Wednesday 11 December 2013

Perkaderan UMNO




Perkaderan UMNO

Setelah berusia 67 tahun, barulah kedengaran UMNO hendak melaksanakan latihan untuk melahirkan kader-kadernya. Sepatutnya semasa berumur 25 tahun lagi UMNO sudah melahirkan generasi pelapisnya.

Bagi saya ianya sudah agak terlewat. Kerja untuk melahirkan pelapis bukan senang. Selain faktor umur dan masa, faktor-faktor lain juga memainkan peranan yang penting. Salah satu ialah kumpulan pelatih yang akan melatih pelapis ini dan juga pengalaman kerja melatih.

Agenda ini telah diabaikan UMNO selama ini sedangkan PAS konsisten di setiap peringkat dari dulu lagi. Sebab itu, jika dibandingkan PAS sentiasa tidak ketandusan pelapis pemimpinnya manakala UMNO sebaliknya. Sebab itu juga, diakhir-akhir ini kita melihat UMNO semakin dipenuhi dengan pemimpin-pemimpin yang kurang berkualiti manakala PAS sebaliknya. Pemimpin-pemimpin UMNO yang baru kurang pengalaman berpolitik mereka manakala PAS sebaliknya. Pemimpin-pemimpin UMNO selalu sahaja tidak teratur langkah-langkah bercakap mereka manakala PAS lebih baik dari segi ini.

UMNO tidak ada kumpulan jurulatih yang mampu melatih golongan pelapis ini. UMNO tidak pernah mengambil perhatian dan inisiatif dalam hal ini. UMNO tidak tahu bahawa agenda ini sepatutnya dimulakan dari dulu lagi dan diteruskan secara konsisten. UMNO tidak tahu bahawa untuk menjayakan agenda ini, elemen yang paling penting ialah penyerapan unsur-unsur keagamaan, bukan fahaman nasionalisma semata-mata. Istilah perkaderan itu sendiri pun berkait rapat dengan agama. Baru sekarang UMNO sedar tentang keperluan ini setelah berumur 67 tahun.

Orang putih ada berkata bahawa ‘better late than never’. Sekurang-kurangnya pihak YAB Dato’ Sri Presiden UMNO telah mulai sedar tentang hal ini. Sebab itu beliau menyerapkan beberapa orang tokoh agama ke dalam MT baru-baru ini. 

Soalnya sekarang, model manakah yang UMNO akan cedok dan ambil sebagai kurikulum latihan itu kerana UMNO sendiri belum ada modelnya? Banyak model yang ada tetapi bukan semuanya sesuai untuk UMNO. Kalau yang tempatan, model ABIM ada, model PAS ada, model NGO ada, bahkan model perseorangan atau persendirian pun ada.

Model ABIM dan PAS tidak sesuai dengan UMNO buat masa ini walaupun model-model inilah yang terbaik. Oleh itu, tokoh-tokoh agama yang baru diserapkan oleh presiden parti ke dalam MT itulah merupakan pereka-pereka model untuk UMNO. Mereka harus diberikan ruang secukupnya untuk memberikan tumpuan kepada kerja-kerja ini, bukan urusan kepartian yang lain.

Bila modul latihan sudah siap dan diberikan restu oleh kepimpinan tertinggi parti, peringkat pertama latihan harus dimulakan diperingkat bawah atau akar umbi iaitu Bahagian dulu. Diperingkat inilah yang sangat perlu diberikan latihan untuk melahirkan generasi pelapis kepimpinan. Barulah esok pemimpinnya akan terdiri daripada mereka yang berkualiti tinggi.

Berkualiti tinggi bukan bermaksud berpelajaran tinggi sahaja. Ianya termasuk juga bermoral tinggi dan berminat kepada kepimpinan bercirikan agama. Supaya dengan itu tiada lagi usaha-usaha mengenepikan orang-orang agama daripada UMNO sepertimana yang sedang berlaku contohnya di tempat saya  Di tempat saya kesedaran dan semangat ini semakin berkurangan sekarang ini, bahkan kritikal. Bukan sahaja orang-orang agama diketepikan, bahkan ada yang ditolak dan program agama pun tidak mendapat sokongan oleh kepimpinan UMNO Bahagian. Pernah juga disekat dan dihalang.

Kelemahan dan kekurangan ini telah diambil kesempatan oleh PAS untuk mempamerkan betapa UMNO semakin jauh bezanya dengan mereka dari segi tanggungjawab dan komitmen terhadap agama.  Pada masa orang-orang UMNO bersukaria, orang-orang PAS pula senyap-senyap mengumpulkan anak-anak muda di satu tempat dengan program latihan atau perkaderan. Bila dicadangkan supaya agenda seperti ini diberikan perhatian untuk anak-anak muda, kepimpinan UMNO Bahagian senyap sahaja seribu bahasa.

Oleh itu saya menyokong penyerapan tokoh-tokoh agama ke dalam MT UMNO sepertimana yang telah dilakukan oleh YAB Dato’ Sri Presiden UMNO baru-baru ini. Sekurang-kurangnya UMNO ada juga perhatiannya terhadap agama dalam melahirkan generasi pelapis kepimpinannya. Dengan ini juga, diharapkan jurang identiti diantara UMNO dan PAS dapat dikurangkan untuk tujuan penyatupaduan orang-orang melayu melalui dua parti terbesar orang-orang melayu ini.

Jika sebaliknya, UMNO akan semakin jauh daripada PAS. Orang-orang melayu semakin ramai yang akan meninggalkan UMNO kerana menganggap UMNO sudah hilang asas pegangannya iaitu agama Islam. Tanpa agama di dalam jiwa, UMNO akan hanya bercakap sahaja tentang agama tetapi tidak memberikan sebarang kesan kerana tidak disusuli dengan tindakan yang sewajarnya. Moral mereka pun semakin jauh terpesong dan inilah sebenarnya penyebab utama maka orang-orang melayu semakin hari semakin membenci kepada UMNO.

Oleh
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
Penganalisis dan Pengkritik Bebas
Semerak

No comments:

Post a Comment