Saturday 21 December 2013

Semerak: UMNO Pertahan, PAS Tarik Semula



UMNO Mempertahankan Sokongan
PAS Menarik Semula

Dalam masa pemimpin dan penggerak UMNO masih meraikan kejayaan menawan kerusi DUN Semerak kerana belum lagi sampai setahun, pemimpin dan penggerak PAS sudah memulakan langkah-langkah untuk menawan semula kerusi DUN ini pada PRU14 nanti. Gerakerja telah disusun dan diaktifkan di semua peringkat terutamanya akar umbi. Dalam permainan bola pun, perlawanan timbal balas akan ditentang semula oleh pasukan yang kalah dengan bermati-matian. Banyak kes dimana pasukan yang kalah itu akan menang semula kecualilah pasukan itu betul-betul lemah dan ‘coach’nya tidak cukup profesional.

Menggunakan pengalaman yang ada sebagai ‘coach’ pasukan, Sdr Wan Hassan Wan Ibrahim yang dilantik sebagai Penyelia DUN Semerak selepas kalah dalam PRU13 yang lalu telah segera menggerakkan jentera parti seawal yang boleh dengan latihan yang bertubi-tubi. Mesyuarat demi mesyuarat telah diatur untuk berbincang bagi memenuhi tempuh masa yang ada dengan gerakerja untuk menarik semula sokongan pengundi. Sebab itulah pejabat penyelia DUN sentiasa hidup dengan orang ramai keluar masuk. Suasana seperti ini tidak berlaku di pihak UMNO dan BN seolah-olah mereka sudah berpuas hati atau ‘complacent’ dengan kemenangan yang dicapai baru-baru ini. Ditambah pula dengan majoriti yang agak besar. Oleh itu, tidak perlulah melakukan apa-apa lagi secara agresif diperingkat seawal ini.

Saya ada bertanyakan kepada Sdr Wan Hassan Wan Ibrahim samada beliau masih berminat untuk menjadi calon semula lagi pada PRU14 nanti. Beliau menjawab, itu bukan isu yang penting bagi PAS. Siapa yang menjadi calon terserahlah kepada keputusan yang akan diambil oleh pucuk kepimpinan parti setelah maklumbalas diterima daripada akar umbi parti di Semerak. Walaupun ditakdirkan beliau tidak menjadi calon dalam pilihanraya yang akan datang ini, beliau tidak kisah dan akan terus membantu calon lain.

Jawapan yang diberikannya sama sahaja jika kita bertanya kepada YB Cikgu Zawawi Othman ADUN Semerak yang telah menang menentang beliau itu. Beliau pun akan menjawab dengan cara yang sama juga.

Oleh itu, siapa yang akan menjadi calon setiap parti yang akan bertanding nanti tidak diambil kisah buat pada masa sekarang. Apa yang penting ialah memperbaiki semula sokongan. Dipihak UMNO dan BN, mereka pasti ingin mengekalkan atau menambah lagi sokongan dengan pelbagai cara dan program. Manakala dipihak PAS pula, mereka ingin menarik semula sokongan pengundi-pengundi kepada mereka.

Kerja mengekalkan sokongan bagi UMNO lebih mudah manakala menarik semula bagi PAS adalah sebaliknya. Satu penggal UMNO dan BN berkuasa di Semerak sudah tentu belum dapat menjejaskan sokongan pengundi jika momentum khidmat kepada masyarakat dipertingkatkan. Dalam masa yang sama, PAS pula terpaksa terlebih dahulu memperbaiki segala kelemahan yang ada yang telah menyebakan ianya kalah baru-baru ini. Isu-isu yang ada kaitan dengan hal ehwal urusan pemilikan tanah mithalnya, dilihat sebagai sesuatu yang sukar untuk ditangani sekali gus sukar juga menarik semula keyakinan pengundi terhadap PAS. Selain daripada isu ini, terdapat lain-lain isu yang tidak kurang juga sukar bagi PAS menyelesaikannya termasuk tiada apa yang ketara di Semerak dibawah PAS selain daripada lori-lori bijeh yang keluar masuk Tok Bali sehingga merosakkan jalanraya. Pembangunannya tidak bergerak termasuk pembinaan pelabuhan ‘PorTokBali’.

Kerja dan usaha PAS untuk menang semula bukan mudah di Semerak. Sdr Wan Hassan Wan Ibrahim dan saf kepimpinan utamanya di Semerak hendaklah terlebih dahulu mengubah sikap mereka iaitu sikap mengakui kelemahan dan kesilapan yang telah dilakukan sebelum ini yang telah menyebakan kekalahannya pada PRU13 yang lalu. Jika masih berfikir bahawa tiada kesilapan dan kelemahan yang berlaku dan masih menyalahkan pihak parti lawan apabila kalah dahulu itu, saya rasa usaha kearah kemenangan menjadi kabur. Tidak salah mengakui kelemahan dan kesilapan sendiri kerana pengakuan itu boleh membantu menarik semula sokongan dengan syarat kelemahan dan kesilapan yang telah dilakukan itu diperbetulkan semula.

Kelemahan dan kesilapan yang telah dilakukan sebelum ini tidak boleh ditinggalkan dan dilupakan begitu sahaja. Walaupun ianya tiada dalam rekod orang ramai, cerita mengenainya tetap diingati sampai bila-bila. Oleh itu pengakuan amatlah penting disusuli dengan tindakan memperbetulkan segala yang tersilap. Janganlah dibiarkan berpanjangan menjadi buah mulut orang ramai cerita-cerita seperti banyak tanah-tanah di lokasi starategik dalam kawasan Semerak dan Tok Bali sudah menjadi milik peribadi bekas wakil rakyat PAS secara ‘proxy’, bahkan ada yang sudah pun dijual kepada orang dari luar Semerak dengan harga yang mahal dan dengan itu beliau dianggap sebagai ‘jutawan politik’ sekelip mata hanya dengan sepenggal menjadi wakil rakyat. Apalagi jika dianggap tanah-tanah itu ‘dirampas’ secara halus. Walaupun ianya sah disisi undang-undang dan kanun tanah negara, orang ramai terutama mereka yang terlibat itu tetap menganggap bahawa ianya bertentangan dan melanggari hak dan adat pemilikan secara turun temurun.

UMNO dan BN sebenarnya bukan kuat di Semerak. Parti ini menang dulu pun adalah semata-mata diatas kelemahan yang ada pada pihak PAS. Sebab itu kita melihat ADUN Semerak telah membuat keputusan ‘lari’ ke DUN lain selepas menang untuk menjadi penyelaras walaupun ada orang lain yang layak di sana. Ini bermakna bahawa beliau berkemungkinan besar tidak akan bertanding di Semerak lagi pada PRU14 nanti kerana bimbang PAS akan memperbetulkan keadaan dan menarik semula sokongan pengundi terutamanya pengundi-pengundi PAS yang telah lari dalam PRU13 itu. 

Dalam politik, setiap pergerakan pemimpin mana-mana parti adalah penting. Segala apa yang diperkatakan dan dilakukannya, walau sekecil mana sekali pun ianya adalah penting dan bermaksud. Sebab itu sebagai penganalisis dan pengkritik bebas, saya sentiasa memberikan perhatian kepada setiap kata-kata ucapan dan gerak-geri pemimpin politik.

Bas tidak akan membawa penumpangnya jatuh ke dalam gaung jika pemandunya cermat memandu. Samalah juga dengan pemimpin politik dimana-mana peringkat sekali pun. Jika Sdr Wan Hassan Wan Ibrahim dianggap seperti pemandu bas yang telah membawa penumpang jatuh ke dalam gaung kerana tidak cermat memandu, maka beliau hendaklah mengakui kesilapan ini dan mengubah cara pemanduannya. Janganlah sekali-kali cuba menyalahkan jalanraya yang dibina itu atau kenderaan lain yang tidak terjun ke dalam gaung. Memang payah dan sangat pahit untuk mengakuinya tetapi itulah sahaja cara awal untuk memperbetulkan keadaan, justeru menarik balik sokongan pengundi-pengundi yang akan dipertahankan oleh pihak yang lain.

Oleh
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
Penganalisis dan Pengkritik Bebas
Semerak

No comments:

Post a Comment