Saturday 30 May 2015

Kilang Simen Terbesar Asia Tenggara di Chiku 8, Gua Musang

Pada 27hb Mei 2015 satu majlis dialog telah diadakan diantara peneroka-peneroka FELDA Chiku 7 dan Majlis Daerah Gua Musang atau MDGM, Pejabat Tanah Gua Musang, Jabatan Alam Sekitar Negeri Kelantan, FELDA dan ASN iaitu Kilang Simen yang akan dibina di Chiku 8.
Majlis ini diadakan di perkarangan pejabat FELDA di Chiku 6 dari jam 10.00 pagi hingga 12.15 tengah hari.
Tapak kilang meliputi kawasan seluas 250 ekar manakala keseluruhan kawasan ialah seluas 1,500 ekar termasuk sebuah landasan kapal terbang.
Kos pembinaan keseluruhan kilang ini ialah RM1.35 bilion.
Tujuan utama dialog ini diadakan ialah untuk diberikan penerangan kepada peneroka-peneroka tentang jaminan pencemaran udara yang akan sentiasa dipantau dan dikawal oleh Jabatan Alam Sekitar atau JAS pada setiap masa.
Peneroka bertanya samada tanaman mereka yang berdekatan akan dibayar pampasan atau pun tidak kerana mereka yakin hasil akan terjejas akibat udara yang dicemari habuk. Pihak MDGM memberikan jawapan bahawa tiada bayaran pampasan kepada individu untuk tujuan itu tetapi peruntukan CSR boleh disalurkan secara tak langsung kepada peneroka untuk kerja-kerja pembangunan seperti membaiki masjid, dewan atau taman permainan.
Selain daripada soal pampasan, peneroka juga mahukan supaya diwujudkan satu jawatankuasa khas  dimana wakil dari peneroka dilantik kedalam jawatankuasa ini bagi tujuan memudahkan peneroka menyalurkan sebarang cadangan atau aduan. Ini memandangkan jumlah peneroka yang ada di sekitar kawasan ini ialah seramai 1,650 orang.
Malangnya permintaan ini tidak dapat ditunaikan.
Dengan itu peneroka hanya boleh mengemukakan sebarang cadangan atau aduan kepada wakil yang dilantik oleh kerajaan negeri sahaja.  
(komen peribadi saya : tidak mungkin jawatankuasa ini mengambil wakil peneroka kalau pun diwujudkan jawatankuasa khas ini kerana segala urusan pembinaan dan operasi kilang ini adalah dibawah kuasa kerajaan negeri. Tidak ada mana-mana pun Majlis Daerah dalam negeri Kelantan yang melantik ahlinya dari orang-orang UMNO atau orang yang tidak berparti kecuali ahli PAS sahaja)
Mengikut wakil MDGM, tapak kilang dan keselurahan kawasan yang terlibat adalah milik kekal MDGM. Oleh itu MDGM berhak mengambil tindakan keatas pihak kilang jika didapati berlaku apa-apa perlanggaran syarat perjanjian yang telah ditandatangani.




No comments:

Post a Comment