Saturday 8 August 2015

Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Malaysia - Edisi Khas


Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Malaysia atau ringkasnya PRCSWK ialah sebuah pertubuhan atau NGO. Ianya bukan sebuah parti politik namun ahli-ahlinya bebas dan tidak dihalang untuk bergiat aktif dalam mana-mana parti politik tanah air mengikut pilihan mereka.

Oleh kerana PRCSWK ialah sebuah pertubuhan dan NGO, maka dana atau tabung kewangannya boleh diisi dengan sebarang bentuk sumber seperti derma perseorangan atau korporat tanpa had tertakluk kepada perlembagaan pertubuhan dan undang-undang negara.

Sepertimana juga pertubuhan-pertubuhan NGO yang lain, PRCSWK mempunyai dasar, misi dan visinya tersendiri. Walaupun ianya ada mempunyai perkataan 'RAJA' pada namanya, namun ini tidak sekali-kali bermakna bahawa pertubuhan ini ingin memperjuangkan sesuatu yang ada kaitan dengan kesultanan melayu sehingga mengganggu gugat kedaulatan mana-mana raja atau sultan dalam negara ini.

Pertubuhan ini hanyalah sebuah pertubuhan biasa yang ingin mencari seramai mungkin ahli yang dikenalpasti ada hubungan salsilah dengan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang 1 yang pernah memerintah negeri Kelantan selaku pengasas dan pemerintah pertama suatu masa dahulu iatu dari tahun 1335 - 1345 Masihi atau kira-kira 680 tahun yang lalu. Pada masa itu negeri Kelantan disebut sebagai 'Serendah'.

Disebabkan inilah maka sebuah buku mengenai Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang dan sejarahnya sedang dalam peringkat akhir penyiapannya. Proses mengumpul data dan maklumat terperinci diketuai oleh YBhg. Prof. Datin Paduka Datuk Dr. Hajjah Ramlah Bt. Adam selaku Penasihat Khas pertubuhan. Beliau ialah Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja-Raja Melayu UNiMEP.

Selaku Yang DiPertua Pertubuhan pula, YBhg. (DR) Fadzillah Hussin memainkan peranan utamanya untuk memastikan supaya buku setebal 320 mukasurat ini dapat disiapkan dalam masa yang ditetapkan iaitu sebelum bulan Disember 2015 ini kerana pelancaran buku ini akan diadakan dalam bulan Disember 2015. Dijangka ianya akan dilancarkan di Istana Negara samada oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agung atau Duli YTM Baginda Raja Muda Perlis. Perbincangan sedang dalam proses untuk memohon perkenan Duli YTM Baginda Raja Muda Perlis menaungi pertubuhan ini dan belum diputuskan lagi.

Selain daripada YBhg. Prof. Datin Paduka Datuk Dr. Hajjah Ramlah Adam selaku Penasihat Khas, pertubuhan juga akan menawarkan perlantikan sebagai Penasihat Bersama kepada YBhg. Tan Sri Dr. Rais Yatim. Sudah tentulah dengan adanya kedua-dua tokoh ini, pertubuhan diyakini boleh mencapai kemantapan dan kemajuan yang dicita-citakan.

Ingin juga saya tegaskan di sini bagi pihak pertubuhan bahawa pertubuhan ini sangat menjunjung Perlembagaan Negara dan Institusi Raja Berperlembagaan. Disebabkan inilah maka apabila berlaku penghinaan terbuka terhadap mana-mana Raja dalam negara ini seperti yang telah berlaku baru-baru ini, pertubuhan telah dilihat agak terkedepan bangun membela dan mempertahankan kemuliaan institusi ini.

Buat pada masa ini, empat (4) Bahagian telah diwujudkan dalam pertubuhan ini dengan setiap Bahagian diketuai oleh seorang Penasihat. Bahagian-Bahagian itu ialah :

1. Bahagian Kerabat
2. Bahagian Nusantara / Hubungan Antarabangsa
3. Bahagian Perundangan atau Legal
4. Bahagian Pemantauan

Semoga dengan sedikit penerangan ini boleh juga mengelak dan mengenepikan sebarang tohmahan bahawa pertubuhan ini bergerak sesuka hati sahaja tanpa sebarang kawalan termasuk penggunaan 'Car Crest' pertubuhan sedangkan ianya sudah pun diluluskan oleh pihak berkuasa dan menepati peruntukan undang-undang. Oleh itu penggunaan 'Car Crest' pertubuhan ini adalah sah dan boleh digunakan oleh mana-mana ahli kehormat pertubuhan dan tidak sekali-kali bercanggah dengan mana-mana 'Car Crest' DiRaja yang lain.

Sekian.
Dari,
Dato Paduka Raja Wan Ab Malek Bin Wan Noh,
Penasihat Bahagian Pemantauan PRCSWK.

1 comment:

  1. Dato Wan Malek, berminat untuk ambil Tahu tentang persatuan ini... Sabah Ada cawangan?

    ReplyDelete