Sunday 17 November 2013

Wakil Rakyat Baru dan PDK

Bagi saya diantara perkara penting sebagai rakyat biasa ialah melihat perubahan yang dilakukan di kawasan saya apabila BN berjaya memenangi kerusi DUN. Jika pun, wakil rakyat terdahulu ada melakukan apa-apa kejayaan, kejayaan itu harus disambung dengan lebih jayanya lagi jika seseorang yang lain pula yang menjadi wakil rakyat.

Di DUN Semerak saya terlibat secara langsung dalam memajukan PDK atau Pusat Pemulihan Dalam Komuniti tetapi sekadar sebagai orang di belakang sahaja bukan pemimpin. Yang memimpin sebagai Pengerusi sebelum ini ialah Sdr Wan Hassan Wan Ibrahim, bekas wakil rakyat PAS Semerak. Beliau masih lagi memegangnya sehinggalah mesyuarat agong yang dijangka akan dijalankan dalam bulan Disember depan ini. Jika ada orang yang berminat untuk mengambilalih jawatan ini daripadanya, maka pertandingan akan berlangsung. Siapa menang siapa kalah akan ditentukan oleh ibubapa pelajar-pelajar PDK ini. Setakat ini saya belum mendengar ada sesiapa yang berminat.

Walau apa pun, saya teringat kepada kata-kata YBhg. Dato' Pahamin A. Rajab, bekas KSU dan bekas Pengerusi AirAsia. Beliau berkata bahawa setiap orang sepatutnya memegang sesuatu jawatan utama hanya untuk tempuh maksima 5 tahun sahaja. Katanya, itulah tempuh dimana seseorang ketua atau pemimpin boleh melakukan sesuatu yang berkesan kerana jika lebih dari tempuh itu, seseorang itu akan kehabisan modal pemikirannya. Sebab itu katanya lagi, setiap jabatan kerajaan ketuanya selalu ditukar ganti dan jarang yang duduk di satu tempat tidak bergerak kemana-mana melebihi 5 tahun.

Begitu jugalah agaknya dengan kepimpinan PDK. Pengerusinya mungkin lebih baik diambilalih oleh orang lain pula jika teori YBhg Dato' Pahamin itu betul. Walau apa pun, ianya tiada kena mengena dengan pendirian peribadi orang yang memegangnya pada masa ini. Jasanya banyak dan besar selama ini bahkan beliau pernah menjanjikan sebidang tanah milik kerajaan negeri untuk dijadikan tapak bangunan PDK jika ada mana-mana pihak sanggup membiayai kos pembinaannya. Disebabkan itulah, maka saya telah mencadangkan dalam satu mesyuarat AJK baru-baru ini supaya sejumlah peruntukan dipohon melalui wakil rakyat yang baru. Jika peruntukan ini berjaya diperolehi dan tapak itu pun diluluskan, itulah kemajuan yang dicapai oleh PDK Semerak. Kedua-duanya saling perlu memerlukan. Disatu pihak mengadakan tapak manakala pihak yang lain mengadakan peruntukan.

Apa pun, saya tidak boleh berkata apa-apa jika pihak ibubapa membuat keputusan untuk menggantikan orang lain pula sebagai Pengerusi. Mereka ada hak dan terpulanglah kepada kebijaksanaan mereka untuk membuat pilihan. Jika ada orang yang berminat untuk mengambilalih, maka akan berlakulah pertandingan kecuali Pengerusi sedia ada memberikan laluan secara terhormat.

Saya secara peribadi menyokong tindakan memberikan laluan selaras dengan teori YBhg Dato' Pahamin kerana Pengerusi sedia ada sudah melebihi 5 tahun memegang jawatan ini.




No comments:

Post a Comment