Tuesday 22 April 2014

PDK Semerak

Pada 20hb April 2014 yang baru lalu PDK Semerak telah mencatat satu sejarah dalam kalendar aktivitinya apabila satu gerakerja gotong royong membersih kawasan PDK diadakan diantara AJK bersama ibubapa pelatih-pelatih OKU. Saya kurang pasti samada program seperti ini pernah diadakan sebelum ini atau pun tidak.

AJK ini ialah barisan yang baru dipilih untuk sesi 2014/2016 dalam satu mesyuarat khas tahunan yang telah diadakan pada 1hb April 2014 dengan diketuai oleh Pengerusi yang baru iaitu Puan Wan Marzida Bt Dato’ Hj Wan Omar menggantikan En. Wan Hassan Bin Wan Ibrahim. Pada hari mesyuarat itu tiga (3) orang pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat Pasir Puteh telah hadir sama sebagai penyelaras. 

Program pertama gotong royong itu sangat berjaya. Hampir kesemua AJK hadir disertai oleh dua (2) orang pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Pasir Puteh dan juga seorang jemputan khas. Persekitaran PDK yang kotor dengan sampah sarap dan semak samun telah dibersihkan beramai-ramai. Pagarnya juga telah dicat baru dengan warna rasmi PDK iaitu ungu. Sudah tentulah keadaan persekitaran yang bersih menjadi suatu keperluan dan kewajipan semua orang selaras dengan seruan pihak Jabatan Kesihatan. Ianya membolehkan suasana ini dinikmati juga oleh pelatih-pelatih PDK ini walaupun mereka tidak tahu apa-apa.

Diharap permulaan yang baik ini dapat diteruskan dari masa kesemasa. Melalui program seperti ini, hubungan rapat sesama ibubapa dapat disuburkan dan kerjanya juga menjadi lebih mudah apabila dilakukan secara beramai-ramai.  Selain daripada itu kesempatan juga boleh diperolehi untuk mereka yang ingin menyalurkan sumbangan secara ikhlas seperti barangan atau pun derma dalam bentuk wang ringgit.

Melalui blog saya ini, saya ingin merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua pihak yang menjayakan program gotong royong tempuh hari itu. Ucapan terima kasih bagi pihak semua ibubapa pelatih-pelatih khas saya tujukan kepada pegawai-pegawai jabatan Kebajikan Masyarakat Pasir Puteh yang telah turut hadir sama. Begitu juga kepada Tuan Hj Zamri yang telah juga hadir bagi meraikan program dan tahniah diatas perlantikannya selaku Pengerusi Biro Kebajikan PDK Semerak.

Semoga AJK dan petugas-petugas PDK dibawah kepimpinan Puan Wan Marzida terus melangkah kearah pencapaian yang lebih berjaya demi kebajikan pelatih-pelatih PDK Semerak. 

No comments:

Post a Comment