Thursday 24 April 2014

PERKASA dan Penyatuan Orang-Orang Melayu Secara Keseluruhan

Apabila kita melihat kepada PERKASA kita akan nampak ianya sebagai pertubuhan atau NGO besar orang-orang melayu yang memperjuangkan hak-hak dan keistimewaan orang-orang melayu serta agama Islam. Sebab itulah agenda utamanya ialah mempertahankan institusi raja dan perlembagaan.

Ini dilihat secara jelas bukan oleh orang-orang melayu sahaja bahkan orang-orang cina dan india pun sudah tahu dan faham akan kewujudan dan perjuangannya. Namun mereka tidak begitu mempedulikannya kerana kesan perjuangannya tidak pun mengganggu mereka. Bagi mereka ada dan tidak ada PERKASA sama sahaja.

Kalaulah bangsa-bangsa lain ini merasa begitu, sudah tentulah orang-orang melayu sendiri pun lebih-lebih lagi sebenarnya. Orang-orang melayu tidak merasa bahawa kewujudan PERKASA boleh mempertahankan hak mereka. Apalagi untuk mempertahankan kesucian  agama Islam. Mereka tetap juga berada didalam keadaan berpecah belah seperti biasa dan masing-masing tetap  juga menyalurkan sokongan mereka secara berasingan melalui dua parti terbesar orang-orang melayu iaitu UMNO dan PAS. Selama ini pun sudah begitu seadanya.

PERKASA sepatutnya membuat perubahan ketara dari segi matlamat asas perjuangannya. Bukan membicarakan tentang isu mempertahankan hak-hak dan keistimewaan orang-orang melayu sahaja tetapi mempertahankan sesuatu yang lebih penting dari itu. Yang lebih penting itulah asas kepada matlamat untuk mencapai hasrat akhir yang diidam-idamkan iaitu mempertahankan hak-hak dan keistimewaan orang-orang melayu serta agama Islam.

Bagaimana mungkin untuk mencapai hasrat itu jika orang-orang melayu sendiri masih berpecah dan tidak bersatu? Bagaimana PERKASA hendak mencapai cita-citanya jika hanya segolongan sahaja orang-orang melayu yang menyokong dan menganggotainya?

Sudah lama saya cadangkan supaya PERKASA mula mengambil langkah drastik supaya keanggotaan pertubuhan ini dibuka seluas-luasnya kepada semua orang-orang melayu tanpa mengambilkira latar belakang pegangan politik mereka. Ini adalah kerana 90% ahli-ahlinya adalah orang-orang UMNO walaupun pada asal penubuhannya tidak pernah ditetapkan bahawa hanya orang-orang UMNO sahaja yang diberikan galakan untuk menyertainya. Disebabkan itulah, maka sampai sekarang PERKASA dilihat dan dianggap sebagai tidak berperanan seperti NGO tulen tetapi sebuah NGO yang ada kepentingan untuk parti UMNO sahaja. Di tempat saya contohnya, jarang orang-orang PAS yang berminat kepada PERKASA kerana kata mereka, PERKASA untuk orang-orang UMNO.

Jika saranan dan cadangan saya ini diberikan perhatian dan pertimbangan, sudah tentulah kepimpinan PERKASA mahu pula tahu bagaimana caranya. Caranya bukan payah dan bukan susah. Wujudkan sahaja apa-apa jawatan kanan yang baru dan sesuai diperingkat kepimpinan pusat dan tawarkanlah jawatan-jawatan ini kepada mana-mana pemimpin kanan parti PAS secara lantikan terus. Dengan cara ini sahaja barulah semua ahli-ahli PAS boleh meyakinkan diri mereka bahawa PERKASA bukan hanya untuk orang-orang UMNO sahaja kerana pemimpin-pemimpin mereka sendiri pun ada di atas.

Apabila ini sudah dicapai, langkah kedua ialah meramaikan ahli-ahli PAS untuk menyertai PERKASA. Saya penuh yakin matlamat untuk meramaikan keanggotaaan dengan pertambahan ahli dari orang-orang PAS tidak lagi menjadi rumit dan sulit. Sudah tentu pemimpin-pemimpin mereka ini mampu memberikan gambaran baru bahawa PERKASA pun untuk orang-orang PAS juga.

Langkah ketiga ialah memainkan peranan kearah penyatuan dua parti terbesar orang-orang melayu iaitu UMNO dan PAS itu. Peranan ini sudah tentu akan menjadi lebih mudah dan berkesan jika kedua-dua langkah terdahulu itu sudah dicapai.

Langkah keempat dan terakhir ialah kerja-kerja mempertahankan hak-hak dan keistimewaan orang-orang melayu serta agama Islam sepertimana yang termaktub di dalam perlembagaan PERKASA. Bukankah apabila perkara yang susah menjadi mudah jika dilakukan secara pakatan beramai-ramai dan bersatu hati?

Sarang lebah atau tebuan tidak dibina hanya oleh beberapa ekor lebah atau tebuan sahaja.

No comments:

Post a Comment