Friday 11 April 2014

Wan Hassan Wan Ibrahim dan Isu-Isu Terhadapnya


Sdr Wan Hassan Bin Wan Ibrahim, 57 ialah Penyelia PAS DUN Semerak dan juga bekas ADUN Semerak yang telah bertanding semula dalam PRU13 yang lalu tetapi kalah. Beliau dijangka akan bertanding sekali lagi untuk kali terakhir dalam misinya menawan semula kerusi DUN Semerak kecualilah kepimpinan parti menginginkan orang lain pula bertanding. Buat pada masa ini beliau masih dilihat sebagai calonnya lagi.

Disebabkan inilah maka beliau telah mengatur gerak langkah kerja-kerja parti diperingkat DUN seawal mungkin. Dalam keadaan dimana UMNO belum lagi bergerak secara agresif, beliau telah pun mengadakan banyak program-program yang berbentuk kepartian. Saban hari pejabatnya diaktifkan dengan kehadiran jentera-jentera parti dan program-program lazim parti dihidupkan seperti biasa.

Mungkin pihak parti lawan iaitu UMNO pun tahu dan dapat menghidu bahawa Sdr Wan Hassan berkemungkinan besar akan kembali bertanding lagi dalam PRU14 nanti dan mereka juga tahu bahawa kekuatan dan pengaruh Sdr Wan Hassan tidak boleh diperkecil-kecilkan, maka barangkali itulah cerita-cerita pun disebarkan mengenai dirinya.

Diantara cerita-cerita itu ialah bahawa semasa beliau menjadi wakil rakyat dahulu, banyak tanah-tanah kerajaan yang sudah lama digunapakai oleh kaum siam telah diproses menjadi hakmiliknya melalui proksi-proksi tertentu. Kaum siam ini kononnya telah lama membuat permohonan hakmilik tetapi tidak pernah mendapat pertimbangan dari pihak pejabat tanah kerana tidak disokong oleh beliau. Begitu juga dengan tanah kerajaan bersebelahan dengan Tadika Perpaduan Semerak yang juga telah dipindahmilik kepada proksi-proksinya. Sehari dua ini, timbul pula cerita bahawa padang awam bersebelahan Sek Keb Cherang Ruku telah juga dikatakan menjadi mangsa kerakusan beliau apabila tanah ini pun sudah menjadi hakmiliknya melalui kaedah yang sama. Sebab itulah dikatakan program Semarak Komuniti 1Malaysia dan Pelancaran Unit Komuniti Belia Rakan IT pada 11 Apr 2014 terpaksa dipindahkan ke padang Sek Men Cherang Ruku kerana beliau tidak membenarkan program itu diadakan di padang itu. Cerita yang terakhir ialah dua pintu daripada premis bangunan Majlis Daerah Pasir Puteh dimana terletaknya pejabat Penyelia PAS DUN Semerak telah menjadi hakmilik kekalnya kerana dikatakan beliau telah membeli premis ini dengan bayaran tunai kepada MDPP sewaktu beliau masih lagi menjadi wakil rakyat.

Kesemua tohmahan dan tuduhan diatas itu telah menjadi topik perbualan hangat dikalangan masyarakat Semerak terutamanya dikalangan orang-orang UMNO. Sudah tentulah jikalau tohmahan itu benar, Sdr Wan Hassan boleh dianggap sebagai pengkhianat dan melakukan pecah amanah terhadap masyarakat setempat melalui penyalahgunaan kuasa sebagai wakil rakyat.

Jika sebaliknya, beliau harus menafikannya kerana mengambil sikap mendiamkan diri akan memberikan gambaran bahawa segala tohmahan itu benar.

Itu mengenai tohmahan yang dilemparkan terhadap Penyelia PAS DUN Semerak. Biarlah beliau sendiri yang menjawabnya dalam siri-siri ceramah yang akan diadakan oleh partinya nanti. Perkara kedua yang ingin saya sentuh di sini ialah mengenai penyebar tohmahan ini. Saya dapati mereka adalah orang-orang UMNO yang merasa gerun dengan kebangkitan semula Sdr Wan Hassan. Saya berkata begini kerana orang-orang yang ‘membawa mulut’ itu adalah orang-orang yang memegang jawatan dalam parti UMNO, bukan ahli biasa atau penyokong sahaja. Mereka sahajalah yang merasa gerun terhadap Sdr Wan Hassan apabila mereka tahu bahawa kekalahan yang dialaminya dulu dalam PRU13 bukanlah semata-mata disebabkan oleh kelemahannya sendiri.  Mereka juga lupa bahawa kerja melemparkan tuduhan dengan sewenang-wenangnya terhadap tokoh dari parti lawan bukan sahaja sia-sia jika tidak dilengkapkan dengan bukti-bukti yang jelas dari hasil siasatan yang rapi dan kemas, malahan cara itu juga boleh membayangkan betapa tahap pemikiran dan sikap barisan kepimpinan parti UMNO diperingkat Bahagian itu sendiri pun berada pada tahap seperti budak-budak sekolah atau keanak-anakan.

Oleh itu, orang ramai terutamanya pengundi-pengundi DUN Semerak hendak mengetahui duduk perkaranya yang sebenar. Di pihak Sdr Wan Hassan, beliau hendaklah membuat penafiannya secara terbuka jika tohmahan itu tidak benar. Di pihak yang menuduh pula, mereka hendaklah menunjukkan buktinya yang sahih jika tohmahan itu benar.

Bila semuanya selesai, kedua-dua pihak hendaklah menjernihkan semula suasana politik di DUN Semerak. Carilah pula isu-isu politik lain yang munasabah untuk diperdebatkan, bukan lagi fitnah menfitnah diantara satu sama lain.

Saya sekadar mewakili orang ramai Semerak untuk mencari kebenaran.
inilah padang awam bersebelahan Sek Keb Cherang Ruku yang dikatakan sudah menjadi hakmilik Sdr Wan Hassan Wan Ibrahim itu

No comments:

Post a Comment