Saturday 26 September 2015

Tun Dr M Menulis

BACA DENGAN HATI TERBUKA DAN TENANGKAN FIKIRAN....
KENAPA NAJIB PERLU MELETAK JAWATAN SEGERA-Dr. Mahathir Mohamad
1. Saya telah bekerja keras untuk menjadikan Najib Perdana Menteri Malaysia.
2. Tetapi sekarang saya mahu dia disingkirkan, meletak jawatan daripada menjadi Perdana Menteri.
3. Ia bukan hal peribadi.
4. Ia adalah kerana dia telah gagal teruk sebagai Perdana Menteri.
5. Daripada awal lagi saya perhatikan perkara-perkara salah yang dia lakukan.
6. Kita telah merdeka semenjak 1957. Kita sepatutnya dapat mentadbir negara kita sendiri. Sesungguhnya kita telah pun berbuat demikian selama beberapa dekad sebelum Najib, dan kita telah melakukannya dengan cemerlang.
7. Tetapi Najib melantik beberapa pegawai British sebagai penasihatnya.
8. Najib telah melantik ramai perunding asing untuk menasihatinya bagaimana mentadbir negara.
9. Orang-orang ini melibatkan kos berbilion-bilion ringgit tetapi nasihat mereka secara amnya tidak baik untuk negara ini. Mereka tidak tahu apa-apa tentang politik, ekonomi dan sensitivi Malaysia. Akibatnya pembangunan Malaysia lembab dan bangsa-bangsa berada dalam keadaan menentang satu sama lain.
10. Kerajaan di bawah pimpinan Najib menjadi sangat tidak popular. Walaupun memberi banyak wang kepada rakyat, mereka menolak beliau dalam Pilihan Raya 2013. Prestasi beliau lebih buruk daripada Abdullah, yang juga telah ditolak oleh rakyat. Orang Cina menolaknya sama sekali walaupun beliau mengisytiharkan dirinya sebagai saudara mereka.
11. Dia menimbulkan kemarahan kakitangan awam dengan menubuhkan Pemandu untuk mengambil alih tugas EPU. Kakitangan Pemandu yang bukannya pegawai Kerajaan telah dibayar gaji yang tinggi, jauh lebih tinggi mengatasi Skim Gaji Kerajaan. Begitu marah, sebilangan pejawat awam sebaik sahaja bersara mereka telah menyertai parti pembangkang dan bertanding sebagai calon pembangkang, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
12. Pertumbuhan ekonomi jatuh di bawah paras pertumbuhan ekonomi Filipina dan Indonesia.
13. Mata wang telah susut dan harga saham susut dengan teruk mengakibatkan masalah untuk perniagaan, pengimport dan pengeksport. Kos sara hidup meningkat terutama selepas GST.
14. Kemudian datangnya pula skandal 1MDB. Suatu dana yang sama sekali tidak perlu telah diwujudkan yang akan dibiayai oleh pinjaman yang besar. Kerajaan telah memberi satu juta Ringgit sebagai modal tetapi 1MDB (1Malaysia Development Berhad) telah meminjam 42 bilion Ringgit daripada pasaran. Ia membayar faedah yang tinggi sebanyak 5.9% dan memberikan komisen 10% kepada Goldman Sachs. Kerajaan tidak pernah meminjam begitu banyak atau membayar kadar yang begitu tinggi itu.
15. 1MDB membeli loji kuasa elektrik pada harga lebih tinggi daripada harga pasaran. Ia juga membeli/mengambilalih hutang piutang syarikat-syarikat janakuasa. Jumlah kos adalah 18 bilion Ringgit. 1MDB kehilangan begitu banyak wang sehingga ia tidak boleh membayar faedah ke atas pinjaman.
16. 1MDB membeli tanah Kerajaan pada 60 Ringgit kaki persegi sedangkan harga sebenarnya adalah lebih daripada RM3,000 kaki persegi. Dengan menilai semula tanah itu sebanyak 50 kali ganda, ia mendakwa asetnya adalah lebih besar daripada hutangnya. Ini adalah seperti menjual permit import yang didapati secara percuma daripada Kerajaan.
17. Kemudian 1MDB telah menyertai perniagaan yang mencurigakan dengan Petro Saudi sebagai rakan usaha sama. Ia membayar USD1 Bilion bagi saham 40 peratus miliknya itu. Enam bulan kemudian usaha sama ini telah dibubarkan. Akan tetapi USD1 Bilion itu bersama dengan USD700 juta yang lain telah ditukar menjadi pinjaman kepada Petro Saudi. Wang ini kini telah lesap.
18. Satu-satunya aset yang dipunyai oleh 1MDB sekarang adalah loji kuasa dan tanah di Kuala Lumpur. Lebih daripada RM20 Bilion daripada 42 Bilion ringgit itu tidak dapat dikesan atau dihitung.
19. Kemudian tiba-tiba Wall Street Journal melaporkan bahawa Najib mempunyai USD700 juta dalam akaun peribadinya di Bank Arab-Malaysia (bersamaan RM2.6 bilion pada masa itu).
20. Tidak ada PM Malaysia atau Presiden UMNO yang boleh mempunyai wang sebanyak itu. Semua sumbangan kepada UMNO biasanya diterima dan dibankkan oleh Bendahari UMNO. Semua aset diletakkan di bawah nama tiga pemegang amanah.
21. Tidak pernah dalam sejarah UMNO terdapat lebih daripada RM250 juta secara tunai. Semua aset lain adalah dalam bentuk saham, tanah dan bangunan. Presiden adalah bertanggungjawab untuk menyerahkan semua sumbangan kepada Bendahari untuk perbankan. Presiden tidak pernah menyimpan wang UMNO atau wang didermakan kepada UMNO, untuk pilihan raya misalnya, di dalam akaun peribadinya. Tiada peruntukan untuk akaun UMNO dikendalikan oleh Presiden.
22. Najib dan isterinya terkenal dengan gaya hidup yang mewah. Jelas sekali jutaan telah dibelanjakan untuk pertunangan dan pelbagai majlis perkahwinan di Malaysia dan Kazakhstan. Anak tiri Najib membelanjakan ratusan juta dolar membeli hartanah di London, New York dan California. Beliau juga membiayai pembikinan filem Hollywood, “The Wolf of Wall Street” dengan perbelanjaan melebihi USD100 juta.
23. Dengan gaji Najib sebagai Perdana Menteri, adalah mustahil baginya untuk membelanjakan jutaan ringgit bagi semua ini. Ada satu kenyataan oleh PMO yang mendakwa bahawa wang bagi harta-harta luar negara dan filem itu telah diwarisi. Adalah mustahil bagi Tun Razak, atau Haji Noah atau bapa Rosmah untuk memiliki dan mewariskan ratusan juta Ringgit. Malah mereka tidak dikenali sebagai jutawan pun. Adik beradik Najib menafikan dakwaan itu.
24. Jadi dari mana datangnya wang itu? Najib mendakwa 2.6 bilion Ringgit itu telah didermakan kepadanya oleh seorang Arab. Ini tidak masuk akal. Tiada siapa yang pernah memberikan wang sebanyak itu kepada sesiapa. Dan Najib tidak dapat membuktikan bahawa orang Arab itu telah memberinya wang.
25. Dan dengan itu sebuah pasukan petugas khas yang terdiri daripada Peguam Negara, Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah, Gabenor Bank Negara dan Ketua Polis Negara telah ditubuhkan untuk menyiasat punca RM2.6 bilion berada dalam akaun peribadi Najib di Bank Arab-Malaysia.
26. Jawatankuasa Kira-Kira Dewan Rakyat juga sedang menyiasat apa yang berlaku kepada RM 42 bilion Ringgit yang dipinjam oleh 1MDB. Begitu juga Ketua Audit Negara.
27. Tiba-tiba Najib memecat Peguam Negara dengan mendakwa dia sakit. Peguam Negara menafikan beliau sakit. Tidak ada sijil oleh doktor membuktikan dia sakit. Najib tidak mempunyai hak untuk mendakwa bahawa Peguam Negara sedang sakit.
28. Pada masa yang sama, ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dikatakan telah pergi bercuti. Gabenor Bank Negara membisu. Kemudian dia menyatakan dia takut ditangkap.
29. Dua daripada ahli-ahli Kerajaan PAC dilantik Timbalan Menteri dan dua lagi diberi pekerjaan lain. Mereka tidak dapat meneruskan kerja-kerja mereka sebagai ahli PAC. PAC adalah tanpa seorang Pengerusi dan siasatan 1MDB telah berhenti.
30. Dua anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah telah ditangkap, dibebaskan dan dipindahkan ke Pejabat Perdana Menteri. Selepas komplen dibuat mereka telah dipindahkan semula ke Suruhanjaya.
31. Penolong Ketua Cawangan Khas telah dipindahkan keluar. Beliau kemudian membuat kenyataan yang keras terhadap pemindahannya.
32. Orang yang bercakap mengenai 1MDB dan 2.6 bilion ringgit dalam akaun Najib, atau melaporkan mengenainya telah ditangkap, pasport mereka dirampas dan diancam oleh polis dengan soal siasat. Ianya seolah-olah sebarang soalan mengenai 1MDB dan Najib 2.6 bilion merupakan tindakan untuk melemahkan demokrasi dan menjatuhkan Kerajaan yang dipilih dengan betul. Orang boleh ditahan sehingga 28 hari tanpa perbicaraan di bawah undang-undang baru yang bertujuan untuk mencegah tindakan keganasan. Bercakap tentang 1MDB dan RM2.6 bilion kepunyaan Najib seolah-olah merupakan tindakan keganasan. Najib lupa bahawa beliau sendiri terlibat dalam penyingkiran pemimpin terdahulu yang juga dipilih secara demokrasi.
33. Kemudian datangnya sesuatu yang menggemparkan. Al Jazeera menayangkan kisah pembunuhan gadis Mongolia Altantuya. Adalah jelas daripada kisah itu bahawa Najib mempunyai kaitan dengan pembunuhan itu.
34. Ramai rakyat Malaysia tidak mahu mempercayainya. Tetapi orang di seluruh dunia mempercayai cerita itu. Ia telah menjadi satu skandal antarabangsa. Ia telah memalukan Malaysia. Di mana-mana sahaja sesiapa pergi, ada yang bertanya, “Apa yang telah berlaku kepada Malaysia”.
35. Di antara 1MDB, 2.6 bilion ringgit dalam akaun peribadi Najib dan pembunuhan Altantuya, nama baik Malaysia benar-benar rosak. Tidak pernah sebelum ini, Malaysia menjadi begitu hina oleh Perdana Menterinya sendiri. Tidak pernah orang memandang rendah negara ini. Tidak pernah sebelum ini rakyat Malaysia begitu malu dengan negara mereka.
36. Najib telah membayar orang untuk menunjuk perasaan di jalan-jalan untuk menyokong beliau. Dengan sewenangnya beliau juga mengharamkan usaha orang-orang tunjuk perasaan bagi memecatnya.
37. Untuk mata wang dan ekonomi pulih, Najib mesti berhenti menjadi Perdana Menteri Malaysia. Rakyat Malaysia mesti menuntut penyingkiran Najib. Ianya sesuatu yang amat demokratik untuk menuntut penyingkiran beliau. Tindakan yang diambil beliau untuk menahan seseorang untuk mengadakan perhimpunan untuk menuntut penyingkiran beliau adalah apa yang tidak demokratik dan bercanggah dengan undang-undang negara ini.
38. Saya menyeru semua rakyat Malaysia untuk menuntut Najib membenarkan siasatan terhadapnya yang akan dijalankan oleh orang-orang bebas yang tidak dilantik olehnya. Najib mesti membenarkan proses undang-undang berjalan. Jika didapati bahawa dia telah melakukan kesalahan dia perlu didesak untuk
meletakkan jawatan.
39. Hanya dengan pengundurannya sebagai Perdana Menteri Malaysia barulah ekonomi akan pulih, nilai ringgit akan meningkat, dan kos sara hidup akan turun. Hanya selepas penyingkirannya rakyat Malaysia akan mampu berdiri semula.
http://chedet.cc/?p=1872

No comments:

Post a Comment