Sunday 22 December 2013

Tok Gawa BN dan Tok Gawa PAS

Pada masa dahulu, peranan Tok Gawa (Penggawa atau sekarang dipanggil Pentadbir Mukim dibawah JPP yang menyelia semua penghulu-penghulu atau pengerusi-pengsrusi JKKKP) amat penting bagi masyarakat umum dalam pelbagai perkara terutamanya dalam urusan-urusan tanah dan proses pemilikannya. Sekarang peranan mereka tidak lagi dirasai penting kecuali orang berebut-rebut kerana elaunnya akan dinaikkan tahun 2014.

Tok Gawa UMNO berperanan hanya untuk orang-orang UMNO manakala tok gawa PAS untuk orang-orang PAS. Pertindihan kuasa ini berlaku kerana BN mewujudkan mekanisma berasingan dalam negeri yang diperintah PAS atau mana-mana parti pembangkang lain. Mana-mana negeri dibawah BN pula, pihak PAS atau mana-mana parti lain itu tidak mewujudkan sistem penggawa atau penghulu atau ketua kampong secara berasingan kecuali Penyelia DUN sahaja.

Saya melihat sistem berasingan bahkan bertentangan ini merugikan bangsa sendiri. Apabila ini berlaku, perebutan berlaku untuk menarik sokongan orang ramai kerana kedua-duanya diwujudkan berasaskan kepentingan politik semata-mata. Adakalanya pula, perebutan ini menimbulkan krisis politik yang kesannya dirasai oleh orang ramai. Sebagai contoh, di tempat saya isu subsidi baja padi telah diperalatkan untuk tujuan itu. Orang-orang PAS terus menerus dinafikan hak mereka sebagai rakyat negara ini oleh kerajaan persekutuan melalui UMNO apabila kepimpinan UMNO menggunakan kuasanya menekan dan menindas orang-orang PAS dengan alasan bahawa peruntukan subsidi baja padi telah disalurkan kepada kerajaan negeri oleh kerajaan pusat.

Saya tidak tahulah samada peruntukan sebanyak RM4 juta untuk orang-orang PAS yang menjadi penanam padi dalam seluruh negeri Kelantan sepertimana yang disebut oleh Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh itu (sila rujuk Sinar Harian bertarikh 22 Disember 2013 edisi Kelantan) mencukupi atau pun tidak. Kalau pun mencukupi, saya tidak melihat ianya sebagai sesuatu yang logik dan rasional yang boleh pula dijadikan alasan yang kuat maka subsidi untuk orang-orang PAS dinafikan oleh Ketua itu yang juga memegang jawatan Pengerusi Pembangunan Pertanian Parlimen Pasir Puteh.

Saya melihat isu ini dari sudut lain yang berbeza. Bagi saya, kerajaan pusat tidak perlu pun menyalurkan peruntukan subsidi baja padi kepada kerajaan negeri. Sepatutnya apa sahaja bantuan atau peruntukan dari kerajaan pusat hendaklah kerajaan pusat sendirilah yang menguruskannya. Jika tidak, apa guna diwujudkan JPP dengan segala jentera seperti Pentadbir Mukim dan Pengerusi-Pengerusi JKKKP itu?

Kalau peruntukan subsidi baja padi disalurkan kepada kerajaan negeri, mengapa tidak peruntukan-peruntukan lain seperti BR1M , royalti minyak dan lain-lain? 

No comments:

Post a Comment