Friday 28 February 2014

Kebudayaan dan Politik Kelantan



Persembahan Seni Kebudayaan dan Politik Di Kelantan

Di Semerak sudah agak lama tidak diadakan persembahan wayang kulit dan dikir barat. Apabila ‘fun fair’ atau ‘ekspo’ diadakan seperti sekarang, persembahan wayang kulit dan dikir barat diadakan di tapak ekspo ini.

Saya tidak meminati kedua-dua pertunjukan kebudayaan ini. Walau bagaimana pun saya tidak mahu berkata bahawa orang ramai yang berpusu-pusu masuk sebagai orang-orang yang jahil dan sukakan maksiat sepertimana yang diperkatakan oleh sesetengah penyokong PAS.

Kenapa bagi saya orang-orang PAS pun tidak sepatutnya berkata begitu juga? Ianya adalah kerana sesuatu persembahan yang hendak diadakan di dalam negeri Kelantan memerlukan kelulusan permit dari pihak berkuasa tempatan terlebih dahulu. Ini bermakna bahawa permit yang dikeluarkan itu adalah juga dari kerajaan negeri. Oleh itu, tindakan sesetengah orang PAS yang membenci dan menentang penganjuran persembahan kebudayaan ini tidak seharusnya ditujukan kepada pihak penganjur. Pihak berkuasa tempatanlah yang seharusnya ditegur. 

Sikap sesetengah orang PAS di Semerak masih lagi ditakuk lama. Mereka sepatutnya sedar bahawa enakmen mengenai permit pertunjukan seni kebudayaan seperti ini sudah pun diubah. Mereka sendiri pun tidak boleh lari dari kenyataan bahawa kedua-dua persembahan kebudayaan ini adalah minat semulajadi mereka sendiri juga. Bila kita bercakap tentang orang Kelantan, tidak ada orang Kelantan yang tidak berasal dari kampong. Maka setiap orang kampong jiwa mereka sudah lama sebati dengan kebudayaan turun temurun ini. Saya khuatir mereka hanya berlakon sahaja membencinya sedangkan di rumah mereka sendiri almarinya penuh dengan vcd wayang kulit dan dikir barat termasuk juga dalam kereta.

Saya membuat pemerhatian keatas isu ini walaupun ianya perkara kecil sahaja. Bagi saya orang-orang PAS harus sedikit kehadapan dalam pemikiran mereka. Menentang sesuatu seperti ini tidak memberikan sebarang untung pun kepada parti yang mereka dokongi. Orang akan tertawakan sahaja mereka kerana yang meluluskan permit adalah kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan yang berkenaan. Oleh itu, pihak penganjur tidak perlu dipersalahkan. Apalagi orang ramai yang mengujunginya.

Selain daripada itu, pemikiran seperti ini boleh juga menambahkan lagi sentimen perselisihan faham diantara orang-orang PAS dan UMNO. Mereka harus disedarkan oleh kepimpinan parti bahawa sikap lapuk mereka itu harus ditinggalkan dan ikuti perkembangan semasa supaya apa sahaja yang berlaku disekeliling mereka dapat difahami dengan betul.

Saya menulis sebagai anak Kelantan jati yang berasal dari kampong.

Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
Penganalisis dan Pengkritik Bebas

No comments:

Post a Comment