Wednesday 18 December 2013

Cakap-Cakap 'Sub-Standard' Sesetengah Menteri Pusat



Cakap-Cakap  ‘Sub-Standard’ Sesetengah Menteri Pusat

Sejak akhir-akhir ini kita banyak mendengar sesetengah menteri atau timbalan menteri bercakap dengan mutu yang tidak setanding jawatan yang disandang. Ada menteri yang melarang orang membeli itu dan ini kerana mahal. Ada menteri yang menyuruh orang keluar dari negara ini jika dirasakan kerajaan tidak adil. Ada menteri yang menyuruh orang menggunakan jalan alternatif jika kenaikan tol dianggap mahal. Ada menteri yang melarang rakyat supaya jangan makan ayam kalau ayam mahal. Ada menteri yang suka mengumumkan secara terbuka seseorang pemimpin sesebuah parti politik yang lain sebagai mengamalkan fahaman agama yang lain sehingga beliau sendiri pula terdedah kepada risiko disaman.

Itu semua sudah menjadi amalan sesetengah menteri dan timbalan menteri pada masa ini. Mereka ini tidak bijak dan tidak cermat bila bercakap. Mereka bercakap seperti orang-orang kampong di dalam warong sambil minum pagi sahaja. Sesetengahnya pula seperti budak-budak sekolah.

Saya tidak tahu kenapa mereka menjadi begini. Pada masa dahulu setiap menteri bercakap secara rasional dan profesional. Jika menyentuh isu kenaikan harga minyak contohnya, menteri yang berkenaan akan membuat penjelasan secara munasabah. Fakta-fakta dikeluarkan secara nyata dan jelas tanpa diselitkan dengan sebarang saranan yang berbentuk kebudak-budakan. Jika menyentuh kenaikan tol, menteri yang berkenan akan juga melakukan perkara yang sama tanpa diselitkan dengan saranan yang boleh dicemuh orang ramai. Jika menyentuh kadar kenaikan barangan seperti gula contohnya, menteri berkenaan akan menjelaskan secara munasabah juga tanpa menyarankan orang ramai supaya mengurangkan penggunaannya untuk mengelak daripada penyakit diabetis. Apalagi jika kenaikannya dikaitkan dengan penyakit ini yang dijadikan sebagai alasan utama. Semua saranan-saranan itu tidak diperlukan kerana orang ramai sudah tahu tentangnya. Apa yang orang ramai perlukan ialah penjelasan secara berfakta dan meyakinkan..

Kekuatan sesebuah kerajaan bergantung kepada kebijaksanaan para menterinya bercakap. Bercakap secara bijak sangat diperlukan kerana itulah kerja utama orang politik seperti menteri dan timbalan menteri. Jika bercakap pun sudah berterabur, orang sudah tahu bahawa kerja sudah tentulah lagi berterabur.

Saya lama terlibat bekerja dengan kontraktor binaan. Jika sesebuah projek itu berjalan dengan baik dan lancar, biasanya tuanpunya syarikat kontrak akan lebih lancar bila bercakap dalam mesyuarat bersama pihak berkuasa projek atau S.O. Jika sebaliknya, tuanpunya biasanya menjadi gagap atau kadang-kadang tidak mahu hadir lalu mewakilkan dirinya kepada pengurus projek untuk menjawab sebarang soalan dalam mesyuarat.tapak.

Saya rasa menteri dan timbalan menteri yang dimaksudkan itu pun mungkin bukanlah tidak pandai bercakap. Mereka menjadi begitu kerana tekanan yang dihadapi mereka apabila kabinet memutuskan sesuatu secara terdesak. Kita boleh melihat dan membuat perbandingan senario politik sebelum ini dengan senario sekarang..Pada masa dahulu, tidak banyak sangat masalah yang dihadapi rakyat. Kalau ada pun, kerajaan pusat melalui menterinya akan menyelesaikannya dengan cara tindakan bukan bercakap. Tidak ada menteri yang melepaskannya dengan cara bercakap sahaja tetapi mereka memikul tanggungjawab untuk menyelesaikannya secara berkesan. Jika sesuatu keputusan telah diumumkan tetapi mendapat bantahan rakyat, mereka akan berusaha untuk menarik balik keputusan itu atau menangguhkannya jika didapati perlu. Slogan ‘rakyat didahulukan prestasi diutamakan’ sepatutnya sesuai untuk zaman itu, bukan zaman ini.

Sifat ini tidak ada kepada menteri-menteri atau timbalan-timbalan menteri yang baru. Sifat ini hanya ada pada sesetengah menteri yang sudah berpengalaman. Menteri-menteri lama ini tidak gopoh membuat sebarang kenyataan dan biasanya mereka suka bergaul dengan rakyat bawahan.

Cadangan saya:
Untuk menggalakkan menteri dan timbalan menteri bercakap dengan lebih baik, elok diadakan kursus yang sesuai untuk mereka dari masa kesemasa.

No comments:

Post a Comment