Wednesday 11 December 2013

Janji Wakil Rakyat BN

Janji Wakil Rakyat BN Yang Belum Ditunaikan

Orang Semerak terutamanya nelayan-nelayan bot kecil tidak akan melupakan satu janji yang telah dibuat oleh wakil rakyat BN yang telah merampas kerusi DUN ini daripada PAS dalam PRU13 yang lalu. Janji yang dibuat ialah janji untuk membina sebuah jeti konkrit pendaratan ikan untuk kemudahan nelayan-nelayan ini mendaratkan hasil tangkapan mereka bagi menggantikan jeti kayu yang sudah uzur dan rosak. Sejak PRU13 pada 5hb Mei 2013 yang lalu mereka belum mendapat sebarang berita bila jeti baru ini akan dibina.

Mereka tidak kisah kalau wakil rakyat berjanji seperti ini contohnya, “ambo berjanji jika tuan-tuan undi BN dan BN pun menang, ambo akan dapatkan peruntukan kerajaan pusat untuk membina sebuah jeti yang baru untuk tuan-tuan. Tentang bila itu ambo takleh nak kata lebih-lebih lagi sekarang kerana semuanya bergantung pada kelulusan kerajaan pusat tetapi ambo akan berusaha sedaya upaya ambo untuk mendapatkannya dengan kadar segera bagi membantu tuan-tuan di sini”.

Yang menjadi masalahnya ialah, janji yang diberikan itu lebih kurang begini, “ambo berjanji akan membina selalu sebuah jeti baru untuk tuan-tuan jika BN menang”. Di Kelantan, perkataan ‘selalu’ itu bermaksud terus membina jeti ini sebaik sahaja BN menang. Itulah yang dikatakan oleh nelayan-nelayan kecil ini apabila wakil rakyat yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh ini berucap dalam satu majlis dihadapan orang ramai. Namun, sampai hari ini mereka belum mendapat sebarang maklumbalas daripada wakil rakyat ini baik secara langsung atau melalui pengerusi JKKKP mukim.

Mereka berkata, nelayan-nelayan kecil seperti mereka sudah tentu sangat-sangat mengharapkan jeti baru ini kerana ianya amat membantu mereka dalam kerja-kerja mendaratkan hasil tangkapan selain daripada dijadikan sebagai tempat ‘parking’ bot-bot mereka.

Undi mereka bagi memenangkan wakil rakyat BN tidak harus dianggap percuma dan dipandang ringan. Mereka tidak mahu orang lain menganggap mereka telah diperbodohkan dengan janji-janji manis . Mereka tidak mahu orang menganggap wakil ralyat BN yang menang pada kali ini sama sahaja dengan wakil rakyat terdahulu yang tidak mampu berbuat apa-apa untuk mereka.

Oleh itu, mereka berharap selepas musim tengkujuh ini, pembinaannya bermula. Jika sebaliknya, slogan ‘Tok Wakil Pelawok atau TWP’ akan dilabelkan oleh mereka kepada wakil rakyat BN Semerak ini. Selebihnya, mereka akan berpatah balik semula dengan memberikan undi mereka kepada calon parti lawan dalam PRU14 nanti.

Nasihat Khas saya kepada YB Cikgu Zawawi Othman ADUN Semerak merangkap Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh dan juga Pengerusi Pembangunan Pertanian Parlimen Pasir Puteh:

Datanglah segera berjumpa dengan nelayan-nelayan kecil yang terbabit ini untuk memberikan penerangan dan jaminan. Mereka hanya hendak tahu projek yang telah dijanjikan ini bila hendak dilaksanakan. Janganlah menghantar wakil kerana mereka hendak mendengar daripada mulut YB sendiri.

Itulah pesanan mereka kepada saya sambil meminta supaya saya memuatkan perkara ini ke dalam FB dan blog saya. Mereka kata blog saya sangat popular sehingga anak-anak mereka yang belajar di sekolah menengah pun selalu membacanya.

Saya kata insyaAllah saya akan cuba bantu dengan cara saya ini. Cara yang lain saya tidak boleh kerana saya bukan orang besar dalam parti.

Oleh
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
Penganalisis dan Pengkritik Bebas
Semerak

No comments:

Post a Comment