Monday 17 February 2014

KRT Baru Cherang Ruku



Program Pelancaran Penubuhan KRT Cherang Ruku, Semerak

                                                          (gambar hiasan sahaja)

Ilham untuk menubuhkan KRT baru ini timbul apabila rasa kecewa masyarakat pekan Cherang Ruku terhadap KRT sedia ada sudah mencapai kemuncaknya. KRT sedia ada telah lama wujud tetapi peranannya tidak pernah dirasai oleh masyarakat setempat. Mereka berkata tiada satu pun kegiatan yang memberikan manfaat kepada mereka selama ini. Ada pula sesetengahnya mendakwa bahawa mereka adalah AJK dalam KRT ini tetapi tidak pernah dimaklumkan sebarang aktiviti yang hendak dijalankan, bahkan mesyuarat pun tidak pernah diadakan. Kata mereka lagi, bayangkanlah jikalau mesyuarat pun tidak dibuat, siapa yang boleh tahu berapa peruntukan yang diperolehi daripada kerajaan selama ini contohnya, jika ada, dan kemana semua wang itu dibelanjakan. Mereka hanya tahu apabila membaca jawapan yang diberikan oleh pengerusinya dalam Facebook apabila isu ini diabangkitkan di dalamnya. Itu pun sekadar makluman tentang beberapa aktiviti kecil yang tidak menguntungkan keseluruhan masyarakat pekan Cherang Ruku. Program seperti mengadakan malam cabutan bertuah dengan beberapa biji hamper sebagai hadiah untuk penonton skrin besar perlawanan akhir bolasepak yang melibatkan pasukan negeri Kelantan contohnya, bukanlah sesuatu yang harus dijadikan sandaran apabila menjawab tohmahan orang ramai. Begitulah juga dengan peruntukan dari kerajaan, Tiada gambaran serious dan jelas diberikan kecuali jawapan dan ulasan yang berbentuk alasan sahaja.

Disebabkan itulah maka usaha telah dilakukan dengan memohon pihak Jabatan Perpaduan dan Integriti Nasional atau JPNIN supaya KRT Cherang Ruku ini diperbetulkan. Cadangan secara formal telah diajukan melalui emel supaya pengerusinya digantikan dengan orang lain yang lebih jujur, amanah dan bertanggungjawab selain daripada mempunyai hubungan baik dengan orang ramai termasuk daripada bangsa2 selain melayu. JPNIN sememangnya berjanji untuk melakukan siasatan dan mengambil tindakan yang sewajarnya dalam emel balasnya sebanyak dua kali..

Sayangnya, JPNIN agak lembab dalam membuat keputusan dan tindakan sehingga mendorong orang-orang Cherang Ruku meminta supaya diusahakan penubuhan KRT alternatif ini.

Maka pada 6hb Mac 2014 ini, satu majlis penubuhan KRT baru akan dilancarkan oleh seorang wakil kerajaan negeri Kelantan yang akan diadakan di Dewan Penggawa Semerak. Samada namanya akan disamakan sebagai KRT atau pun tidak, ianya belum diputuskan secara muktamad. Apa yang penting ialah semangat kesepakatan orang-orang pekan Cherang Ruku dalam menjayakan sebuah persatuan untuk faedah bersama.

Selaku penyelaras bersama, saya akan menjemput orang ramai hadir pada malam itu tanpa mengambilkira latar belakang fahaman politik mereka. Orang-orang melayu, orang-orang cina dan orang-orang siam akan dijadikan asas komponen KRT baru ini.

Tujuan utama penubuhan KRT baru ini sebenarnya selaras dengan matlamat dasar kerajaan pusat melalui gagasan ‘Pelan Perpaduan Nasional’ sepertimana yang telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri baru-baru ini. Ini adalah kerana kejayaan pelan sebesar itu sangat-sangatlah bergantung kepada sejauh mana kekuatan perpaduan diperingkat akar umbi terlebih dahulu.

Tujuan keduanya pula ialah sebagai platform untuk program dan kegiatan-kegiatan sosial yang boleh memberikan manfaat kepada masyarakat setempat. Keutamaan sudah tentulah dalam perkara-perkara yang melibatkan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat. Aktiviti kawalan kawasan pada waktu malam akan dihidupkan dan dipergiatkan sebagai memberi kerjasama kepada pihak keselamatan dalam usaha mengurangkan gejala sosial seperti dadah, pecah rumah, curi kenderaan, pati, kegiatan maksiat dan lain-lain. Sebab itu pada malam pelancarannya, serorang pegawai yang berkaitan dari PDRM akan dijemput sama untuk memberikan ceramah. Beliau disebut sebagai sangat berkebolehan dalam menyampaikan ceramah mengenai keselamatan dan juga motivasi.

Adalah diharapkan inisiatif yang diambil ini mendapat sokongan dan kerjasama semua lapisan masyarakat pekan Cherang Ruku. Semoga ianya mencapai kejayaan dan terus hidup sebagai sebuah KRT yang aktif dan berkesan.Walau bagaimana pun, saya ingin menegaskan di sini bahawa KRT baru ini bukan sekali-kali mahu menyaingi KRT sedia ada jika pun ianya diberikan semula nafas baru oleh JPNIN nanti. Usaha mengharmonikan masyarakat berbilang kaum contohnya, bukan semata-mata tanggungjawab sebelah pihak sahaja. Ianya adalah tanggungjawab bersama semua pihak dan hendaklah sama-sama dilakukan seiring sejalan oleh kedua-dua pihak ini walaupun melalui persatuan yang berbeza dan berlainan.

Tinggal lagi mahu atau pun tidak.

Oleh
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
Semerak.

No comments:

Post a Comment