Saturday 31 March 2012

MD 47

MyDiary (47)
1 April 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)

Kempen menjelang PRU13 semakin hari semakin rancak. Baik parti UMNO mahu pun PAS. Saya hanya ingin memperkatakan sesuatu tentang kempen parti saya, iaitu UMNO.

Saya melihat terdapat beberapa kaedah kempen yang telah dan sedang dilakukan. Diperingkat parti, ianya dilakukan dengan memenuhi program-program parti sepertimana yang dijadualkan. Ini merupakan kaedah konvensional dan perlu diperluaskan lagi.

Yang menarik perhatian saya ialah kempen yang dilakukan oleh individu-individu tertentu. Mereka ini sanggup mengeluarkan wang sendiri dengan mengadakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan. Contohnya, derma PIBG, perjumpaan mesra, aktiviti sukan, belia, kebudayaan dan lain-lain.

Di parlimen Pasir Puteh, terdapat beberapa individu yang telah menjalankan aktiviti ini sejak beberapa bulan yang lepas. Mereka tinggal dan berniaga di Kuala Lumpur tetapi pulang ke tempat asal mereka iaitu Pasir Puteh seminggu sekali untuk tujuan itu. Kadang-kadang pulangnya dengan memandu sendiri kenderaannya, kadang-kadang dengan kapal terbang.

Mereka asyik berkata bahawa mereka melakukannya bukan untuk menjadi calon pilihanraya, bahkan sentiasa menafikannya bila ditanya. Mereka berkata bahawa mereka sekadar ingin membantu UMNO Bahagian Pasir Puteh memenangi PRU13 sahaja tetapi tidak pernah memberitahu secara serious bahawa mereka akan betul-betul ‘menolak’ tawaran jika namanya dicalonkan nanti.

Saya sebenarnya menganggap perlumbaan menabur bakti kepada masyarakat sebagai sesuatu yang sangat baik oleh mereka yang berkemampuan ini. Walau bagaimana pun, saya tidak melihat mereka berbuat itu tiada kaitan langsung niatnya untuk diri mereka sendiri juga. Saya tetap menganggap sesiapa sahaja yang melakukan aktiviti kemasyarakatan melalui mana-mana parti politik sebagai tetap bermotifkan untuk dirinya sendiri juga. Jika tidak, mereka sudah tentu akan lakukannya melalui kaedah atau platform lain yang tiada kena mengena dengan mana-mana parti politik. Namun, saya juga tidak menganggap ianya salah.

Yang salahnya ialah, aktiviti-aktiviti itu tidak benar-benar diberikan tumpuan kepada kumpulan sasar yang sebenar. Mereka mengeluarkan banyak wang sendiri dengan mengadakan aktiviti-aktiviti yang melibatkan orang ramai secara massa semata-mata untuk memperkenalkan diri mereka kepada orang ramai sahaja. Ironinya, mereka berkata bahawa inilah peluang untuk orang ramai mengenali mereka secara lebih dekat padahal sebelum ini, mereka berkata mereka sekadar ingin membantu ‘orang-orang susah’ sahaja, bukan mencari populariti untuk menjadi calon.

Seolah-olah semua orang Pasir Puteh adalah orang-orang susah yang tidak mampu membeli walau sekampit beras pun, maka acara pengagihan beras dilakukan setiap kali orang ini masuk kampong berjumpa dengan orang ramai. Seolah-olah, orang-orang inilah ‘orang-orang susah’ yang dicari-cari itu.


Oleh,
Wan Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.

No comments:

Post a Comment