Sunday 8 December 2013

Mati UMNO maka Matikah Melayu?



Mati UMNO maka Matikah Melayu?

Ketua Puteri UMNO telah membuat kenyataan secara lantang dalam ucapan penggulungannya pada Perhimpunan Agung UMNO 2013 Kali ke 67 pada 7hb Disember 2013 bahawa ‘mati UMNO maka matilah melayu’.

Sebagai seorang orang melayu yang sudah berumur 60 tahun, saya kurang faham apa maksudnya. Apakah ‘mati’ terhadap UMNO itu dimaksudkannya seperti ‘mati’ orang, maka matinya itu akan ditanam atau dikuburkan buat selama-lamanya? Atau matinya sementara seperti matinya UMNO dahulu mengikut undang-undang tetapi dihidupkan semula dengan UMNO Baru?

Sebagai seorang peguam, saya rasa mungkin beliau maksudkan mati secara teknikal mengikut peruntukan undang-undang. Jika ini yang dimaksudkannya, saya tidak menyalahkannya tetapi ianya sudah tentu tidak mungkin berlaku lagi kerana UMNO sudah ada pengalaman pahit mati seperti itu.

Jika mati yang dimaksudkannya itu adalah mati buat selama-lamanya seperti orang, maka saya tidak bersetuju dengan kenyataannya itu. Saya anggap kenyataan seperti itu seperti cakap budak-budak yang baru belajar berpolitik.

Kalau pun UMNO mati, orang-orang melayu mana mungkin mati kerana mereka akan terus berusaha untuk hidup lagi. Mereka akan berpindah kepada parti-parti lain yang tidak mati seperti PAS atau PKR atau pun boleh juga menjadi ‘non-partisan’ seperti saya. Mereka akan berkata, biarlah UMNO mati kerana matinya pun bukan kerana kami. Mati UMNO kerana pemimpinnya yang tidak bijak.

Pada masa-masa dahulu kita tidak pernah sekali pun mendengar ungkapan ‘mati’ yang dipadankan dengan parti UMNO apalagi oleh pemimpin-pemimpinnya. Sekarang mereka sendiri sudah tergamak memadankan ungkapan ini terhadap UMNO padahal UMNO dianggap sebagai parti keramat orang-orang melayu.

Pada hari ini kadang-kadang belum tentu seorang pemimpin pelapis seperti Ketua Puteri bijak berpidato walaupun beliau berkelulusan undang-undang dan lancar ucapannya. Kita melihat beliau tidak menghormati orang-orang lama termasuk pemimpin-pemimpin yang sudah bersara dengan membuat kenyataan secara terbuka seperti itu. Apalagi jika didepannya ada bekas-bekas pemimpin UMNO ini yang sudah sangat lanjut usia mereka menunggu mati. Sudah tentulah mereka pun tidak menyenangi istilah ‘mati’ digunakan di atas pentas. Amaran sekeras itu bukan selayaknya diberikan oleh pemimpin muda seperti beliau kerana beliau hanyalah seorang Ketua Puteri bukan Presiden parti.

Saya berkata begini kerana seperti yang selalu saya katakan dalam tulisan-tulisan saya sebelum ini bahawa kerja politik ialah kerja bercakap dan kerja bercakap ialah kerja yang paling mulia di dalam dunia kerana itulah juga kerja para nabi dan rasul. Tiada pemimpin dalam dunia yang tidak bercakap. Sebab itu tiada pemimpin dunia yang bisu. Hari-hari PM kita pun bercakap dalam tv, radio atau pun teks ucapannya diterbitkan dalam akhbar. Itulah kerja utama mereka. Manakala kerja menulis pula menjadi kerja kedua paling mulia sebab Al-Quran dihasilkan dalam bentuk tulisan untuk dibaca. Sebab itu walau sepatah pun orang-orang politik tidak boleh buat silap dalam ucapannya. Jika tidak, orang akan menegur dan selebihnya orang akan menilai diri pemimpin itu samada akan terus diberikan peluang untuk naik lebih tinggi atau pun sebaliknya. Jika dibiarkan kesilapan bercakap ini tanpa diperbetulkan, akibatnya boleh juga sampai kepada tahap menjejaskan imej parti itu sendiri. Parti yang sudah semakin menurun sambutan dan sokongannya seperti UMNO akan ditinggalkan oleh orang-orang melayu untuk mencari alternatif lain.

Ketua Puteri UMNO seharusnya tidak boleh terlalu ‘emotional’ apabila melihat sambutan orang-orang melayu terhadap UMNO semakin berkurangan terutamanya kaum muda. Beliau sepatutnya berfikir dan bercakap secara rasional termasuk juga mendapatkan nasihat dari orang-orang lama sebelum membuat ucapan dikhalayak ramai seperti dalam perhimpunan agung ini. Beliau tidak perlu terlalu angkuh dan sombong melantangkan suara seolah-olah sudah lama memegang jawatan itu. Kalau masih budak, buatlah cara budak dan hormatilah orang-orang lama. Jangan berlagak seperti pejuang sedangkan umur baru setahun jagung. Setiap istilah yang hendak digunakan hendaklah mengkajinya terlebih dahulu secara mendalam sepertimana kajian yang dibuat dalam kerjayanya sebagai seorang peguam.

Justeru, ‘mati UMNO' bukanlah isu. UMNO semenangnya bukan bernyawa dan hidup. Yang bernyawa dan hidup ialah orang-orangnya. Tiada orang-orang melayu maka tiadalah UMNO. Bukan tiada UMNO maka tiadalah orang-orang melayu.

Khas untuk YB Ketua Puteri UMNO:
Maaf menegur. Saya menegur kerana saya menganggap anda seperti anak-anak saya yang sebaya usia mereka dengan anda. Saya mulai menyertai UMNO pada tahun 1983 dengan nombor keahlian 592247. Sekarang saya ‘non-partisan’ kerana hendak menulis secara bebas.

Oleh
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
Penganalisis dan Pengkritik Bebas

No comments:

Post a Comment