai menahan ‘bito’ ketam iaitu sejenis perangkap ketam yang diturunkan ke dasar sungai. Ketam yang diperolehi itu dibawanya ke warong Alemy selain dijual kepada orang-orang kampung. Kisah resipi ini bermula apabila ada pelanggan yang meminta supaya dibuatnya maggi rebus dengan ketam sebagai tambahan ke dalam menu.

Hari berganti hari, bulan berganti bulan. Rasa sedap maggi bercampur ketam ini disukai pemancing-pemancing yang datang memancing di ‘get’ itu. Berita disebarkan dari mulut ke mulut bahawa terdapat satu warong kecil di ‘get Kampung Lembah’, Semerak yang menyediakan menu maggi ketam yang menyelerakan. Jadi pemancing pun tidaklah perlu risaukan perut yang lapar kerana warong ini dibuka sehingga pagi. Ada pula yang berpendapat bahawa ketam bagus untuk mengurangkan risiko jangkitan demam denggi walaupun ianya tiada pengesahan secara saintifik oleh mana-mana pakar perubatan.

Alemy melihat bahawa peluang keemasan untuk mengembangkan perniagaannya tidak harus disia-siakan. Oleh kerana kedudukan warongnya agak jauh masuk ke dalam kampung, beliau membuat keputusan untuk keluar ke pekan Cherang Ruku dengan menyewa sebuah daripada kedai-kedai Majlis Daerah Pasir Puteh atau MDPP berhampiran tapak pasar malam.

Di sinilah nama ‘Alemy Maggi Ketam’ mula mendapat penjenamaannya yang sebenar diperingkat nasional. Tokoh-tokoh ternama mulai datang untuk merasai hidangan istimewa ini. Ada yang berpangkat dan bergelar, ada tokoh-tokoh politik, ada ahli-ahli perniagaan dan tokoh-tokoh korporat, ada pegawai-pegawai tinggi kerajaan, ada selebriti-selebriti terkenal dan berbagai-bagai lapisan masyarakat yang datang dari seluruh negara. Dengan bantuan daripada kawan-kawan, gambar mereka yang pernah berkunjung ini diambil dan dipaparkan di dinding bahagian dalam kedainya.

Pada mulanya Alemy hanya menyewa sebuah sahaja daripada deretan bangunan kedai-kedai MDPP ini. Oleh kerana sambutan begitu memberangsangkan, sekarang premis perniagaannya sudah dibesarkan kepada empat pintu secara bersambung. Pernah beliau sendiri memaklumkan kepada saya bahawa purata jualan atau ‘sale’ setiap malam ialah diantara RM3,000 ke RM5,000. Pernah juga katanya sewaktu musim pilihanraya kecil DUN Kuala Besut baru-baru ini, jualan yang diperolehinya mencecah RM50,000 untuk tempuh 10 malam walaupun pada masa itu ialah bulan Ramadan. Itu juga telah menyebabkan isu cuba dibangkitkan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Puteh bahawa pemimpin-pemimpin dan orang-orang UMNO dari luarlah yang berkunjung ke kedai Alemy sedangkan Alemy sendiri orang PAS.

Beliau berkata jika sesiapa yang ingin datang adalah digalakkan supaya membuat tempahan melalui telefon atau secara on-line terlebih dahulu. Untuk tujuan itu, anak-anaknya telah membantunya menyediakan sebuah website dalam internet iaitu www.alemymeggiketam.blogspot.com. Orang ramai bolehlah melayari laman webnya itu untuk mendapatkan maklumat lanjut dan membuat tempahan. Pelanggan-pelanggan tidak perlu bimbang tentang stok ketam hidup kerana beliau mengimportnya jika bekalan tempatan tidak mencukupi.

Itu sekadar perspektif latar belakang seorang usahawan tempatan yang namanya sedang meniti di bibir semua orang. Seorang anak kampung biasa yang dimurahkan rezekinya oleh Allah SWT sehingga namanya menjadi begitu terkenal walaupun pernah gagal dalam bidang perniagaan lain di tempat orang iaitu di Kuala Lumpur. Orang-orang Kuala Lumpur pula sebaliknya ramai yang berkunjung apabila datang ke Kelantan. Tidak hairanlah jika satu hari nanti beliau membuka pula cawangan-cawangan di tempat lain, mungkin di seluruh tanah air termasuk Kuala Lumpur.

Walaupun begitu, sesiapa sahaja yang belum mengenali Alemy ini sudah tentu akan terkejut besar jika bertemu dan bersemuka dengannya. Beliau sama sekali bukan sepadan dengan namanya. Dengan setiap hari menunggang motor dan bersinglet pagoda putih sahaja, sudah tentu orang tidak menyangka beliau ialah tuanpunya ‘Alemy Maggi Ketam’ yang tersohor itu. Apalagi jika pelanggan yang berkunjung jarang berpeluang berjumpa dengannya kerana beliau menggunakan sepenuh masanya berperanan sebagai ketua tukang masak di dapur dengan dibantu oleh isteri dan anak-anaknya, bukan sebagai ‘towkey besar’ dengan pakaian yang kemas dan cantik.

Bukan tidak ada ushawan-ushawan lain yang juga berjaya di Semerak. Namun, mereka yang ada ini kebanyakannya cepat mempamerkan kejayaan perniagaan mereka dengan berkereta besar dan berpakaian mahal. Kalau kontraktor contohnya, sudah tentulah awal-awal lagi memandu kereta mewah dan memakai jam’Rado’ contohnya, walaupun projek hanyalah kelas F sahaja.

Sebagai anak Semerak saya merasa bangga dengan adanya seorang usahawan muda tempatan seperti Alemy ini. Beliau patut dicontohi kerana walaupun sudah dianggap berjaya tetapi masih mengekalkan sikap rendah diri dengan tidak mahu mempamerkan apa-apa pada dirinya yang boleh melambangkan kejayaan perniagaannya secara riak dan takabbur.

Itulah kisah kejayaannya yang bermula hanya dengan satu resipi percubaan semata-mata diatas permintaan kaki-kaki pancing malam. Alemy tidak boleh lupa kepada kaki-kaki pancing yang telah membantu memberikan ilham ini kepadanya kerana beliau tidak pernah menyangka dan menduga bahawa 'experiment' ini telah membawanya kepada satu dimensi baru dalam hidupnya.

Jenama ini menjadi miliknya.  

(nota: saya menulis tentang beliau secara sukarela tanpa sesiapa pun memintanya dan tanpa sebarang niat yang lain melainkan untuk tujuan supaya diambil contoh oleh lain-lain usahawan terutamanya dalam soal menunjuk-nunjuk)

Syabas Alemy dan Tahniah.

Oleh
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
Semerak.

No comments:

Post a Comment