Sunday 15 April 2012

MD 50

MyDiary (50)
15 Apr 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)

Kedua-dua belah pihak sedang merancakkan program-program parti masing-masing kerana PRU13 sudah semakin hampir. UMNO dengan caranya dan PAS juga dengan caranya.

Buat pada masa ini, saya melihat UMNO lebih rancak dengan program-programnya. Manakala PAS agak pasif sedikit dan tidak banyak terlibat dengan cara ‘menyerang’. Tidak seperti dahulu dimana pada kebiasaannya, PASlah yang lebih banyak memberikan tumpuan kepada kerja-kerja ‘perang saraf’ terhadap UMNO.

Saya tidak tahu mengapa ianya terjadi sebaliknya. Apakah ini menunjukkan bahawa PAS sudah ketandusan modal kempennya atau pun sengaja dibiarkan pihak UMNO memuntahkan dahulu segala isu. Bila sudah habis, barulah mereka mengambil langkah menjawabnya satu persatu.

Semuanya berkemungkinan.

Sebagai seorang pemerhati dan penulis bebas, saya tidak mahu mengambil sikap tergesa-gesa membuat sebarang andaian walaupun saya seorang ahli UMNO yang mahukan supaya BN mengambilalih Kelantan pada PRU13 ini. Sikap peribadi adalah sesuatu yang berasingan, manakala suasana politik sebenar harus ditafsirkan dengan tepat dan jelas tanpa sebarang prejudis.

Pada peringkat kempen secara keseluruhan, saya melihat isu-isu yang diketengahkan oleh pihak PR semakin mendapat perhatian semua pihak. Mereka sekadar menimbulkannya tanpa banyak melibatkan diri dalam perbahasan. BN pula dilihat lebih kepada usaha menangkis dan mempertikaikannya. Sudah tentulah ianya dianggap sesuatu yang biasa apabila pihak pembangkanglah yang menimbulkan isu dan pihak kerajaan yang menangkisnya.

Buat pada masa ini, saya melihat terlalu banyak isu-isu yang harus dijawab oleh kedua-dua pihak BN dan PR. Adakalanya ianya menyentuh polisi dan dasar, tak kurang juga yang menyentuh skandal. Adakalanya isu-isu itu memberi ‘advantage’ kepada BN tetapi adakalanya juga ianya menguntungkan PR. Tiada siapa boleh mengukur dengan tepat sejauh mana sokongan atau penolakan pengundi-pengundi terhadap sesuatu isu itu apabila ianya diketengahkan.

Walau apa pun, saya tetap dengan pendirian saya bahawa akar umbilah yang paling penting didalam menentukan menang kalah sesebuah parti itu di setiap DUN dan Parlimen. Walaupun mereka bukan ‘orang-orang parti’ yang terserlah, namun merekalah golongan terbesar yang akan keluar mengundi pada setiap pilihanraya. Peranan merekalah yang terbesar dan merekalah yang membuat keputusan mana satu parti yang akan dipangkah mereka. Mereka jugalah golongan yang mudah terpengaruh apabila sesuatu isu itu didedah dan dibangkitkan.

Walaupun mereka merupakan golongan terbesar pengundi, bukan semua hadir setiap kali sesuatu program itu dilaksanakan. Kalau sesuatu majlis penerangan dibuat di Bandar Pasir Puteh contohnya, mereka di kampong-kampong tidak semua yang keluar. Mereka berpeluang mendengar mengenainya pula hanya daripada orang-orang yang pergi ke majlis itu. Sebab itulah saya menyarankan usaha ‘turun padang’ sentiasa diberikan keutamaan oleh kepimpinan parti disamping menjalankan aktiviti-aktivi mengikut kalendar parti.

Merasa cukup dengan tetamu luar diundang untuk berceramah di bandar adalah satu kesilapan besar kecuali setiap kampong dipasang cctv.

Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.   

No comments:

Post a Comment