Saturday 14 December 2013

Jalan Sudah Rosak Semula






Jalan Sudah Rosak Semula

Saya masih ingat sebelum PRU13 bilamana banyak jalan menjadi rosak dan berlubang di kawasan saya iaitu Semerak, maka lubang-lubang itu ditampal dengan bancuhan simen dan batu oleh orang ramai secara sukarela dan bergotong royong. Jika berkebetulan saya melalui di tempat mereka sedang melakukan kerja itu, saya terus berhenti dan mengambil gambar untuk dimuatkan ke dalam blog dan FB saya.

Itu semua dilakukan kerana orang-orang kampong sudah tidak tahan dengan wakil rakyat PAS yang dikatakan tidak mengambil peduli tentang jalan-jalan yang rosak itu. Sudah tentulah mereka itu adalah orang-orang UMNO yang diketuai oleh pengerusi JKKKP dan Ketua Cawangan tempat yang berkenaan. Saya tidak tahulah dari mana mereka mendapat peruntukan untuk membeli simen dan batu-batu itu.

Jalan-jalan yang diperbaiki dan ditampal dengan simen-simen itu sekarang sudah mulai rosak semula. Keadaannya sama seperti sebelum PRU13 kerana jalan-jalan ini tidak terlibat dengan proses penurapan semula yang telah dilakukan sebaik sahaja wakil rakyat BN mengambilalih kuasa pada PRU13.

Sebelum ini saya ada menulis tentang jeti untuk nelayan-nelayan kecil yang dijanjikan oleh wakil rakyat BN tetapi sampai sekarang belum ditunaikannya lagi. Jika penurapan jalan ini pun termasuk juga dalam senarai yang dijanjikan, maka isu ini menjadi perkara kedua yang ditunggu-tunggu oleh orang ramai.

Dalam kaitan ini saya tidak boleh meramalkan apa pula yang akan dilakukan oleh orang-orang PAS jika jalan-jalan yang rosak itu terus dibiarkan. Mungkinkah mereka akan bertindak sepertimana orang-orang UMNO dulu? Mungkinkah mereka akan bergotong royong membaikinya juga dan bila saya melaluinya mereka akan menahan saya supaya mengambil gambar dan muatkannya ke dalam blog dan FB saya juga?

Saya harap ianya tidak berlaku seperti itu. Wakil rakyat BN harus membuktikan bahawa beliau lebih peka dan pro-aktif berbanding wakil rakyat PAS terdahulu. Jika tidak, sekali lagi orang-orang Semerak akan berkata bahawa wakil rakyat BN ini hanya pandai menabur janji pilihanraya sahaja tetapi tidak mampu menunaikannya. Sekali lagi juga mereka akan menggelarkan wakil rakyat BN ini sebagai ‘TWP’. Maka tidak mustahil mereka akan berbalik semula kepada tabiat lama mereka menyokong parti lawan dalam PRU14 nanti.

Berbalik semula kepada isu jeti yang dijanjikan itu. Sebagai contoh, orang-orang Semerak tidak lupa kepada jasa besar YBhg Datuk Hj Kamaruddin Md Nor semasa beliau menjadi wakil rakyat BN DUN Semerak. Walaupun tempuh perkhidmatannya singkat (tak sampai satu penggal kerana beliau menang melalui PRK), namun beliau berjaya membawa pulang peruntukan berjumlah puluhan juta ringgit untuk membina sebuah jambatan merentangi Sungai Semerak. Orang-orang Semerak sangat memerlukannya untuk menyeberangi ke Tok Bali bagi menggantikan jambatan sedia ada yang sudah rosak kerana jambatan itu sudah sangat lama dan diperbuat daripada kayu.
Maka, saya harap wakil rakyat BN yang baru ini dapat membuktikan bahawa beliau pun boleh meninggalkan jasa-jasanya juga, bukan lagi digelar sebagai wakil rakyat yang makan gaji buta dan TWP.

Oleh
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
Penaganalisis dan Pengkritik Bebas  

No comments:

Post a Comment