Monday 7 April 2014

Perpecahan Dalam Masyarakat Melayu Di Kelantan


Malaysia bangga dengan wujudnya perpaduan dikalangan berbilang kaum dalam negara. Para pemimpinnya sentiasa menunjuk-nunjukkannya kepada dunia luar bahawa suasana ini tidak berlaku di negara2 lain bahkan ada negara yang mempunyai bangsa yang sama tetapi tidak aman dan bercakaran. Mungkin disebabkan keamanan inilah maka banyaklah negara yang datang membantu kita apabila kita ditimpa masalah seperti kehilangan MH370. Kita patut bersyukur dengan keamanan ini.

Walau bagaimana pun, tiada siapa boleh menjamin bahawa keamanan yang dicapai ini boleh berkekalan. Apa sahaja yang bermula ada  penamatnya. Yang muda menjadi tua, yang baru menjadi buruk, yang gagah menjadi lemah, yang cantik menjadi huduh, yang kaya menjadi miskin dan yang aman menjadi huruhara dan hancur. Tiada apa yang kekal dalam dunia ini.

Pemimpin negara harus beringat tentang perkara ini. Jika lalai dan leka, tidak mustahil negara kita yang aman dan damai pada masa ini pun akan terjebak juga ke dalam kancah perpecahan dan permusuhan sehingga kepada tahap kritikal pada satu masa nanti. Pada masa itu, sudah tentu negara tidak lagi dihormati dan diketawakan oleh orang luar kerana kelalaian dan kealpaan pemimpinnya.

Pada masa ini, bangsa yang harus diberikan perhatian utama sudah tentulah bangsa melayu kerana bangsa inilah yang merupakan komponen utama dalam negara ini yang menjadi teras kepada bangsa-bangsa lain. Saya bukan bermaksud bahawa bangsa lain tidak penting dan menjadi penumpang sahaja. Saya berkata begitu adalah kerana sistem pemerintahan negara sendiri pun berasaskan kepada perlembagaan yang termaktub bahawa pemerintah tertinggi negara ialah seorang KDYMM Seri Paduka Yang DiPertuan Agong yang terdiri daripada orang melayu dengan semua negeri-negeri dikepalai oleh Raja-Raja dan YDP yang terdiri daripada orang-orang melayu juga. Saya berkata hanya kerana itu dan tidak lebih dari itu. Perlembagaan ini kekal begitu kecualilah orang-orang melayu terhapus dari bumi negara ini.

Apabila kita bercakap tentang kewujudan orang melayu dalam negara ini, sudah tentu negeri Kelantanlah yang mempunyai majoriti bangsa ini. Negeri Kelantanlah contoh terbaik berbanding dengan negeri-negeri lain jika orang hendak melihat bangsa melayu sejati. Walau pun UMNO yang merupakan sebuah parti terbesar orang-orang melayu tumbuh di negeri Johor, namun Kelantan tetap menjadi negeri yang mempunyai paling ramai orang-orang melayu. Tanpa orang-orang melayu Kelantan menyokong UMNO, saya yakin parti ini sudah lama lemah bahkan hilang.

Sayangnya, orang-orang melayu Kelantan sendiri pun sudah lama berada didalam perpecahan sesama sendiri. Ini semata-mata diakibatkan oleh permainan politik oleh kedua-dua pihak dua parti terbesar orang-orang melayu iaitu UMNO dan PAS. Mereka masih asyik dengan agenda masing-masing hanya untuk memenangi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Mereka lupa bahawa yang kukuh akan menjadi lemah jika kekukuhan yang ada tidak sama-sama dijagai. Tiada mana-mana pertubuhan NGO yang mampu menyatupadukan orang-orang melayu secara keseluruhan termasuk PERKASA kerana badan ini pun mempunyai agendanya yang tersendiri secara berasingan, bukan menumpukan kearaha tujuan itu.

Kerajaan pusat melalui JPP menggunakan jenteranya di kampong-kampong untuk tujuan politik mereka sementara kerajaan negeri melalui Majlis Daerahnya menggunakan jentera di kampong-kampong untuk tujuan yang sama. Di sebelah pusat ada Pengerusi JKKKP dan Pentadbir Mukimnya sementara dipihak negeri pula ada Penghulu dan Penggawanya. JKKKP memainkan peranan mereka seolah-olah negeri ini kepunyaan mereka dan beranggapan seperti ianya dibawah kuasa pusat iaitu BN. Manakala Penghulu negeri pula memainkan peranan mereka hanya semata-mata kerana sememangnya negeri ini dibawah pemerintahan PAS.

Setipa hari kedua-dua puak ini berlumba-lumba mencari dan ‘mencuri’ pengaruh untuk menguatkan cengkaman masing-masing. Berbagai-bagai caralah dilakukan. Bagi UMNO dan JKKKP, apa sahaja yang berada dibawah kerajaan pusat, mereka akan pastikan bahawa orang-orang mereka sahaja yang menguasainya. Contoh terkini ialah PDK dan PIBG. Manakala bagi PAS dan Penghulu-Penghulunya pula, apa sahaja yang berada dibawah kerajaan negeri, perkara yang sama juga dilakukan.

Saya tidak dapat hendak pastikan apa yang akan berlaku ‘at the end of the day’ nanti jika suasana perpecahan ini dibiarkan. Mungkin kekal aman sepertimana sekarang atau pun sebaliknya. Hanya orang-orang yang belajar ilmu ‘actuarial science’ sahaja boleh meramalkannya.

Jika orang-orang Kelantan sendiri boleh menjaminnya, saya pun tidak payah risaukan apa-apa terhadap nasib anak-anak cucu saya. Saya mengharapkan sekurang-kurangnya mereka ada rumah dan tanah sendiri untuk menetap di negeri ini. Yang lain mereka boleh usahakan sendiri.

Jika demikianlah keadaannya, teruskanlah usaha politik masing-masing secara harmoni. Janganlah berbalah tetapi hormatilah orang lain kerana itu juga demokrasi. Apa sahaja yang dilakukan oleh mana-mana pihak hendaklah dianggap sebagai kerja biasa kerana setiap pihak ingin mencapai kemenangan. Kempen hendaklah seimbang. Jika UMNO berkempen, sudah tentulah PAS pun akan menyainginya. Buatlah kerja masing-masing secara berhemah dan janganlah sombong dan angkuh terhadap pihak yang lain.

Sebab itu saya mengambil sikap memuji pihak PAS Semerak yang telah awal-awal memulakan siri kerjanya dalam misi menawan semula kerusi DUN Semerak. Jika awal-awal dijalankan, sudah tentulah apabila tiba musim pilihanraya, jentera pun tidak menjadi kelam kabut kerana kesuntukan masa yang boleh juga mengakibatkan pertelingkahan dan perbalahan dengan pihak yang lain kerana perebutan pengundi.

Tidak seperti UMNO yang masih belum bangun tidur kerana memenangi kerusi DUN ini.

(Timbalan Speaker DUN Kelantan, YB Mohd Zaki Ibrahim sedang berucap sebagai tetamu undangan dalam program parti PAS Semerak di Dewan Kompleks Penggawa Semerak pada 7 April 2014)

No comments:

Post a Comment