Thursday 12 December 2013

SiBaju Hijau (siri 2)


Sepertimana tulisan saya sebelum ini warna hijau ialah warna kegemaran saya tetapi warna hijau yang dimaksudkan ialah hijau muda bukan hijau pekat seperti warna latar lambang bulan parti PAS. Secara kebetulan, selain daripada umurnya yang sama dengan umur saya, PM Najib pun gemarkan warna hijau muda juga.

Sebelum ini kita tidak pernah boleh melihat mana-mana Presiden UMNO memakai baju melayu berwarna hijau muda apabila berucap dalam majlis parti. Hari ini, Presiden UMNO memakainya.

Warna baju yang dipakai tidak membawa sebarang makna kalau hendak dikirakan. Namun, kenapa Presiden UMNO memakainya sedangkan banyak lagi warna-warna lain yang boleh dipilhnya?

Dahulu, laungan takbir seolah-olah menjadi satu ‘trademark’ untuk parti PAS. Setiap kali pemimpinnya tiba, orang-orang PAS akan melaungkannya beramai-ramai dengan sekuat hati sebagai tanda hormat kepada pemimpin mereka. Begitu juga apabila ucapan yang disampaikan oleh pemimpin mereka sampai kepada penghujungnya.

Sekarang laungan itu masih juga diteruskan seperti biasa. Bezanya ialah kalau dahulu hanya orang-orang parti PAS sahaja yang melaungkannya tetapi sekarang orang-orang UMNO ada juga melaungkannya. Dengan itu, anggapan bahawa laungan takbir hanya milik PAS sudah berakhir. Tiada undang-undang diperuntukkan bahawa orang-orang UMNO tidak boleh melaungkannya juga.

Kemudian timbul siapa yang pakai songkok sebagai orang UMNO dan siapa yang berkopiah sebagai orang PAS. Sekarang orang UMNO sudah ramai yang berkopiah manakala orang PAS pula ramai yang sudah bersongkok.

Begitulah juga dengan warna hijau yang dijadikan sebagai warna parti PAS untuk bendera dan pakaian mereka. Warna ini seolah-olah menjadi warna yang hanya parti PAS sahaja berhak menggunakannya selama ini. Manakala warna untuk parti UMNO ialah biru.

Kedua-dua warna ini telah memisahkan dua kelompok orang-orang melayu dalam negara Malaysia. Walaupun mereka sama dari segi keturunan bangsa dan agama, malahan ada yang dari rumpun keluarga yang sama, namun warna ini boleh digunakan sebagai tanda utama untuk mengenalpasti samada seseorang itu penyokong UMNO atau PAS.

Keadaan ini telah berkurun lamanya menjadi amalan orang-orang melayu. Warna PAS ialah hijau manakala warna UMNO ialah biru.

Orang-orang melayu telah menjadi mangsa kepada dua warna ini. Apa tidaknya, apabila sekelompok orang-orang melayu yang menyokong UMNO menjadikan warna hijau sebagai satu warna yang perlu dijauhi manakala sekelompok lagi menjadikan warna biru pula sebagai warna yang perlu dijauhi. Orang-orang kampong di Kelantan selalu bertanya, ‘demo tu biru ko ija? Lebih teruk lagi apabila penyokong kuat PAS bukan sahaja hari-hari memakai baju berwarna hijau tetapi ada yang mengecat seluruh rumahnya dan apa sahaja hanya dengan warna hijau keseluruhannya termasuk tandas.

Ada juga di tempat saya yang sampai menganggap warna biru sebagai haram.
Keadaan menjadi lebih teruk apabila dinding bangunan madrasah atau masjid dicatkan dengan warna hijau untuk melambangkan bahawa madrasah atau masjid itu milik parti PAS dan hanya orang-orang PAS sahaja yang boleh berjemaah di situ. Fanatiknya orang-orang PAS ini sehingga menganggap PAS itu hijau dan hijau itu PAS. Kalaulah ditakdirkan pucuk kepimpinan PAS menukarkannya kepada warna lain, saya yakin orang-orang ini menjadi sasau dan gila.

Inilah barangkali yang cuba dipecahkan oleh PM Najib sebagai Perdana Menteri untuk semua walaupun beliau ialah Presiden UMNO. Warna tidak seharusnya dibiarkan berterusan menjadi sesuatu yang memisahkan orang-orang melayu. Oleh itu, tidak sedikit pun ada salahnya apabila beliau memperlihatkan contoh memakai baju melayu hijau. Semua orang bebas memakai apa warna sekali pun walaupun berbeza fahaman politik.
Itu saja.

Oleh
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
Penganalisis dan Pengkritik Bebas

No comments:

Post a Comment