Monday 2 April 2012

MD 48

MyDiary (48)
2 April 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)

Saya pernah menulis awal-awal dulu tentang satu cadangan saya supaya mana-mana orang yang berminat untuk menjadi wakil rakyat supaya terus sahaja melaksanakan kerja-kerja ‘turun padang’. Artikel itu bertajuk “ Kertas Cadangan 4” bertarikh 18hb Feb 2009 kira-kira tiga bulan selepas pemilihan UMNO Bahagian Pasir Puteh pada 8hb Nov 2008. (Sila rujuk kepada artikel itu yang saya sertakan semula disebelah artikel ini dalam blog saya).

Artikel itu mendapat sambutan dan sememangnya ada beberapa tokoh melakukan aktiviti ‘turun padang’ ini sejak dari itu sehingga sekarang. Walau macam mana pun, saya tidaklah mahu menyebut nama-nama mereka itu.

Usaha mereka pun mendapat sambutan dan dipuji ramai. Mereka banyak menyumbang tenaga, masa dan wang bagi pihak parti dengan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan seperti khidmat masyarakat, sukan, belia, kebudayaan serta agama. Saya dapati mereka telah pun melakukannya dengan liputan hampir keseluruh kawasan parlimen Pasir Puteh. Ada juga yang melakukannya hanya di dalam kawasan DUN sahaja.

Sayangnya, mereka yang melakukan aktiviti ini bukan merupakan ‘orang-orang parti’. Mereka tidak memegang sebarang jawatan parti terutama jawatan-jawatan yang dipertandingkan didalam pemilihan pada 8hb Nov 2008 itu. Mereka bukan juga dari kalangan yang dilantik kedalam Ahli Jawatankuasa DUN sedangkan kertas cadangan saya itu jelas mengandungi cadangan supaya orang-orang yang sepatutnya giat melakukan kerja-kerja ‘turun padang’ itu ialah orang-orang parti iaitu orang-orang yang ada jawatan parti.

Saya perhatikan apa yang berlaku sebaliknya. Mereka yang bergiat itu terdiri daripada mereka yang mempunyai kemampuan dari segi kewangan seperti tokoh-tokoh korporat atau ahli-ahli perniagaan yang berjaya tetapi tidak memegang sebarang jawatan penting parti. Merekalah yang dilihat secara ketara aktif sedangkan mereka yang tidak berada di dalam golongan ini dilihat tidak melakukan apa-apa kecuali aktiviti rutin parti seperti hadir mesyuarat atau program-program parti sahaja. Inilah yang sedang berlaku didalam UMNO sekarang.

Pada hari ini, saya sekali lagi merasa terpanggil untuk menyentuh perkara ini. Ini adalah kerana saya mendapat tahu bahawa mereka ini seolah-olah tidak mendapat restu kepimpinan Bahagian. Nama mereka telah tidak mendapat tempat teratas didalam senarai yang akan dicadangkan kepada pucuk kepimpinan parti diperingkat pusat. Sudah tentulah ini akan mengecewakan mereka jika mereka memasang niat hendak menjadi calon pilihanraya.

Sebagai seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi, saya melihatnya sebagai satu pengajaran kepada mereka yang memasang niat seperti itu. Mereka sepatutnya tidak melakukan kerja-kerja ’turun padang’ itu dengan niat hendak menjadi calon dan seterusnya menjadi wakil rakyat, apa lagi hendak menjadi menteri. Saya juga menganggap tindakan untuk tidak mengutamakan mereka didalam senarai sebagai satu pengajaran juga bahawa di dalam UMNO, bukan hanya orang-orang kaya yang berhak menjadi calon dan wakil rakyat.

Pernah diceritakan kepada saya bahawa terdapat empat orang kaya yang selalu ke Putrajaya untuk melobi menjadi calon. Semasa tiba di sana, hanya tiga sahaja yang masuk berjumpa dengan Presiden parti. Kunjungan itu dilakukan beberapa kali dan setiap kali mereka pergi, yang seorang itu sentiasa didapati tidak dibawa masuk bersama. Pada satu hari, Presiden parti telah bertanya kepada mereka yang bertiga ini, kenapa yang seorang lagi itu sentiasa tidak diajak masuk. Mereka menjawab yang sorang itu ialah pemandu kereta yang membawa mereka. Presiden parti pun suruh orang itu masuk berseorangan. Anda tahu apa yang disuruh oleh Presiden parti? Dia mahukan orang itulah yang menjadi calon. Beliau berkata bahawa ketiga-tiga orang yang mahukannya itu, tidak akan menjalankan tugasnya dengan baik kerana mereka mempunyai niat yang lain bukan untuk kepentingan parti jika mereka menjadi calon dan menang, tetapi orang yang keempat itu akan menjalankan tugasnya dengan penuh rasa tanggungjawab kerana orang itu tidak meminta-minta atau melobi-lobi. Sudah tentulah orang itu terkejut dan menolaknya tetapi didesak juga oleh Presiden parti. Akhirnya orang itulah yang telah menjadi calon dan menjadi wakil rakyat selama beberapa penggal walaupun beliau bukan orang kaya. Ini pernah berlaku di Johor.

Itulah bukti bahawa orang yang sebenar-benarnya layak menjadi pemimpin, tidak selalunya hanya dari kalangan orang-orang kaya sahaja.

Oleh

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.

No comments:

Post a Comment