Tuesday 17 February 2015

Parti Ikatan Bangsa Malaysia atau IKATAN


Parti baru ini telah ditubuhkan dalam bulan Mac 2014 yang lalu. Pengasas dan presiden pertamanya ialah YBhg Tan Sri Datuk Seri Panglima Abdul Kadir Sheikh Fadzir. Semua orang kenal beliau kerana beliau merupakan diantara bekas-bekas menteri kabinet yang agak lama juga berkhidmat.

Parti ini belum lagi dilancarkan pada peringkat kebangsaan. Pada mulanya program pelancarannya hendak dibuat dalam bulan januari 2015 yang lalu tetapi telah ditunda kepada satu tarikh yang lain. Tarikh yang diura-urakan itu ialah pada penghujung bulan mac 2015 ini. Tidak pastilah saya samada tarikh yang ditunda ini akan ditunda lagi atau pun tidak.

Mengikut maklumat yang saya diberitahu, urusan perlantikan pengerusi-pengerusi perhubungan menghadapi masalah terutamanya di negeri-negeri Sabah dan Sarawak. Mungkin pada masa ini urusan perlantikan itu sudah selesai tetapi yang nyata perlantikan untuk negeri Kelantan belum lagi selesai. Ini disebabkan tiada tokoh yang berminat untuk menjawat jawatan itu di negeri Kelantan.

Walau bagaimana pun, perlantikan Setiausaha Kerja Pusat telah selesai apabila bekas Setiausaha Agung MAYC dilantik dan sudah pun memulakan tugasnya.

Sudah tentulah sebuah parti baru seperti ini menghadapi masalah untuk membariskan kepimpinannya baik diperingkat pusat mahu pun diperingkat negeri-negeri. Orang tidak tahu banyak tentang parti baru ini. Mereka hendak tahu siapa sebenarnya di belakang parti baru ini, jika ada, selain daripada halatuju dan matlamat politiknya. Pada mereka, jika ianya sebuah parti yang hanya diasaskan oleh seorang tokoh seperti YBhg Tan Sr Abdul Kadir ini, minat mereka tidak begitu tinggi untuk menyertainya. Sebaliknya, jika parti ini ada di belakangnya tokoh-tokoh tertentu yang lebih ternama, mungkin mereka akan memberikan pertimbangan untuk menyertainya. Sampai sekarang, persoalan ini belum lagi terjawab.

Parti ini sebenarnya bukan sebuah parti melayu seperti UMNO atau pun PAS. Parti ini ialah sebuah parti ‘multi-racial’ dimana siapa sahaja pun boleh menyertainya asalkan warganegara dan cukup umur. Sebab itulah tumpuan diberikan oleh presiden parti kepada negeri-negeri Sabah dan Sarawak. Oleh itu soal mengapa perlu ditubuhkan sebuah lagi parti melayu seperti yang banyak orang percakapkan itu tidak timbul. Parti ini bukan untuk orang-orang melayu sahaja tetapi untuk semua bangsa dan kaum.

Walau bagaimana pun, saya melihat perkembangan dan pembangunan parti ini sangat perlahan. Ianya dapat dilihat secara jelas apabila program pelancarannya pun masih belum dapat-dapat dilaksanakan lagi walaupun jarak tempuh penubuhannya sudah hampir setahun masanya. Inilah petanda pertama dan awal bahawa sambutan terhadap parti ini terlalu perlahan. Saya tidak tahu sebabnya mengapa program ini menjadi begitu lewat dan terbantut. Apa yang jelas bagi saya ialah barisan kepimpinan diperingkat pusat dan negeri dimahukan oleh presiden parti supaya orang-orangnya terdiri daripada kalangan tokoh-tokoh yang ada pengaruh dan kaya. Ini akan lebih memudahkan parti ini menarik orang ramai dan parti pun tidak ada masalah ‘menyara’ mereka.

Jika benar inilah ‘kriteria’ dan pra-syarat yang diletakkan sebagai asas utama dalam memilih barisan kepimpinan pusat dan negeri untuk parti ini, saya tidak yakin parti ini boleh melangkah jauh. Bukan mudah untuk mendapatkan orang-orang kaya supaya memimpin sebuah parti baru seperti ini kerana mereka akan berkata ‘buat apa susah-susah, aku sudah kaya’.

Kalau pun mereka ini berjaya dicari dan dilantik, kesedaran yang diperlukan keatas orang ramai supaya mereka menyertai parti baru ini tidak pula akan dapat ditanam apabila mereka melihat orang-orang yang memimpin semuanya terdiri daripada orang-orang kaya dan bergelar sahaja. Mereka akan berkata ‘parti ini untuk orang-orang kaya sahaja’.

Sepatutnya, parti ini tidak meletakkan asas ini pada peringkat awal seperti ini. Pilihlah siapa sahaja pun yang berminat tanpa perlu terlalu berhati-hati. Kalaulah orang itu ada pengalaman atau pengetahuan politik yang mencukupi dan latar belakang pendidikannya pun tinggi, apa salahnya jawatan-jawatan yang sesuai ditawarkan kepadanya jika orang itu berminat. Kadang-kadang bukan semua orang kaya boleh memimpin. Ramai juga yang miskin mempunyai keupayaan yang jauh lebih tinggi untuk memimpin berbanding dengan yang kaya kerana yang miskin ikhlas sedangkan yang kaya pada kebiasaannya sentiasa terdorong hendak menambahkan lagi kekayaannya.  

Yang perlu diambil sikap berhati-hati ialah halatuju parti ini. Inilah yang masih kabur dan tidak jelas bagi orang ramai. Jika ianya dilihat boleh memberikan kebaikan kepada rakyat dan negara, saya yakin sambutan dan sokongan akan tetap diberikan walaupun perlahan. Jika sebaliknya, ianya akan hanya dianggap sebagai sesuatu yang orang Kelantan biasa sebut ‘gelewak pintu gol’ yang bukan sahaja mengganggu bahkan tidak memberikan sebarang faedah kepada rakyat dan negara.

No comments:

Post a Comment